Prologue

2.2K 44 0
                                    

Sesungguhnya dalam setiap kesusahan ada kemudahan. (94:5)

Setiap orang pasti ada kisahnya yang tersendiri. Liku-liku kehidupan menjadikan kita lebih kuat dan teguh dalam menghadapi cabaran. Tapi tak bermakna menghadapinya itu mudah. Tapi kita cuma kena yakin, setiap kali selepas hujan, pasti datang pelangi.

Tapi..macam mana kalau hari tetap mendung?

***

Bunyi siren ambulans yang kuat menyapa telinga Hanan. Dia dan ibunya berlari pantas menghampiri ambulans tersebut. Dua orang paramedik mengusung keluar dua tubuh yang berlumuran darah, kedua-duanya tidak sedarkan diri.

Hanan menahan kolam matanya dari tumpah. Dia tahu, sekarang belum masanya. Walaupun dia baru berusia lapan tahun, dia merasakan yang sekiranya dia menangis sekarang, ibunya turut akan luluh dan menangis juga. Hanan mendongak memandang ibunya yang mengetap kuat bibir sambil memandang tubuh ayahnya yang dibawa masuk ke dalam wad kecemasan.

"Mana ayah, ibu?" tanya Hanan. Ibunya, Puan Zulaikha tersenyum hambar memandangnya. Dia membawa Hanan menjauhi doktor-doktor dan jururawat yang bergegas ingin menyelamatkan nyawa suaminya dan seorang lagi wanita yang turut terlibat dalam nahas tersebut.

"Ayah ada kat situ. Doktor tengah rawat ayah. Hanan tunggu sini kejap ye. Nanti ibu datang," kata Puan Zulaikha. Dia meminta Hanan supaya duduk di kerusi yang terletak di wad kecemasan tersebut. Puan Zulaikha pantas berlari anak mendekati doktor dan jururawat yang berkumpul di salah sebuah wad di situ.

Hanan memandang ke arah ibunya yang semakin hilang dari pandangan. Dia menoleh pula ke arah sekeliling wad kecemasan tersebut. Di mana-mana sahaja, kelihatan jururawat berlari-lari untuk menyelamatkan pesakit. Terdapat juga orang yang menangis teresak-esak di birai katil. Hanan juga tidak pasti mengapa.

Ketika ibunya mendapat panggilan bahawa ayahnya terlibat dengan kemalangan, mereka terus bergegas menuju ke hospital. Ibunya hanya beristighfar sepanjang perjalanan. Setitis air mata pun tidak gugur ke pipi ibunya. Hanan tahu, ibunya memang kuat. Dia berharap ayahnya akan selamat.

Kalaulah dia tidak meminta ayahnya membelikan kek hari jadinya, pasti perkara ini tidak akan berlaku. Kalaulah ayahnya keluar lambat sedikit, kalaulah ayahnya lalu jalan yang lain..pelbagai perkara singgah di fikirannya. Hanan menggelengkan kepalanya, tidak ingin memikirkan perkara tersebut. Ayahnya selalu berpesan, tidak baik kita mempersoalkan takdir Allah. Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuma kita sebagai hamba-Nya sahaja kena memahami hikmah dan kebaikan yang ingin ditunjukkan.

Setelah beberapa lama, Hanan berjalan mendekati ibunya yang berdiri di birai katil. Kelihatan ayahnya terbaring kaku tidak bergerak. Dia tidak dapat menangkap apa yang dikatakan oleh doktor, mahupun tindakan yang dilakukan oleh jururawat untuk menyelamatkan ayahnya. Dia tidak perasan jururawat mencapai defibrillator, dan doktor bersusah-payah untuk membuat CPR kepada ayahnya.

"Muhammad Fakhrul bin Umar. Meninggal pada 1.14 petang," kata-kata doktor tersebut membuatkan Hanan kembali berpijak di bumi nyata. Dia melihat ibunya menangis teresak-esak sambil memandang ayahnya. Hanan mendekati katil. Tangan ayahnya dicapai lalu digoncang perlahan. Tiada jawapan.

Air mata yang ditahan sejak tadi tumpah jua. Hanan menangis sambil memegang tangan ayahnya erat. Air matanya mengalir deras.

"Ayah, ayah..bangun! Ayah dah janji nak belikan kakak kek coklat. Kakak tak nak kek, kakak nak ayah bangun je. Ayah, bangunlah! Kalau ayah tak ada, siapa nak teman ibu, adik dengan kakak nanti?" kata Hanan diselangi tangisannya. Puan Zulaikha segera mengesat air mata di pipinya. Dia menarik Hanan yang masih menangis supaya menjauhi katil.

"Kakak, jangan buat macam tu. Kakak kena kuat. Ayah cakap apa? Semua perkara ada hikmahnya, kan? Kakak kena sabar banyak-banyak," kata Puan Zulaikha bersama air mata yang mengalir di pipinya walaupun dia cuba tahan dari mengalir. Pelengkap hidupnya sudah pergi meninggalkannya bersama dua orang cahaya mata tanda kasih sayang mereka. Dia perlu tabah. Selepas ini, dia yang perlu memandu keluarga mereka.

You Fell FirstWhere stories live. Discover now