Four : I'm Worried

791 30 1
                                        

Hanan memandang ke arah sekelilingnya. Dia berada di wad kecemasan, tempat yang sangat diingatinya. Dia memandang ibunya yang menangis teresak-esak di birai katil. Ibunya nampak masih muda. Oh, dia masih kecil lagi.

Dia sedang bermimpikah? Hanan mengingati peristiwa ini dengan sangat jelas. Ini peristiwa ketika ayahnya kemalangan. Hanan menoleh ke arah katil di sebelahnya. Tidak seperti katilnya, katil di sebelahnya tidak ada orang yang datang melainkan sekujur tubuh wanita yang terbaring tidak bergerak di atas katil. Seingatnya, wanita tersebut merupakan seorang lagi mangsa kemalangan tersebut. Di birai katil, terdapat seorang budak lelaki yang menggenggam tangan wanita tersebut. Hanan merasakan umur budak lelaki tersebut lebih kurang dengannya jika dilihat dari tinggi mereka.

Lelaki tersebut tiba-tiba menoleh ke arahnya. Terdapat air mata yang tersisa di pipinya. Matanya juga merah dan bengkak disebabkan menangis. Hanan terasa ingin mendekati budak lelaki tersebut. Dia tidak tahu sama ada ini benar-benar memorinya ataupun hanya sekadar mimpi. Dia tidak dapat ingat.

Hanan semakin menghampiri budak lelaki tersebut. Tangannya diangkat, ingin mengesat air mata di pipi budak lelaki itu. Baru sahaja tangannya ingin mendarat, matanya terbuka.

Dia merenung ke arah siling hospital di atasnya. Kepalanya terasa berdenyut-denyut menyebabkan dia tidak mampu untuk bangun. Hanan memandang ke arah birai katilnya. Kelihatan ibunya sedang tidur sambil memegang tangan kanannya. Di sebelah kirinya, Husna sedang tidur nyenyak. Hanan berasa bersalah pula apabila dia seorang sahaja yang tidur di atas katil.

Entah kenapa, hati dan mindanya terasa kosong. Dia bagaikan kehilangan rasa. Air matanya mengalir lagi, tetapi dia tidak berasa sedih. Dia tidak tahu apa yang terjadi kepada bapa tirinya.

Tekaknya terasa haus. Hanan ingin bangun untuk mengambil air di meja di sebelahnya, tetapi dia tidak berdaya. Mungkin badannya masih trauma dengan kejadian yang berlaku. Dia bagaikan tidak dapat mengawal tubuhnya.

Puan Zulaikha tersedar dari tidurnya disebabkan tangan kanan Hanan yang bergerak. Dia memandang ke arah anaknya. Tanpa diminta, air matanya mengalir lagi. Hatinya terasa sebak melihat keadaan anak sulungnya. Keadaan yang sebahagiannya disebabkan olehnya.

"Kenapa ibu menangis? Ibu tak salah. Kakak tak salahkan ibu. Ibu janganlah sedih. Kakak okey," kata Hanan perlahan. Dia cuba memujuk ibunya, tetapi dia turut menangis teresak-esak. Puan Zulaikha memeluknya dan cuba menenangkannya. Hanan terus menangis kuat. Segala perasaan yang tadinya bagaikan sudah mati terus dilampiaskan. Dia menangis bagaikan anak kecil dalam pelukan ibunya.

"Takpe, kakak.. Ibu ada. Ibu kat sini, " kata Puan Zulaikha. Belakang badan Hanan diusap-usap cuba meredakan tangisan anaknya. Dia tetap akan bersama Hanan. Dia tahu, hanya dia dan Husna yang dapat tolong Hanan ketika ini. Dan Allah.

***

"Weh, kenapa Hanan tak datang sekolah? Dah seminggu lebih dia tak datang, " tanya Hud kepada Nadhirah sewaktu rehat. Kalau satu dua hari dia boleh terima lagi. Kalau sampai seminggu, maksudnya Hanan ada masalah.

Nadhirah terkedu. Dia tahu perkara yang dihadapi oleh Hanan. Sebenarnya, semalam baru sahaja dia mengunjungi Hanan di rumahnya. Terkejut dia apabila mengetahui kisah yang berlaku kepada Hanan. Kasihan sahabatnya, dahlah tahun ni mereka akan menduduki SPM. Dia risaukan keadaan mental Hanan.

Siapa sangka yang ayah tiri Hanan yang selama ini dianggap baik dan bertanggungjawab akan melakukan perkara sebegitu kelada anak tirinya sendiri? Selamat kawannya tidak apa-apa. Tapi, dia tahu Hanan tetap terkesan. Buktinya, Hanan dah jadi semakin pendiam. Masa dia datang pun Hanan tak banyak bercakap dengannya. Tak apa, dia faham.

