Bab 30: Menggalangkan Batang Leher

71 9 4
                                    

"Pasukan pencari dan penyelamat sudah kembali!"

Laungan itu mencetus kekecohan di dalam khemah yang tadinya suram. Serta-merta, para wanita dan gadis kampung yang merawat mangsa segera heboh. Masing-masing menerpa ke pintu khemah.  Dari kejauhan, gerombolan pemuda kampung sedang bergegas. Tangis mulai bertindan-tindan apabila mereka melihat ada beberapa susuk tubuh digendong anggota penyelamat.

"Perawat sekalian! Bersedia untuk menerima mangsa! Bergerak ke tempat masing-masing sekarang! Nyawa mangsa bergantung kecekapan kalian! Jangan lengah!" Lantunan suara Putera Zulkarnain menyentak mereka semua. Spontan kaum wanita di dalam khemah itu mengelap air mata, menggantikannya dengan kecekalan. Berlari mereka mengambil peralatan.

"Mana tabib? Tolong! Budak ini masih hidup!" Deraman yang pertama menerpa khemah. Dia menggendong seorang kanak-kanak perempuan.

"Ini anak Pak Masul! Bawa ke mari, lekas!" Wanita separuh baya menuntun Deraman ke para kosong yang disediakan. Jasad kanak-kanak itu dibaringkan dengan berhati-hati. Deraman menyisih untuk memberi laluan anak-anak gadis kampung pula yang menerpa bersama air dan kain. Lima orang berkerumun untuk merawat mangsa pertama malam itu.

Setelah itu, seorang demi seorang mangsa yang masih berpaut di hujung nyawa dibawa masuk. Sesuai arahan Putera Zulkarnain tadi, mereka memberikan bantuan pertama. Mereka menggantikan pakaian mangsa, membersihkan tubuh mereka dari lumpur dan memeriksa luka dan kecederaan.

"Tuan tabib, kami sudah selesai di sini!" Seorang gadis melaung. Putera Zulkarnain melipat lengan bajunya lalu membuka langkah panjang ke arah mereka. Kanak-kanak perempuan tadi kini sudah bersih dan diselimutkan.

"Lapor," kata Putera Zulkarnain sambil mencapai pergelangan tangan kanak-kanak itu, mencari nadi. Ada, namun halus.

"Ada benjol pada dahinya, kaki kanannya seperti terseliuh dan tiada luka besar. Dia sempat sedar dan dapat menjawab tadi. Tapi, sekarang tertidur semula." Gadis itu melapor dalam senafas.

Putera Zulkarnain terus membelek kepala kanak-kanak perempuan itu. Dia mengusap benjol yang membiru di dahi dengan tangan yang bercahaya. Suara taKemudian, dia pindah memeriksa kaki kanan yang terseliuh. Tulang tidak patah, jadi keadaannya tidak begitu merisaukan. Hanya bibir yang kering menunjukkan kanak-kanak perempuan itu sudah kehausan dan kelaparan sepanjang terperangkap.

"Terus perhatikan pesakit. Pastikan dia sentiasa hangat. Kalau sedar nanti, cuba berikan dia makan dan minum sedikit demi sedikit." Putera Zulkarnain bingkas berdiri.

"Baik, baik! Terima kasih, tuan tabib. Terima kasih!"

Putera Zulkarnain sekadar mengangguk acuh tidak acuh. Dia segera meminta diri apabila ada kumpulan lain yang memanggilnya.

Seorang demi seorang dirawat dan berikan rawatan awal. Putera Zulkarnain berterusan menyalurkan kuasa penyembuhannya kepada mangsa-mangsa yang terselamat. Keriuhan di dalam khemah itu menjadi suara latar, tenggelam timbul di deria pendengarannya ketika fokus merawat.

Bunyi halus rintik hujan menimpa atap khemah sekali sekala singgah.

Sedar tidak sedar, hari sudah larut malam. Kedengaran sayup-sayup gema beduk dipukul 2 kali. Pukul 2 pagi. Ketika itu, suasana sudah mulai reda. Selepas mangsa yang ke-12 dihantar para pemuda kampung, mereka tidak muncul lagi. Para sudah penuh dengan pesakit. Manakala, para wanita dan gadis kampung terlentok di merata tempat untuk mencuri lelap.

Bunyi rintik hujan semakin lama semakin lebat.

Putera Zulkarnain memeluk tubuh. Kesejukan mula terasa. Air hujan mengalir cetek di kaki. Mujurlah tapak khemah itu dilitupi rumput. Tidaklah lecak pijakan mereka.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now