"Ayunda kagum, adinda!" Puteri Zulaikha menghamparkan skrol dari Putera Mahkota Mizan di atas meja.
Senyuman gembira menghiasi paras rupawan itu. "Ayunda sudah menjangkakan sebuah perjanjian yang berat sebelah dari mereka, tapi ini ialah sebuah tawaran yang adil dan saksama. Apa yang telah adinda lakukan?"
Putera Zulkarnain tenang menghirup teh panasnya sebelum menjawab, "Adinda belajar dari ayunda. Hanya membuat perjanjian apabila kedua-dua pihak dapat memberi dan menerima dengan risiko yang sama besar.”
Dia meletakkan cawan itu kembali ke atas meja. "Putera Mahkota Mizan memerlukan sokongan lebih besar untuk menenggelamkan calon-calon pewaris takhta yang lain. Kita ada apa yang dia perlukan."
“Maksud adinda?” Puteri Zulaikha menopang dagu, menantikan jawapan Putera Zulkarnain dengan penuh minat. Putera Mahkota Empayar Ardalisia baru ditabalkan 3 tahun lalu. Adakah adindanya ini terlibat dalam hal itu?
“Tengku Putera Mizan perlu menawan diplomat dari negeri-negeri luar untuk mengukuhkan pengaruhnya. Baginda ingin menenggelamkan pengaruh calon-calon pewaris yang lain. KIta pula memerlukan kebenaran empayar untuk mengukuhkan perniagaan kita di tanah mereka. sekaligus menjaga kebajikan rakyat kita di sana.”
“Jadi, kehendak kita selari?”
“Tepat sekali.” Putera Zulkarnain mengangguk. “Kita mempunyai hubungan baik dengan negeri-negeri lain, hasil hubungan perdagangan. Memperlihatkan bahawa hubungan erat Inderagana dengan Putera Mahkota Mizan dapat memberikan sokongan dan perlindungan yang ampuh kepada kita, mereka akan meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan Putera Mahkota Mizan untuk mendapatkan manfaat yang serupa.”
“Ah, jadi begitu rupanya adinda mengikat Tengku Putera Mizan. Dengan meletakkan sokongan para diplomat yang lain di belakang Inderagana, Tuan Putera Mizan harus jujur atau sebarang kesilapan akan memberi cela kepadanya di hadapan negeri-negeri lain.”
“Kita juga mempertaruhkan rangkaian perniagaan kita di empayar, ayunda. Ayunda harus memastikan sesiapa yang menggantikan tempat adinda kekal jujur dan telus dengan semua pihak tapi pada masa yang sama kekal waspada dengan percaturan siasah yang berlaku di empayar.”
Puteri Zulaikha mencatat sesuatu sambil berkata, “Tentu sahaja. Sebagai ganti, kita harus mempamerkan bunga-bunga hasil perjanjian ini untuk meyakinkan rakan-rakan sekutu kita agar mempercayai Tuan Putera Mizan. Ayunda sudah melatih pengganti jawatan adinda di sana. Walaupun, kecemerlangan reputasi adinda akan memberikan tekanan kepadanya.”
Putera Zulkarnain mengangguk puas hati. Tentu sahaja ayundanya dapat mengerti apa yang harus dilakukan seterusnya tanpa dia harus mengatakannya. Dia kembali menghirup baki tehnya yang kini sudah suam-suam kuku.
“Barulah ayunda mengerti mengapa Tuan Putera Mizan ingin menjadi beripar dengan adinda.”
“Pfft!” Ketika itu juga Putera Zulkarnain nyaris tersembur. Bunyi cawan seramik berlaga membuatkan Puteri Zulaikha mengangkat wajah. Puteri itu terpinga-pinga melihat saudaranya itu kalut menekup sapu tangan ke mulutnya. Setelah mengerti apa yang baru berlaku, Puteri Zulaikha tidak segan melepaskan tawanya.
“Ayunda… adinda minta janganlah diungkit hal itu lagi. Apatah lagi di hadapan para bangsawan atau menteri," kata Putera Zulkarnain dalam selang-seli batuk kerana tersedak.
Putera Zulkarnain kembali membaiki postur tubuh. “Adinda tidak mahu dikahwinkan atau ditunangkan kepada sesiapa. Ayunda sendiri mengelak mengahwini Putera Mahkota Mizan dahulu, takkan sampai hati menjual adinda pula?”
Meletus lagi tawa Puteri Zulaikha. Benar, dia pernah dijodohkan dengan putera sulung Empayar Ardalisia itu.
Lumrah seorang puteri kerajaan, mereka tidak dapat menentukan pasangan pilihan mereka sendiri. Selalu perkahwinan mereka menjadi alat diplomasi untuk mengukuhkan kerajaan masing-masing.
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Fiction HistoriqueMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...