Bab 22 : Ibarat Telur Sesangkak

102 15 4
                                    

Balai Tadbir Inderagana
Tengah hari.

Ketika matahari mulai meninggi, pemuda bertujuh itu menelusuri lorong-lorong Balai Tadbir Inderagana bersama dua orang Srikandi. Apabila kini mereka menyarungkan seragam Satria Istana, banyak mata yang mengekori langkah mereka. Disorot sedemikian rupa, mereka bertujuh keresahan. Berkali-kali mereka memeriksa pakaian masing-masing. Takut-takut kalau tanjak mereka senget, kolar terkelepet atau kain samping hendak terlondeh.

Mereka tiba ke suatu lorong yang mempunyai lebih ramai pengawal daripada tempat-tempat lain. Tiada bangsawan, menteri atau pegawai kerajaan dibenarkan masuk ke sana. Hanya mereka. Srikandi-srikandi yang menuntun mereka ke hadapan sebuah pintu jati beesar sebelum berpaling memandang mereka bertujuh.

“Ini ruangan yang dikhaskan untuk Tengku Putera Zulkarnain. Tunggu di sini sebentar,” pesan salah seorang dari mereka. Ketukan mereka pada pintu jati itu berirama. Disahut seseorang dari dalam, melaung menyuruh masuk. Dua Srikandi itu menghilangkan diri di sebalik pintu, meninggalkan mereka bertujuh di lorong itu.

“Adakah kalian fikir Tengku Putera akan menolak kita sekali lagi?”

Perhatian merek abertujuh teralih pada pemuda yang bertanya itu. Orangnya tinggi lampai, bahkan paling tinggi antara mereka. Dialah yang menerima sepakan dari Tuan Satria Daik semalam.

“Tengku Putera tidak mengenali kita, begitu juga dengan kita. Tinggi kemungkinan, kita juga akan dihantar pulang.” Satu suara garau menyampuk. Pernyataan itu dikeluarkan oleh pemuda pipi berparut yang sedari tadi berjalan paling belakang.

“Jika kita akan disingkirkan lagi, mengapa semalam kita diberikan baju seragam ini? Lengkap pula dengan perlengkapannya.” Lanang pula bersuara perlahan. Dia mengemaskan hujung kain samping kuning pinangnya. “Sekurang-kurangnya, ini jaminan kita tidak akan dibuang begitu sahaja, bukan?”

Keriut pintu kayu jati tiba-tiba kedengaran. Spontan mereka tegak berdiri.

Seorang Srikandi memunculkan diri di sebalik pintu. Dia menyerlahkan senyuman lembut sebelum berkata, “Maaf kerana buat kalian menunggu. Tengku Putera sudah mempersilakan kalian untuk menemuinya.”

Athari melangkah dahulu memasuki ruang pejabat itu, baru diikuti enam pemuda yang lain. Pemandangan pertama yang terhidang buat mereka ialah tumpukan kertas dan berkas-berkas dokumen meninggi dan memenuhi setiap permukaan meja di sekeliling ruangan itu.

Susuk Putera Zulkarnain berada di belakang meja paling besar di ruangan itu.

Srikandi itu meletakkan telunjuknya tegak di depan bibir lalu mempersilakan mereka berbaris sejajar di hadapan meja Putera Zulkarnain. Mereka melangkah dengan senyap.

Dang Anum mengangguk sekali untuk menyambut kedatangan mereka bertujuh. Dia mengerling Putera Zulkarnain di sisinya. Entah sedar entah tidak putera itu akan kehadiran tetamu-tetamunya itu.

“Tengku." Dang Anum menyerahkan sebemban kertas kepada Putera Zulkarnain. Ada bisikan terima kasih terbit dari bibir putera itu walau matanya masih terpaku pada hamparan kertas.

"Tolong hantarkan dokumen ini kepada ayunda beta. Ada sesuatu yang beta ingin rujuk padanya. Sudah beta tulis catatannya di dalam." Putera Zulkarnain menyerahkan pula dokumen lain yang berkulit keras kepadanya. “Kalian bertiga boleh berehat.”

"Sekarang, Tengku?" soal Dang Anum agak teragak-agak..

Apabila Putera Zulkarnain mengangguk dan  merenung tepat ke matanya, Dang Anum mengalah. Dia bersama dua lagi Srikandi itu pun mengangkat sembah, tunduk dan menapak keluar pejabat itu. 

Sebaik sahaja pintu itu terkatup, kesunyian serta-merta menyebar di dalam ruangan itu. Hanya kedengaran bunyi kertas diselak dan kersik-kersik pakaian Putera Zulkarnain. Pemuda bertujuh itu masih menanti dengan sabar. Mereka kekal berdiri tertib sedang putera itu masih menyibukkan diri dengan kertas-kertas di tangannya.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now