Lelaki itu mula mendapat kembali seluruh pancainderanya. Dia mengerang apabila ada rasa sakit dan sengal yang menyucuk seluruh tubuh. Pipinya terasa kebas dan saraf kepalanya terasa berdenyut-denyut.
Perlahan-lahan, dia membuka mata. Perkara pertama yang dia sedari ialah tangan bergari dan kakinya terikat. Terpasung dia melekap ke dinding batu. Rasa cemas serta-merta berderu dalam dirinya, membuatkan dia dengan pantas cuba menyentap gari yang terbenam pada dinding.
Gagal. Dia tenangkan diri, menarik nafas, mengumpulkan tenaga alam. Apabila sendinya terasa sudah cukup mengeras, sekuat tenaga dia menyentap gari tangan kanannya. Dia terkejut apabila gari itu tidak terkesan sama sekali.
“Kuat juga.”
Dia memandang sekelilingnya, menyedari dia berada di dalam sebuah bilik kecil, berbau tanah dan lembab. Kesuraman bilik itu yang hanya diterangi sebatang lilin, membuatkan dia dapat melihat bilik kecil itu ada tangga yang mengarah ke atas. Pintu pula ada di langit-langit bilik itu.
“Bilik bawah tanah di Kota Mahkota?” Dia mula menyelongkar akal, cuba meneka di mana dia dikurung kini. Ingatannya sebelum tersedar di bilik bawah tanah ini, rasanya dia sedang berjalan menuju ke gerbang kota.
“Adakah aku telah ditangkap oleh orang suruhan Puteri Zulaikha?”
Belum sempat panik menerkam, tiba-tiba pintu di puncak tangga itu terbuka. Cahaya matahari menerobos dari luar. Seorang pemuda dan seorang wanita menuruni tangga itu. Si pemuda memakai kelubung yang menutupi kepala dan kain hitam yang melitupi hidung dan mulut. Manakala si wanita pula menutup wajah dengan selendang putih, hanya menampakkan sepasang mata.
“Oh, engkau sudah sedar?” Pemuda yang berkelubung kain hitam menegur.
“Siapa kalian?” Lelaki itu menjerkah.
Tidak semena-mena, pemuda itu meluru kepadanya lalu melayangkan sepakan tinggi ke perut lelaki itu. Lelaki itu terluah angin dek senak perut.
“Gunandi.” Terbeliak lelaki itu apabila namanya disebut.
Suara itu datang dari wanita berselendang putih itu. Gunandi mengangkat wajah, mendapati wanita itu duduk manis di atas kerusi tidak jauh dari dirinya. Pemuda berkelubung hitam itu mengambil posisi berdiri siaga di sisi wanita itu.
Wanita itu bersuara, “Kami sudah lama memerhatikan engkau. Kami tahu engkau sudah terpengaruh pemikiran kumpulan yang ingin meruntuhkan pemerintahan beraja Inderagana. Kami biarkan, kerana engkau tidak berbahaya pada matlamat kami. Tapi, bila engkau berani menyertai sayembara pemilihan Satria Istana dengan niat untuk mencelakakan Putera Zulkarnain, kami tidak boleh berdiam diri lagi.”
“Siapa kalian? Anjing sang puteri?” tanya Gunandi.
“Cenderawasih, bolehkah aku menambah kebiruan pada wajah bedebah ini?” Pemuda itu bertanya sambil menuding pada Gunandi. Namun, tanpa menunggu kebenaran sesiapa, penumbuknya sudah hinggap di pipi lelaki itu.
“Jentayu.”
Hanya setelah wanita itu bersuara, barulah pemuda berkelubung itu berhenti membelasah Gunandi. Lelaki itu pula hanya mampu mengerang menanggung kesakitan. Tumbukan itu padu bersalut ilmu kebal. Pasti kecederaan pada tubuhnya angkara mereka ini juga.
“Untuk menjawab soalanmu itu, kami bukan orang suruhan Tengku Puteri Zulaikha. Kami bergerak dalam bayang untuk menentang pengkhianat-pengkhianat sepertimu.” Wanita itu menjawab dengan nada yang dingin.
Rasa sakit di seluruh tubuhnya membuatkan rasa pijar naik ke wajah Gunandi. Terhina bila dia dibelasah tanpa dia dapat melawan. Siapa mereka sebenarnya? ‘Cenderawasih’ dan ‘Jentayu’ itu nama burung, mustahil itu nama sebenar mereka berdua itu.
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Fiksi SejarahMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...