Bab 19 : Salin Tak Tumpah

99 19 7
                                        

Balai Tadbir Utama Inderagana

Hanya mereka berdua berada di dalam ruangan itu. Dari sebalik dinding, Putera Zulkarnain memandang ke luar tingkap sambil memeluk tubuh, manakala Alang setia berdiri di sebelahnya. Ralit putera itu memerhatikan gelagat orang yang ke hulu-hilir di perkarangan bangunan pentadbiran itu. Sekalian bangsawan, ilmuwan, pedagang, rakyat jelata dan Satria sibuk dengan urusan masing-masing. Untungnya pagi itu tenang, pagi yang jarang-jarang singgah di Inderagana ketika musim tengkujuh.

"Tengku membongkarkan sendiri tentang warkah itu jauh lebih awal dari yang patik sangka." Alang ketawa kecil.

"Situasi yang mendesak." Putera Zulkarnain membalas acuh tidak acuh. "Di mana Dang Anum?"

"Segera kembali ke istana, Tengku."

Putera Zulkarnain hanya mengangguk.

Setelah menghantar Putera Zulkarnain ke ruangan ini, Dang Anum tergesa-gesa meminta izin untuk keluar sebentar. Tetapi, keluarnya Dang Anum sudah tidak sebentar. Jika benar srikandi itu kembali ke Istana Purnama Windu, tidak lain tidak bukan, niatnya ialah untuk bertemu dengan Puteri Zulaikha.

Ketika ini, pasti para srikandi telah dikerahkan untuk menyiasat asal-usul warkah dari Jagad Dharman. Putera Zulkarnain dan Alang telah memberi kenyataan, warkah itu ditemui dalam barang-barang bawaan putera itu. Itu membuatkan lebih ramai orang yang boleh disyaki. Hatta anak-anak kapal Empayar Ardalisia.

"Mengapa Tengku berniat menyembunyikan perihal burung merpati itu dari ayunda Tengku?"

"Beta bukan berahsia dengan ayunda beta, tapi berahsia dengan mata-mata yang mungkin bercampur-baur dalam kalangan pengikut ayunda. Jika tidak, mengapa selama ini ayunda tidak dapat lagi menjejaki pemuda itu?" Putera Zulkarnain mengembalikan soalan itu dengan soalan.

"Oh!" Mulut Alang membulat, kemudian dia terangguk-angguk faham sendiri. "Benar juga."

Putera Zulkarnain tersenyum, terhibur dengan gelagat Alang. Mudah benar panas hatinya surut kerana Alang. Dia kembali melontar pandangan ke saujana, melepasi balai-balai di dalam benteng gerbang Sri Kesuma, lalu melayah di atas pemandangan kota Mahkota di kaki Bukit Agung.

Ada ketukan bergema dari pintu. Alang spontan merapat ke dinding dan berdiri tegak.

"Masuk!" laung Putera Zulkarnain. Seorang Satria Istana menguak daun pintu lalu mengangkat sembah.

"Tengku Putera, Perdana Menteri berhajat untuk masuk menghadap."

"Beta memperkenan." Putera Zulkarnain membetulkan postur tubuhnya dan memperkemaskan busana yang dipakai.

Satria itu mengundur diri ke luar pintu, lalu mempersilakan rombongan yang sudah menanti di luar untuk masuk. Tidak lama kemudian, seorang lelaki berumur lebih separuh abad menapak masuk ke dalam ruangan itu. Di belakangnya, ada seorang pemuda membawa seberkas kayu berukir, diikuti dua orang dayang yang menatang dulang berisi sajian ringan.

Putera Zulkarnain sekadar menampal senyuman untuk menyambut kedatangan mereka. Diam-diam dia meneliti wajah lelaki tua yang bergelar Perdana Menteri itu. Sebelum ini, mereka tidak pernah bersua secara berdepan, lantas sosoknya hanya samar-samar di ingatan.

Namun, melihat dari cara lelaki tua di hadapannya ini membawa diri dan busana yang melambangkan ketinggian statusnya, Putera Zulkarnain tahu inilah Tun Mahad Riadin.

"Khadam tua ini menghadap Tengku Putera Zulkarnain," sapa Tun Mahad. Dia hanya dapat menunduk hormat dengan tangan kanan di dada kerana tangan kirinya menopang tubuh dengan tongkat bersepuh perak. Dia menyambung, "Patiklah yang bernama Mahad Riadin. Adakah patik telah membuatkan Tengku tertunggu-tunggu?"

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang