Bab 16: Anak Harimau Jangan Dipelihara

93 19 4
                                    

Di bawah teduhan pintu laluan pelayan istana, Alang mengibas kain layangnya beberapa kali. Titisan air hujan meluncur turun dari lapisan lilin nipis pada permukaan kain itu. Sambil mengasaknya kain layang yang masih basah-basah itu ke dalam beg sandangnya, dia bergegas menuju ke selatan Istana Purnama Windu. Menuju ke kamar Putera Zulkarnain.

"Bukankah itu pesuruh Tengku Putera Zulkarnain?"

Ada ucapan berbisik seorang dayang sempat singgah di deria pendengaran Alang.

"Memang dia. Dia seorang saja yang boleh keluar masuk sayap kanan istana selain srikandi-srikandi Tengku Puteri."

Alang mendengar kata-kata mereka. Tapi, dia pura-pura tidak tahu dan terus berjalan. Sampai di persimpangan lorong, dia membelok ke kanan. Cepat-cepat dia diam bersembunyi di sebalik tembikar hiasan yang besar.

Tidak lama kemudian, dua dayang yang berbisik-bisik itu tadi melintasi tempat persembunyian Alang. Tertinjau-tinjau mereka mencari remaja itu, sebelum menyambung percakapan mereka. Kecoh hendak bercerita. Sama sekali mereka tidak menyedari Alang sedang memerhatikan mereka.

Seorang membawa raga berisi kain-kain kotor, manakala seorang memegang penyapu di tangan. Alang cuba mengecam wajah mereka berdua.

"Tidakkah keterlaluan Tengku Putera dijatuhkan perintah berkurung? Sedangkan Tengku Putera pun baru pulang dari Empayar Ardalisia. Sampai hati Tengku Puteri..." rungut dayang yang mengelek bakul raga.

"Bukan begitu..." Dayang yang memegang penyapu memandang kiri dan kanan dahulu. Dia menyambung dengan nada yang serius, "Tengku Putera dituntut Tuan Muzdamar untuk bertanggungjawab dengan kekecohan yang dilakukannya. Engkau tahu apa yang berlaku tiga malam yang lalu, bukan? Tengku Putera ajak bergaduh dengan pemenang-pemenang sayembara! Kecoh seisi istana ketika itu kerana ada anak-anak keluarga bangsawan yang mengamuk!"

"Ah! Aku ada mendengar, tapi aku tidak tahu hujung pangkal! Balik dari sumur, istana sudah haruk-piruk. Apa yang terjadi?" tanya dayang dengan bakul raga.

"Tengku Putera mahu membubarkan pasukan Satrianya. Nyaris baginda bertengkar dengan Datuk Bentara Utama!"

"Sungguh?" Dayang dengan raga itu terbeliak mata. "Adakah kerana itu Tengku Putera dihukum?"

Temannya itu buat-buat menyapu lantai yang sudah sedia bersih berkilat. "Benar. Jauh-jauh hari rupanya baginda sudah merencana memberontak begini. Sampai bertegang urat dengan Datuk Bentara Utama! Oleh itu, Tengku Puteri yang harus campur tangan. Sampai Perdana Menteri kembali ke istana, Tengku Putera dilarang keluar dari kediamannya."

"Eh, mahu pula Tengku Putera menurut kata Tengku Puteri?"

"Mujur baginda mahu mendengar! Sudahlah Perdana Menteri tidak ada di istana kala ini. Entah apa lagi angkara yang akan dilakukan Tengku Putera jika tiada yang dapat mengekang tindakannya."

"Begitu... Tepatlah tindakan Tengku Puteri. Seperti kerbau menanduk anak dengan kaparan tanduk. Apalah sebabnya Tengku Putera berkelakuan begini? Baru pulang sudah membuat ulah. Tidakkah engkau merasa Tengku putera ini seorang yang..."

"Jangan ditegur!" Berdesis temannya itu melarang. Spontan keduanya mengemam mulut. Orang kata, cakap malam, dengar-dengar. Cakap siang pandang-pandang.

Mereka itu melintasi tembikar tempat Alang bersembunyi tanpa menyedari keberadaannya di situ. Setelah mereka menghilang di hujung lorong, barulah Alang keluar dari tempat persembunyiannya. Dia hanya mampu memaksakan senyum. Bernanah rasa hati mendengar dayang-dayang itu berani berbicara tentang Putera Zulkarnain seperti itu.

Jika sudah menjadi buah mulut dayang-dayang, sudah pasti perkara ini sudah menyebar ke seisi istana. Tercalarlah anggapan orang pada Putera Zulkarnain. Tetapi, inilah juga situasi yang tuan badannya sendiri mahukan.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now