Putera Zulkarnain melepaskan desahan nafas yang paling panjang dan lelah sebaik sahaja dia menutup pintu kamarnya. Ubun-ubunnya melekap ke pintu kayu jati itu, merehatkan kepala yang terasa berdenyut-denyut. Buat seketika, dia diam di situ sebelum tangannya mencabut tengkolok dan melonggarkan ikatan tali topeng peraknya.
Dia berpusing. Serta-merta, matanya membesar kerana terkejut. Pemandangan kamarnya yang jauh berbeza dari ingatannya.
“Begitu banyak yang berubah,” bisik Putera Zulkarnain. Matanya melilau ke segenap pelusuk ruangan itu.
Kamarnya tidaklah sebesar kamar raja, namun kamar Putera Zulkarnain tidak kalah mewah dengan segala perlengkapannya. Ada sebuah katil bersaiz besar, lengkap bertiang empat, bertirai dan berkelambu, berdiri megah sejajar dengan dinding di sebelah kanan. Sambil menapak dua anak tangga menaiki lantai yang ditinggikan, Putera Zulkarnain meninjau pula ruangan yang bertentangan dengan katil.
Di tengah-tengah kamar itu, ada satu set sofa yang terbuat dari kayu jati berukir, beralaskan kusyen berbalut baldu biru. Sebuah meja kopi dengan permukaan dari jubin batu marmar putih melengkapi set sofa itu. Permukaannya yang berkilat cantik tanpa cela menampakkan perabotan itu telah diganti baru.
Namun, perubahan paling ketara yang Putera Zulkarnain dapat kesan sekilas pandang ialah tingkap-tingkap yang ada di situ. Daun tingkapnya masih sama, persis seperti yang dia ingat ketika kali terakhir dia pernah mendiami kamar itu.
Separuh daun-daun tingkap itu mempunyai ukiran kayu tebuk tembus yang mengapit kepingan kaca, membenarkan cahaya petang melimpah masuk lalu mendarat di atas lantai dan permukaan meja kerja yang luas.
Tapi, tingkap-tingkap itu ada perbezaan yang ketara kali ini.
“Seperti penjara yang diindahkan.” Putera Zulkarnain ketawa sendiri sambil mencampakkan topeng, tengkolok dan kerisnya di kepala katil. Dia kemudiannya menjatuhkan tubuh di atas tilam, membiarkan dirinya tenggelam dalam keempukannya.
Dia memandang tingkap-tingkap kamarnya itu sekali lagi.
Kini, ada palang-palang kayu menutupi bukaannya. Tidak rapat, tidak pula terlalu jarang. Cukup untuk menghalang orang menyelit masuk atau keluar. Palang-palang kayu itu berukir indah, mungkin cuba menyamar sebagai sebahagian seni bina tingkap-tingkap itu.
Tapi, Putera Zulkarnain tahu pasti, palang-palang kayu itu ada batang besi di dalamnya. Ia tidak ada di situ lima tahun lalu. Semakin lama dilihat, semakin dia tidak menyukai seni bina itu. Pemandangan langit petang di luar terpotong-potong, cacat, tidak sempurna.
Itu semua membuatnya terfikir dia seolah-olah seperti burung dalam sangkar. Mata lepas badan terkurung.
Ironi, kerana sememangnya begitulah situasinya saat ini. Dia terlahir sebagai seorang putera raja.
Putera Zulkarnain menyilang lengan di atas matanya kelopak matanya, menjadikan pandangannya gelap pekat. Suasana kamarnya yang sememangnya sunyi, bertukar hening di telinganya. Dia kini sendirian di dalam dunianya sendiri.
“Semua ini hanya sementara. Hanya sementara, Zulkarnain. Setelah engkau membayar hutang darah dan ayunda naik takhta, engkau boleh kembali ke kehidupan seperti dahulu. Buat masa sekarang… sabarlah dahulu.” Bisik yang diucapkan pada diri sendiri bergema di dalam atma. Dia mengucapnya berulang-ulang, untuk mengukuhkan tekadnya.
Bergema bunyi pintu diketuk. Putera Zulkarnain tersentak, terus melompat bangkit daripada pembaringan. Topeng peraknya yang tergeletak di sisi, dicapai pantas. Hampir dia menyambar kerisnya sebelum orang di sebalik pintu bersuara.
“Tengku? Ini patik, Alang. Tengku ada di dalam?”
“Ada. Masuklah.” Putera Zulkarnain menjawab, separuh melaung. Keris dan topeng peraknya dilepaskan. Dia kembali duduk di atas katil, menenangkan jantung yang tadi berubah rentak detak kerana terkejut.
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Ficción históricaMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...