“Di sini tempat yang bagus.”
Putera Zulkarnain menarik kekang kudanya, menyuruh haiwan tunggangannya itu untuk berhenti. Para Satria pun ikut turun dari kuda masing-masing sambil memerhati kawasan sekeliling. Selepas beberapa lama menelusuri, mereka berada di penghujung denai hutan itu. Silau mentari pagi menerpa mata sebaik sahaja mereka keluar dari teduhan hutan.
“Wah…”
Pemandangan terhampar sejauh mata memandang. Dari kedudukan mereka di puncak bukit itu, terhampar petak-petak sawah bendang yang sedang menghijau. Rumah-rumah orang berserakan di merata tempat dan bertumpu di sepanjang jalan utama untuk memasuki ibu kota Inderagana melalui gerbang barat. Menoleh ke arah timur laut, bukit-bukau berjajar. Indah, diselaputi awan-gemawan. Sekali-sekala, angin laut berpuput dari arah barat daya.
Sementara Satria-satrianya masih terpegun memerhatikan kawasan sekitar, Putera Zulkarnain menambat kudanya di bawah pokok sementara Alang menghamparkan tikar mengkuang tidak jauh dari situ. Tidak menangguh kuda putih itu meragut rumput segar yang masih dibasahi embun.
Putera Zulkarnain sedang melipat duduk bersila di atas tikar ketika Jallal mendekatinya seraya mengangkat sembah. Jallal bertanya, “Kalau patik boleh bertanya, sampai bila tengku berniat untuk berada di sini?”
“Sampai tengahari, mungkin?” Putera Zulkarnain menyambut buku yang diserahkan oleh Alang. Remaja itu segera meninggalkan mereka berdua. “Mengapa?”
Kening Jallal berkerut. Dia menoleh ke belakang, bertembung pandang dengan Athari yang memerhatikan mereka dari jauh. Dia menghadap Putera Zulkarnain semula sebelum berkata, “Sepatutnya, kami perlu menjalani latihan khusus bersama pasukan Satria Raja, sebelum… tengku mengajak kami semua ke mari. Jadi, bolehkah Tengku jadi saksi bahawa kami tetap melaksanakan latihan tersebut?”
Putera Zulkarnain menatap wajah Jallal seketika. Parut yang melintang di pipi kanan pemuda itu sentiasa menjadikan Jallal kelihatan garang. Persis soldadu yang hati dan disiplinnya dikeraskan peperangan. Mungkin anggapan awal Putera Zulkarnain padanya tidak salah.
“Sejujurnya, beta bawa kalian ke mari supaya dapat berehat. Latihan kalian sangat padat. Beta faham, kerana Datuk Bentara Utama mahu kemampuan kalian sesuai taraf sebagai pengawal beta. Namun, kalau sampai mencuri lelap walaupun sedang tegak mengawal pintu pejabat beta...” Putera Zulkarnain hanya tersenyum nipis tanpa menghabiskan ayat.
Membulat mata Jallal.
“Tapi, beta harus hormati jika kalian masih menjunjung disiplin sebagai Satria.” Putera Zulkarnain menuding ke belakang Jallal. “Pergi isi perut dengan makanan yang dibawa Alang. Setelah itu, terpulang kalian mahu lakukan apa-apa yang kalian mahu. Namun, jangan terlalu leka. Sekarang, pergi.”
“Titah dijunjung, tengku,” jawab Jallal perlahan. Teragak-agak dia mengorak langkah kembali ke anggota pasukannya, seperti masih ada sesuatu yang memberatkan hati tapi belum terluah pada Putera Zulkarnain.
Setelah pemergian Jallal, Putera Zulkarnain berbaring mengiring di rusuk kanan, menongkat kepala lalu membuka bukunya. Namun, cuaca yang sebaik pagi itu malah menjemput kantuk. Putera itu kalih berbaring dengan berbantalkan lengan.
Sayup-sayup, Satria-satria itu riuh-rendah bergurau sesama mereka. Suara Guntur dan Bakti paling kuat kedengaran. Bertingkah-tingkah suara berdesir dan bunyi berdebik, barulah mereka berdua senyap. Putera Zulkarnain tersenyum, terhibur sama dengan keletah mereka.
Selepas beberapa ketika, keriuhan mereka itu reda. Putera Zulkarnain mengerling dari ekor mata. Mereka mula membuat regangan dan pemanasan badan sebelum mula berlari di pinggiran dataran itu beberapa pusingan.
![](https://img.wattpad.com/cover/307221667-288-k814732.jpg)
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Ficção HistóricaMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...