Bab 29 : Retak Melampaui Tara

42 5 2
                                        

Khemah besar itu agak sesak apabila rombongan dari istana, anggota keluarga Lanang serta beberapa orang kampung berkumpul bersama. Meja panjang segera dibersihkan untuk menjemput para Satria Istana duduk. Suasana agak kekok sementara menanti teh halia dihidangkan.

Putera Zulkarnain tidak menyertai mereka. Dia lebih memilih untuk meneliti papan hitam di hujung khemah itu. Coretan kapur dengan senarai nama dan kiraan mangsa memenuhi papan hitam itu. Nampaknya, masih ramai yang hilang, dan begitu ramai juga yang telah terkorban. Dia menarik ikatan kain yang menutupi separuh wajahnya, melonggarkannya sedikit dari melekap ketat ke batang hidung. Tiba-tiba sahaja dia merasa sukar untuk bernafas di bawah kain putih itu.

"Jadi…” Satria Jamdar berdehem, menarik perhatian semua orang. “Apa yang sebenarnya berlaku, Tok Penghulu?”

Tok Masahur gelisah. “Bukit Sabagunta tiba-tiba runtuh dini hari semalam. Waktu itu hujan lebat, masih gelap pula. Jadi, ramai yang tidak sempat melarikan diri. Kami sudah berusaha semampu kami, tapi masih ramai yang hilang…”

“Adakah pembesar daerah sudah dimaklumkan tentang perkara ini?” tanya Satria Jamdar lagi. Dia mengingat sebentar sebelum menyambung, "Jika tidak salah, daerah ini ditadbir oleh Datuk Jeralis, bukan?"

“Sudah, tuan! Saya sudah hantar utusan kepada beliau, kepada penghulu kampung yang berjiran juga. Tapi, saya sama sekali tak tahu anak sulung saya menghantar utusan terus ke istana!” Tok Masahur tertunduk-tunduk lebih rendah. “Saya minta maaf pada tuan-tuan!”

"Orang istana yang jauh, datang terlebih dahulu sebelum Datuk Jeralis! Nak mengharap pembesar daerah itu, sampai keras tanah runtuh itu sekalipun, tak timbul orangnya!” Seorang pemuda tiba-tiba menyergah masuk. Orangnya basah kuyup, dengan kaki bersalut tanah kuning sehingga ke lutut. Beberapa orang pemuda dengan keadaan yang serupa berdiri di belakangnya, memenuhi pintu masuk khemah itu tapi tidak masuk ke dalam.

“Deraman!” Tok Masahur mengherdik. “Engkau pun tahu, semuanya ada aturan! Kau sudah kuajar, pembesar daerah dahulu, baru ke istana! Jangan kerana engkau seorang, semua kena akibatnya.”

“Kita sudah terdesak, ayah!”

“Ayah! Bang Man!” Lanang mencelah antara mereka berdua. Dia menolak abangnya menjauh bila ayahnya sudah ada ura-ura mahu melibas kain pelikat. “Kita ada tetamu! Janganlah ditunjukkan degil seperti ini. Bukankah sekarang paling penting kita selamatkan orang kampung?”

“Lanang?” Deraman, terkejut. “Bila masa kau pulang?”

Tanpa menjawab abangnya, Lanang menarik tangan Deraman untuk berdepan dengan Satria Jamdar. Dia menunduk dengan tangan kanan di dada, menyapa hormat atasannya itu. Deraman spontan mengikut.

“Tuan Satria, mungkin saudara saya ini telah melanggar aturan. Tapi, sayalah yang merayu pada Tengku Putera dan Puteri untuk pasukan penyelamat ini. Apapun hukumannya nanti, biarlah saya yang menanggung. Tapi, saya mohon, selamatkan orang kampung ini!”

Lanang tiba-tiba turun melutut. Sebelum lututnya menyentuh tanah, Satria Jamdar spontan menarik lengannya.

“Tidak perlu begini, Satria. Berdiri!” arah Satria Jamdar tegas. Lanang akur, perlahan-lahan berdiri semula dengan kepala yang tergantung rendah, meminta maaf sekali lagi.

Satria Jamdar mengurut dahi. Jelas dia masih terkejut dengan tindakan Lanang. Lelaki itu mengerling Putera Zulkarnain yang memencilkan diri di sebelah papan hitam. Pandangan yang penuh resah itu memohon putera itu untuk mengatakan sesuatu.

Hal antara istana dan bangsawan ini, hanya Putera Zulkarnain yang layak bersuara. Sebarang kecemasan atau bencana alam yang berlaku, penghulu kampung dan pembesar daerah yang harus bertindak dahulu. Barulah pembesar daerah memaklumkan istana untuk bantuan susulan. Walau bagaimapun, apa yang berlaku sekarang pula terbalik. Deraman diam-diam menghantar utusan terus ke istana tanpa pengetahuan ayahnya, Tok Masahur. Secara tidak langsung, tindakannya mengetepikan Datuk Jeralis.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang