Bab 26: Tiada Dibawa Orang Sehilir Semudik

50 5 3
                                    

Berek Satria Putera
Seminggu kemudian...

Ketika Athari menuruni tangga awal pagi itu, Guntur sudah ada di ruang tengah, sedang bersila di atas bangku. Baju kurung hitam hanya disarungkan ala kadar di badan. Serabai, seperti dipakai terburu-buru. Kain samping, destar kuning pinang dan kelengkapan seragamnya pula dihampar di atas meja bersama sesisir pisang. Guntur begitu ralit membaca buku di pangkuan. Tatkala Athari menghampirinya pun, pemuda itu masih tidak sedar.

"Apa yang engkau tilik dalam buku tu? Sedikit masa, boleh tembus aku tengok," tegur Athari. Barulah Guntur mengangkat wajah.

"Oh, Athari! Tepat masa kau datang. Boleh kau tolong aku?" Guntur menayang sengih.

"Tolong apa?"

"Boleh kau jelaskan aku maksud perenggan ni?" Guntur menyua bukunya pada Athari. Tangannya ikut mencapai pisang. "Nah, pisang. Makan, buat pelincir otak."

Athari tergelak kecil menerima pemberian Guntur. Dia memulas sebiji dari sesisir pisang itu lalu melabuh punggung di sebelah Guntur.  "Mana kau dapat pisang ni? Dewan Makan belum buka lagi."

"Aku menang bertaruh dengan Tengku Puteri!" jawab Guntur bangga, dengan pisang penuh di mulut. Dia menghabiskan kunyahannya sebelum menyambung, "Kami bertaruh, tengok siapa yang betul. Hari ni aku dapat soalan lain. Jadi, aku kena kaji betul-betul sebelum menjawab!"

"Hebat, hebat..." Athari menggeleng, antara takjub dan tidak percaya. "Berani betul engkau dengan Tengku Puteri."

"Pantang anak jantan berundur kalau dicabar!" Guntur mendabik dada.

Athari tergelak lagi. Kalau dia, tidak tercapai akal untuk beradu mulut dengan seorang puteri raja. Berbeza dengan Guntur. Berkali-kali pemuda itu hampir membuat mereka kena serangan jantung setiap kali dia buka mulut.

Guntur itu jenis bergeliga. Jadi, ada sahaja jawapannya pada Puteri Zulaikha. Bila yang keras kepala jumpa yang tidak mahu kalah, ada sahaja adegan debat dan balas mengusik. Dang Anum hanya mampu menggeleng, tidak larat menegur. Putera Zulkarnain tidak pula melarang, seperti diam-diam terhibur sama.

Buat seketika, Athari cuba memahami perenggan di muka surat yang terbuka. Namun, ada sesuatu yang memberatkan fikirnya, sehingga dia gagal untuk menumpukan perhatian. Dia menggetap bibir, menimbang-nimbang itu menzahirkan perkara itu pada Guntur, atau tidak.

“Guntur.” Athari meramas-ramas bucu buku. “Kau… tak tersinggung denganku?”

Terhenti tangan Guntur yang sedang membutangi kolar bajunya. Dia menoleh pada Athari dengan kening yang terjongket. “Ada apa-apa yang perlu aku rasa tersinggung padamu?”

“Tentang… diriku?”

“Oh,” Guntur tampaknya mengerti. Dia mencapai perisai ringan pelindung dadanya di atas meja lalu menyambung, “Engkau seorang bangsawan. Lalu?”

“Aku sudah tidak jujur pada kalian?”

“Tidak jujur?” Mata Guntur mengecil dan keningnya hampir bertaut ketika memandang Athari. Gelisah Athari dibuatnya. Pandangan Guntur seolah-olah hakim yang sedang mempertimbangkan adakah dia pesalah atau tidak.

Guntur mengubah duduknya pada bangku panjang itu supaya berhadapan dengan Athari.

“Mengapa kau tidak jujur kepada kami? Adakah supaya engkau boleh mempermain-mainkan dan mempergunakan kami? Bila kami leka, engkau akan tikam dari belakang?”

“Guntur! Aku tak akan melakukan semua itu!” Athari mencengkam bahu Guntur dalam panik. “Sumpah, aku tidak pernah terlintas! Aku sudah anggap kalian seperti saudaraku!”

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now