"Nadhirah! " Nadhirah tersentak apabila Hud memanggil namanya. Lama pulak dia berangan. Nadhirah mengeluh. Apalah agaknya yang Hanan tengah buat sekarang. Agak-agak kawannya tu jaga tak makan minum? Dia risau Hanan akan mengabaikan kesihatannya nanti.

"Kau ni, aku dah panggil pun berangan lagi. Kau tahu tak kenapa Hanan tak datang? " Hud mengulangi soalannya. Nadhirah resah seketika. Patut ke dia beritahu je pada Hud? Tapi, dia rasa dia bukan orang yang sesuai untuk beritahu Hud perkara tersebut.

Nadhirah mengangkat bahunya. Kalau dia cakap lebih-lebih nanti, takut terkeluar pula apa yang tak patut dicakapkan.

"Nanti dia datanglah tu, " kata Nadhirah lagi. Hud mengeluh. Dia risau akan keadaan Hanan. Cikgu pun cakap yang cikgu tak tahu apa yang berlaku kepada Hanan. Ibunya cuma beritahu, Hanan kurang sihat.

"Kau ada alamat dia tak? " tanya Hud.

"Hah? " Hud menghela nafas. Rasanya suara dia dah cukup kuat untuk Nadhirah dengar.

"Alamat laa. Kau tahu kan rumah dia kat mana? " Nadhirah mula resah. Apa dia nak jawab ni?

"Buat apa aku nak bagitahu kau? Kan aku dah cakap, nanti Hanan datang sekolah jugak. Kau tunggu jelah. Dah, pergi sana. Aku nak buat kerja, " Nadhirah pantas menghalau Hud dari tempat duduknya. Makin lama, dia takut mulut kepohnya tak dapat bertahan lama. Dia kena berusaha sedaya-upaya untuk menyimpan rahsia sahabatnya. Sampailah Hanan sendiri nak buka mulut kepada Hud.

***

Hanan melangkah masuk ke dalam kelas. Dia datang terlalu awal pulak. Kelasnya masih lagi kosong. Hanan meletakkan begnya ke atas kerusi lalu dia duduk dan menongkat dagu memandang ke arah papan putih. Mindanya kosong.

"Hanan! " laung seseorang dari arah luar kelas. Hanan dapat mendengar bunyi derap tapak kasut seseorang berlari masuk ke dalam kelas. Namun, dia langsung tidak menoleh. Dia tak ada rasa nak bercakap dengan sesiapa sekarang ni.

"Kau tak dengar ke suara aku? " kali ini suara Hud betul-betul di sebelahnya. Jelas nafas Hud tercungap-cungap, mungkin kerana penat berlari masuk ke dalam kelas. Excited sangat nampak Hanan. Dah lama menghilang.

Hanan tidak menjawab. Dia hanya mengangguk sekali. Kepalanya langsung tidak ditoleh memandang Hud.

"Kau kenapa, Hanan? Kau okey tak ni? " suara Hud jelas menunjukkan yang dia risaukan keadaan Hanan. Biasanya, walaupun dia bersikap annoying sekalipun, Hanan tetap akan melayannya. Walaupun menyampah. Tapi, dia dapat rasakan Hanan di hadapannya bagaikan bukan lagi orang yang sama.

Hanan terasa seperti ingin menangis mendengar soalan Hud. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia jerit kuat-kuat cakap yang dia tak okey. Yang dia nak semua orang jauh daripadanya. Jangan dekat. Tolong, dia penat. Dia berasa seperti tidak mampu untuk mempercayai sesiapa lagi. Sedangkan ayah tirinya yang disayanginya itu pun sanggup melakukan sebegitu kepadanya, apatah lagi orang lain.

Akhirnya, Hanan menoleh memandang Hud. Terpancar riak risau pada wajah Hud. Mungkin betul-betul ada sesuatu yang menimpa Hanan sehingga dia mejadi sebegini. Ringan sahaja mulutnya ingin bertanya, tetapi dia tahu Hanan belum bersedia.

"Boleh tolong ke tepi tak? Aku nak buat kerja, " kata Hanan ringkas. Dia mengeluarkan buku dan kotak pensel dari begnya. Hud di sebelahnya tidak dipedulikan.

Hud memandang Hanan lama. Dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Hanan, tapi kalau dia perlu tunggu untuk tahu, dia sanggup. Dia sanggup tolong Hanan jadi macam dulu balik. Walaupun tak lama, tapi dia rasa dia rindukan senyuman Hanan yang dulu. Bukannya Hanan yang tak berperasaan macam sekarang.

You Fell FirstTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang