Sebuah lokasi rahsia di Inderagana
"Bagai kelikir yang dilempar ke permukaan tasik yang tenang, kepulangan Tengku Putera Zulkarnain bakal menjadi riak kecil yang menghasilkan gelombang."
Lelaki tua itu akhirnya bersuara, memecahkan kesunyian di dalam ruangan kecil itu. Dia menghulur kertas sekeping itu pada nyalaan api lilin. Perlahan-lahan, apinya memakan kertas nipis itu lalu meninggalkan abu.
"Benar, ayah. Para menteri dan bangsawan benar-benar sudah menekan Tengku Putera untuk segera kembali," kata pemuda yang duduk bersila di hadapannya.
"Para menteri dan bangsawan itu... hanya mahu menggunakan Tengku Putera untuk memulakan sengketa! Konon merisaukan keselamatan Tengku di Empayar Ardalisia. Konon, menginginkan Tengku pulang ke pangkuan ibu pertiwi... padahal ancaman di dalam negeri belum tuntas dibasmi!" Perempuan yang berkelubung kain batik di sebelah pemuda itu pula menambah, sedikit beremosi.
"Di sisi lain... Semakin lama Tengku Putera di Empayar Ardalisia, semakin getir kedudukan Tengku Puteri Zulaikha Sri Indera. Puak yang menentang Tengku Puteri sampai berjaya mempengaruhi puak yang selama ini berdiri di atas pagar. Mahu tidak mahu, Tengku Putera harus kembali ke Inderagana," balas pemuda itu pula, menyebabkan perempuan itu mengeluh panjang.
"Sudah berapa lama sejak peristiwa serangan itu?" tanya lelaki tua itu lagi sambil memandang anak perempuannya itu.
"Lima tahun lalu, ayah. Tengku Putera seumuran Jagad, sekarang pasti baginda juga berumur 20 tahun."
Pemuda yang bernama Jagad itu ketawa kecil. "Ah, ya. Benar. Sudah pasti kami sebaya. Bahkan kami lahir di hari yang sama."
Lelaki tua itu diam merenung anak lelakinya itu.
Menyedari renungan ayahnya, Jagad berkata, "Ayah usah begitu. Bukankah sudah saya katakan, ayah dan baginda Raja Zulaqram sudah saya maafkan. Saya mengerti keadaan yang memaksa keputusan itu. Tapi, saya tidak tahu jika Tengku Putera akan memaafkan kita."
Mendengarkan anaknya itu seperti tahu-tahu saja yang bermain dalam fikirannya, lelaki tua itu menghela nafas. "Jadi, apa yang akan engkau lakukan sekarang, Jagad? Yang menggalas tanggungjawab keturunan keluarga kita sekarang adalah dirimu."
"Seluruh anggota pasukan Satria Bayang telah digerakkan sesuai rencana. Unggas sudah terbang dari sarang, margasatwa juga sudah dikejutkan. Kita sudah lama bersedia datangnya hari ini," jawab Jagad. Lelaki tua itu mengangguk puas hati.
"Sememangnya kehadiran Tengku Putera akan mengocakkan ketenangan Inderagana. Namun, dari awal lagi ketenangan di Inderagana bagai pecah menanti sebab, retak menanti belah," ujar perempuan itu lagi.
Jagad mengangguk setuju. "Sudah pasti. Sayembara memilih pasukan satria khas untuk Tengku Putera Zulkarnain ialah riak pertama yang terhasil."
"Bagai pecah menanti sebab, retak menanti belah"
[Peribahasa: Perkara kecil yang akan menjadi besar tinggal menanti petaka yang lebih besar lagi.]
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Ficción históricaMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...