Tengah malam,
Kamar Peraduan RajaNafas Raja Zulaqram perlahan, seiring naik turun dadanya yang tenang. Namun, ritma itu diserang oleh batuk, bertalu-talu sehingga tekaknya perit. Raja itu berkalih ke sisi lalu menopang tubuhnya untuk bangun. Rasa untuk melelapkan mata sudah hilang.
Ada labu sayong berisi air yang sudah disediakan di atas meja kecil di sebelah katilnya, namun diabaikan. Raja Zulaqram menguis karpet tebal dengan hujung kaki, mendedahkan papan di bawahnya. Tangan kanan meraba keris di bawah bantal, lalu bilahnya digunakan untuk mencungkil salah satu papan di lantai itu.
Dari bawah papan yang terjungkit, ada botol kaca jernih yang tersimpan rapi. Isi kandungannya sudah hampir habis.
Raja Zulaqram membongkok untuk mencapai botol itu. Cecair hitam di dalam botol itu diputar-putar agar keladak dan airnya sebati. Seraya dengan itu, dia meneguk segala isi botol kaca itu.
Sejuk cecair itu ketika menuruni tekak terasa bertukar panas di perut lalu menyebar ke seluruh badan. Raja Zulaqram perlahan-lahan duduk semula di atas katil. Walau bagaimanapun, peluh mula merenik dan dia terpaksa menggunakan mulut untuk bernafas. Tidak lama kemudian, panas itu hilang seperti dicuri oleh angin malam bersama sakit dan sengal tubuh. Raja Zulaqram menarik nafas lega kerana merasa lebih baik dari sebelumnya.
Ada ketukan kedengaran. Perlahan, berirama. Datangnya bukan dari pintu, tetapi dari dalam dinding, di sebelah meja kecil.
“Masuklah, anakanda,” titah Raja Zulaqram. Hanya ada seorang sahaja yang sering menggunakan laluan rahsia di sebalik dinding itu.
Dinding berukir itu terkuak seperti pintu. Seorang pemuda yang berpakaian serba hitam serta berlitup wajah melangkah keluar. Dia segera melutut di hadapan Raja Zulaqram lalu mengangkat sembah.
“Ampun, tuanku. Patik, Jagad Dharman datang menghadap.” Pemuda itu melepaskan kain yang melitup wajahnya. “Tuanku, patik hanyalah anak pengawal. Tidaklah layak mendapat gelar ‘anakanda’ dari tuanku melainkan Tengku Puteri Zulaikha dan Tengku Putera Zulkarnain.”
“Ke marilah,” Raja Zulaqram menggamit pemuda itu untuk merapat. Jagat akur. Dia duduk bertimpuh hampir di kaki Raja Zulaqram.
Sambil meletakkan tangan di bahu pemuda itu, Raja Zulaqram berkata, “Bukankah sudah beta katakan, engkau sudah beta angkat menjadi anakanda beta, Jagad? Ataukah... Megat telah melarangmu?”
“Tidak begitu, tuanku. Bukan bapa patik yang melarang. Tetapi, patik tidak sampai hati dengan Tengku Putera. Cukuplah patik merebut kasih tuanku selama hampir dua dekad. Kini, Tengku Putera sudah pulang, dialah yang lebih berhak mendapat kasih dan perhatian tuanku,” Jagad menjawab lembut.
Ada keluhan yang kedengaran dari Raja Zulaqram. “Anakanda beta yang satu itu masih makan hati, Jagad. Jangankan mencurahkan kasih, bertentang mata dengan beta pun dia enggan. Mungkin inilah tulahnya kerana beta gagal menjadi bapa.”
“Kerana itulah patik merasa bersalah dengan Tengku Putera, tuanku...” jawab Jagad meleraikan botol kaca yang masih dipegang Raja Zulaqram dengan berhati-hati. Dahinya tampak berkerut sebelum meletakkan botol kosong itu ke lantai.
Dengan sentuhan yang paling lembut, dia meraih kedua-dua tangan tua Raja Zulaqram. Sepasang tangan itu berkedut dan begitu pucat, walaupun dalam kesuraman liukan api pelita. Dia bertentang mata dengan Raja Zulaqram sambil ibu jarinya mengurut-urut tangan raja itu.
Perlahan-lahan, tangan Jagad bercahaya lembut.
“Mengapa pula begitu, anakanda?” tanya Raja Zulaqram lagi. Dia nampak reaksi Jagad yang tergendala seketika kerana panggilannya itu.
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Ficción históricaMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...