“Dengan segala hormatnya, patik menolak.”
“Guntur!” Bentak dari Lanang itu hampir spontan. Namun, setelah menyedari ketelanjurannya, dia mengangkat sembah meminta maaf kepada Putera Zulkarnain.
Lama Putera Zulkarnain diam. Diamati wajah tujuh Satria di hadapannya, satu per satu, dari kanan ke kiri. Athari, Lanang, Nasir, Guntur, Bakti, Jallal dan Arjuna. Walaupun ini baru kali kedua mereka bersua, Putera Zulkarnain sudah hafal nama-nama mereka.
Mereka kini segak menyarung seragam Satria Istana, berbaju kurung hitam berkolar cekak musang, lengkap dengan kain samping dan destar kuning pinang. Walau bagaimanapun, tanpa sebarang lencana pasukan atau pangkat pada perisai ringan pelindung dada, penampilan mereka kelihatan agak canggung. Tidak lengkap.
“Berikan beta sebab-sebab yang kukuh,” perintah Putera Zulkarnain sambil berpeluk tubuh. Matanya mencerlung tajam pada Guntur.
“Pertama, Tengku… kami berada di sini sebagai pengawal. Dalam buku peraturan sebagai Satria Istana, ada dinyatakan dalam bab ketiga, perkara sebelas: ‘Satria Istana mesti sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan sekeliling, terutamanya ketika mengawal anggota keluarga diraja.’ Keselamatan Tengku harus menjadi keutamaan kami,” terang Guntur.
Athari dan Lanang serentak saling melirik. Guntur hafal sampai begitu sekali? Rasanya, pemuda itu lebih banyak bergurau berbanding menekuni buku yang diberikan pihak istana. Bila masanya dia menelaah?
“Ampunkan patik, Tengku. Tetapi, patik juga bersetuju dengan Satria Guntur,” Jallal mencelah. “Pasukan ini sudah sedia kecil, untuk dikecilkan lagi bagi melaksanakan tugasan yang Tengku berikan. Patik khuatir kami terleka sehingga gagal melaksanakan tugas kami sebaiknya.”
Guntur girang mendengar sokongan yang tidak disangka-sangka itu. Dia menambah, “Lagipula, tugas yang Tengku tuntut daripada kami ini pula setaraf penggawa kerajaan. Jawatan yang sepenuhnya berasingan dengan jawatan kami sebagai….”
“Beta akan berikan upah,” potong Putera Zulkarnain.
Putera itu pantas menguis-nguis biji-biji sempoa. “Upahnya akan sama dengan upah yang diterima oleh seorang penggawa. Untuk permulaan, upahnya 100 syiling perak. Jumlahnya akan meningkat sesuai kebolehan kalian. Paling tinggi, beta boleh berikan sehingga 500 syiling perak. Selain upah asas yang kalian terima dari perbendaharaan negara, beta berikan juga 200 syiling perak tambahan setiap bulan.”
“Patik bersetuju!” Nasir dan Bakti menyahut hampir serentak. Jallal, Lanang dan Arjuna pula tercengang. Biar benar Putera Zulkarnain akan membayar mereka sebanyak itu?
Sekampit beras dapat mereka beli dengan 20 syiling timah, bersamaan dengan dua keping syiling tembaga. 100 syiling tembaga sama nilainya dengan satu syiling perak. Otak mereka ligat mengira upah yang bakal mereka terima. 100 syiling perak dari perbendaharaan istana, dan 300 syiling perak dari Putera Zulkarnain, bersamaan dengan empat syiling emas sebulan.
Kenyang sekampung kalau dijamu!
Putera Zulkarnain mengalih pandang pada Arjuna. Remaja itu jadi tidak tentu arah apabila putera itu merenung tepat ke matanya, seperti menantikan jawapan.
“Patik… patik mungkin tidak cukup makan garam untuk jadi penggawa, Tengku.” Halus suara Arjuna, hampir tidak kedengaran.
“Pandai membaca dan mengira?”
Arjuna mengangguk laju.
“Maka, itulah yang engkau akan lakukan,” kata Putera Zulkarnain. Dia menghalakan penanya pada Alang yang setia berdiri di sebelahnya. “Ini Alang, awang kesayangan beta. Cerdik orangnya dan sudah biasa membantu beta dalam pekerjaan seumpama ini. Dia muda dua tahun darimu, tetapi belajarlah dengannya.”
![](https://img.wattpad.com/cover/307221667-288-k814732.jpg)
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Ficción históricaMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...