Bab 20: Semanis-manis Gula Berpasir Juga

86 15 5
                                    

Seminggu kemudian,
Kem Satria Istana, Berek Khas Pasukan Satria Putera

"Langit! Berhenti hujan!" jerit Guntur tiba-tiba. Lurus telunjuknya menunjuk tingkap.

"Engkau ini, buat orang terkejut sahaja!" Lanang terus menghempuk buku di tangannya ke bahu pemuda itu. Bakti yang berbaring di katilnya hanya mengekeh ketawa. Guntur pula tidak memberikan sebarang reaksi. Duduknya seperti orang yang lemah longlai segala sendi otot, sebelum tumbang baring menelentang di lantai.

Athari pula tergelak kecil. Dari awal lagi berkenalan dengan Guntur, ada sahaja perangainya yang sentiasa mencuit hati. Ada masanya, tenaga Guntur meledak seperti kembang api. Athari merasa harinya makin meriah apabila dia berkongsi bilik dengan Guntur, Bakti dan Lanang.

"Kenapa dengan engkau, Guntur? Adakah ada yang engkau tidak fahami?" tanya Athari lembut. Dia turun dari katilnya lalu menyertai Guntur dan Lanang yang berbaring melata di atas lantai. Lanang mengengsot ke sisi untuk memberi ruang Athari untuk duduk bersila. Athari mencapai buku milik Guntur yang bertelangkup. Muka suratnya terbuka dalam bab baru mengenai tatacara dan adat istiadat istana.

"Bukan. Aku tiada masalah untuk memahami buku ini. Aku hanya... jemu? Sejak beberapa hari ini, kita hanya disuruh menelaah dan menghafal buku ini. Hendak pulang ke rumah juga tidak boleh, hendak keluar berlatih juga tidak boleh. Boleh keras tulang aku kalau terus begini!" Guntur meluah beremosi.

"Tulang engkau memang keraslah, pintar!" sanggah Bakti pantas.

“Ah, benar juga.” Guntur menggaru kepala. “Tapi, engkau tahu maksudku! Aku jelak terperap di sini tidak dapat berbuat apa-apa!”

Athari, Lanang dan Bakti sekadar ketawa sahaja mendengar bebelan Guntur.

"Tapi, sebenarnya aku juga setuju…” Bakti menyampuk. Dia berkalih menghadap mereka lalu menopang kepalanya. Sambungnya, “Putera raja yang seorang itu nampaknya benar-benar mengotakan kata-katanya, tidak menginginkan pengawal peribadi. Jika begitu, apalah gunanya kita jauh-jauh datang ke kota ini?"

“Bersabarlah dahulu. Bentara Utama yang mengarahkan kita tunggu di sini. Kalau pun bukan untuk Tengku Putera, kurang-kurang kita dapat menjadi sebahagian Satria Istana…” jawab Lanang. Namun, suara yang yang merendah di hujung menunjukkan dia sendiri tidak pasti.

Athari hanya diam, tidak menyampuk perbualan mereka bertiga. Dia mengusap-usap bucu buku yang dipegangnya untuk menimbang-nimbang sesuatu perkara.

"Jadi... Adakah kalian terfikir untuk mundur sahaja? Selain kita dan beberapa orang Satria lain, sudah ramai pulang ke pasukan masing-masing. Tiada ruginya kita menerima pelawaan Tengku Putera. Kalau orang sudah tak ingin, tidakkah kita tinggal di sini pula masih tersorong-sorong?" tanya Guntur.

"Aku akan tunggu dan lihat dulu apa yang Tengku Putera mahu lakukan. Terlalu jauh untuk aku berpatah balik sekarang," ujar Athari. Dia meletak buku milik Guntur di kepala katilnya. Belum ada tanda tuan buku itu akan menelaah buku itu buat masa sekarang.

"Begitu juga aku..." Lanang meraup wajah sambil mendesah panjang.

Ada keheningan yang menyelit antara mereka berempat di dalam bilik kecil itu. Hanya titik-titik renyai hujan dari luar yang menemani. Hari mendung menyumbangkan juga kesuraman.

‘Tang! Tang! Tang!’

Bunyi loceng tiba-tiba menggegar dinding. Tersentak mereka.

“Satria-satria yang ada di dalam bangunan ini, berkumpul di ruang tengah berek, sekarang!” Suara lantang yang menggegar jantung pula menyertai bunyi loceng itu.

Serta-merta, mereka berempat meloncat untuk mencapai destar dan kain samping yang tersidai di kepala katil masing-masing. Tergopoh-gapah mereka mengemaskan diri sebelum berebut keluar dari bilik itu.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now