Bab 11 : Kuat Ikan Kerana Radai

92 22 6
                                    

“Tuan-tuan!” Tempik dari Putera Zulkarnain tiba-tiba memetir. Terdiam semua orang, menantikan kata-katanya.

“Adakah tuan-tuan menganggap beta masih terlalu mentah atau beta yang terlalu memandang tinggi kemampuan tuan-tuan?” Putera Zulkarnain menghembuskan nafas. Kecewanya ditunjuk, tidak berlapik-lapik.

“Beta katakan sekali lagi. Beta tidak memerlukan pengawal yang banyak! Kecuali jika ada antara kalian yang bersungguh, kalahkan beta sekarang atau pulanglah ke angkatan asal masing-masing!”

“Cis!” Beberapa urat saraf timbul pada dahi-dahi dan penumbuk para Satria itu. Ada keegoan yang tercalar dan ada kemarahan yang tercetus.

“Baru mengalahkan dua orang! Putera atau bukan, kalau angkuh mendongak langit, harus diajar juga menekur bumi!”

“Berdua, berlima atau semua, marilah bermain dengan beta!” Putera Zulkarnain ketawa kecil apabila pancingan emosinya mengena. Dia menendang debu ketika kekudanya dibuka. Telapaknya diangkat lurus ke hadapan. Gerak jari menggamit para Satria itu untuk datang.

“Se… seorang sahaja dalam satu masa!” Awang yang menjadi pengadil menjerit panik. Empat orang Satria meluru pada Putera Zulkarnain serentak! Dia cemas memandang sekeliling, mencari sesiapa yang boleh menghentikan pertarungan itu. Bagaimana jika mereka mencederakan putera raja itu dalam amuk mereka?

Matilah mereka para orang suruhan istana!

Tanpa diduga, ada angin kencang melanggar tubuh semua orang di situ.

“Argh!” Empat Satria itu tadi meluru ke arah Putera Zulkarnain terlempar ke belakang. Mereka berguling di tanah lalu kembali bingkas bangun. Terbeliak mata mereka, cuba memproses perkara yang baru sahaja berlaku. Langit malam tenang tidak berawan, pokok juga tidak bergoyang sama sekali. Jadi, dari mana datangnya angin kencang tadi?

“Karunia!” Seorang lelaki separuh menjerit. “Tengku Putera baru sahaja menggunakan kuasa saktinya!”

Segala perhatian terpusatkan kembali pada susuk tubuh Putera Zulkarnain. Dia sedang menutup gerak jurusnya. Bagai menari, gerakannya lembut dalam ketegasan. Telapak tangannya memancung angin, dari atas kepala membawa ke hadapan. Lutut kanan diangkat tinggi lalu tumit dipasak pada bumi.

“Bererti, kami boleh menggunakan sakti kami juga! Ah, barulah pertarungan ini lebih menarik!” Seorang Satria ketawa kuat. Dia menolak kasar orang di laluannya untuk melompat turun ke tanah. Retak tanah yang rata kerana pendaratannya. Angin mula berpusar di sekelilingnya, ganas.

“Sudah lama kami ingin melihat kuasa sakti itu! Karunia yang hanya dimiliki oleh golongan istimewa seperti Tengku!" Seorang lagi menyertai Satria itu. Dia mengangkat tangan ke arah salah satu obor api yang terdekat. Bagai dijemput tangan ghaib, api obor itu meninggalkan kayunya lalu terbang pantas menuju kepadanya lalu terapung-apung di atas telapak tangan.

"Kalau begitu, beta akan tunjukkan segalanya." Putera Zulkarnain mencantumkan telapak tangannya. Apabila dipisahkan, ada bilah api yang tercipta antara keduanya. Tangan kanan menggenggam lalu menyentap ke sisi. Kini, Putera Zulkarnain menghunus bilah serupa parang yang terbuat dari api.

"Apalah kiranya jika kalian memperkenalkan diri dahulu? Dari keluarga bangsawan mana kalian?" tanya Putera Zulkarnain.

"Nama patik Damrik dari keluarga Mulradi!" laung Satria yang pertama. Dia membuka kekuda, berada dalam dua tiga depa dari Putera Zulkarnain. Angin yang berpusar laju di sekeliling tubuhnya bagai menghisap api-api obor yang berdekatan. Semuanya berkumpul menjadi bebola api besar di atas telapak tangannya.

"Patik pula Sabrang Narsungka. Tengku pasti kenal!" Satria kedua pula menangkap bola api yang terapung dengan tangan kosong.

"Tentu sahaja beta ingat nama-nama keluarga bangsawan Inderagana. Salam kenal." Putera Zulkarnain tenang namun meningkatkan siaga. Fikirannya pantas menyelak kembali dokumen pemberian Puteri Zulaikha dalam memori.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now