Membesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...
“Tidak mengapakah Srikandi Dang Anum menjadi pembantu Tengku? Sedangkan wanita itu orang kanan Tengku Puteri…”
Soalan Alang hanya terbiar berlalu dibawa angin.
“Tengku!”
Zulkarnain tersentak, kembali sedar ke realiti. Pandangannya yang tadi menerawang singgah pada wajah Alang yang penuh kerisauan. Putera itu sekadar senyum segaris sebelum kembali mengemaskan bunga dan lipatan kain sampingnya yang terbengkalai lama kerana lamunan.
“Apa yang Tengku fikirkan?” tanya Alang perlahan.
Tiada jawapan dari Putera Zulkarnain. Seolah-olah lupa yang Alang ada bersama di dalam bilik persalinan itu, setia menatang talam berisi kelengkapan busananya. Gerakan Putera Zulkarnain terhenti lagi.
Terlepas desahan dari mulut Alang. Dia sudah lama bersama dengan putera ini. Meski dari riak wajah yang mendatar itu, dia tahu putera itu kembali tenggelam dalam fikiran untuk menimbang sesuatu. Putera Zulkarnain sudah seperti ini sejak dia masuk untuk membantu tuannya itu bersiap sebelum fajar menyinsing lagi.
Dengan kembalinya Tun Mahad ke istana, perintah berkurung yang dikenakan ke atas Putera Zulkarnain akan ditamatkan. Bergantung keputusan Tun Mahad, Putera Zulkarnain bakal berhadapan dengan akibat pemberontakannya. Dalam erti kata lain, sepatutnya hari ini ialah permulaan perang panjang buat Putera Zulkarnain dalam medan siasah Inderagana.
Tetapi, tuan badannya pula tampak seperti terganggu fikirannya.
“Tengku, tangan patik lenguh…” Alang cuba mengadu untuk mendapatkan perhatian.
Barulah putera itu terbebas semula dari jadi patung cendana. Putera Zulkarnain mencapai butang perak berangkai tiga yang terakhir ada di dalam dulang. Alang lega memerhatikan Putera Zulkarnain memasang butang-butang itu ke kolar bajunya dengan lancar kali ini.
“Alang, beta mendapat warkah dari Jagad Dharman.” Begitu sahaja Putera Zulkarnain menjatuhkan kenyataan itu.
Hampir terlepas dulang yang dipegang Alang. “A… apa?”
Putera Zulkarnain mengemaskan kolar bajunya. Setelah memeriksa penampilannya buat kali terakhir pada biasan cermin, dia berjalan menuju ke meja yang terletak di sudut ruang persalinan itu. Ada sekeping kertas berlipat yang ditindih di bawah keris. Kertasnya sebesar telapak tangan, jelas ada kesan renyuk yang telah diratakan.
“Baca.” Pendek saja arahan Putera Zulkarnain sambil menyuakan kertas itu pada Alang.
Alang pantas meletakkan dulang yang dipegangnya di atas permukaan yang berdekatan dan terus mencapai kertas itu. Bulat mata remaja itu rakus menelusuri patah demi patah tulisan yang kemas dan sedikit berangkai.
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Kehadapan Tengku Putera Zulkarnain Shah Indera, pewaris hikmat dan karunia pahlawan-pahlawan sakti yang diamanahkan oleh pemilik sekalian buana untuk menaungi dan menjaga negeri bertuah Inderagana.