"Berhenti!"
Dua batang tombak melintang pangkah di hadapan tubuh Damrik dan Putera Zulkarnain, membantutkan niat masing-masing untuk menyerang balas. Mereka berdua pantas memandang gerangan orang yang menghadang mereka. Empat orang Satria Istana menggenggam tombak masing-masing dengan kejap. Damrik pula ditolak agar menjauhi Putera Zulkarnain. Sabrang pula ditekan meniarap di tanah oleh Satria-satria Istana yang lain.
"Entah apa yang telah terjadi antara tuan muda dengan Tengku Putera. Tetapi, jika tuan muda tidak memadamkan parang api itu, khuatir kami harus menganggap tuan muda berniat tidak baik."
Perhatian mereka semua tertuju pada empunya suara lantang yang terlontar di antara mereka.
Seorang lelaki, dalam lingkungan usia akhir 30-an melangkah ke tengah gelanggang itu. Aura kewibawaannya memancar dalam setiap geraknya, menunjukkan dia bukan sembarangan orang. Datangnya bersama sekumpulan Satria-satria Istana yang mengekor di belakangnya. Semua orang yang ada di situ juga menyisih untuk memberi laluan, jelas menunjukkan dia berpangkat tinggi jika dibandingkan semua yang hadir di situ.
Putera Zulkarnain tersengih dalam hati. Sebenarnya, dia telah menanti hulubalang yang menjaga pintu dewan makan tadi kembali bersama orang yang berpangkat. Sesiapa sahaja, asalkan boleh menghentikan pertarungan yang dia cetuskan ini. Tetapi, orang yang bergegas ke mari ialah lebih baik dari yang dia dijangka.
Datuk Muzdamar Nakhir. Bentara Utama, pemimpin Satria Istana.
"Tuan Muda Damrik, padamkan api itu sekarang!" suara Datuk Muzdamar naik seoktaf.
Walaupun jelas tidak berpuas hati, Damrik akur menghilangkan parang apinya itu.
"Patik juga minta Tengku putera padamkan api di lengan Tengku."
Putera Zulkarnain ketawa perlahan sambil mengangguk. Dia mengibaskan lengannya ke sisi. Api yang dijana dengan kuasa Karunianya itu terpadam seperti lilin ditiup angin. Putera Zulkarnain duduk bersila di atas tanah sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya separas bahu.
Dua Satria yang menahannya saling pandang-memandang. Perlahan-lahan mereka mencabut tombak mereka. Tidak perlu mereka menahan Putera Zulkarnain lagi yang ditahan tenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda agresif.
"Boleh patik minta penjelasan apa yang Tengku lakukan di sini?" Datuk Muzdamar bertanya.
"Beta ingin berkenalan dan adu kekuatan dengan Satria-satria yang bakal menjadi pengawal peribadi beta. Apa salahnya?" balas Putera Zulkarnain bersahaja.
"Tapi, yang patik dengar... Tengku cuba membuatkan mereka meninggalkan pasukan pengawal peribadi Tengku," Datuk Muzdamar menyoal dengan nada yang rendah. "Apa niat Tengku sebenarnya?"
"Seperti yang Datuk dengar, beta meminta mereka untuk pulang semula ke posisi mereka sebelumnya. Beta tidak menginginkan pengawal peribadinyang ramai. Mereka lebih baik berbakti kepada Inderagana daripada berbakti kepada beta."
Datuk Muzdamar memicit batang hidungnya. "Tengku, mereka yang ada disini telah datang jauh-jauh, membuktikan kekuatan mereka agar dapat berkhidmat bakti kepada Tengku. Ini juga ialah aturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Pembesar-pembesar Inderagana dengan keizinan TuankubRaja Zulaqram Shah, ayahanda Tengku sendiri. Tidak wajar Tengku bertindak sewenang-wenangnya begini... Semuanya untuk keselamatan Tengku."
"Datuk Bentara Utama, 30 puluh orang Satria yang jaguh dan gagah perkasa untuk mendahulukan keselamatan seorang anak raja, atau mendahulukan keselamatan seluruh rakyat Inderagana. Manakah yang lebih utama?"
Soalan Putera Zulkarnain tidak mendapat balasan. Tidak dari Datuk Muzdamar, tidak dari para Satria yang mula berkerumun di sekeliling mereka. Putera Zulkarnain bangun berdiri, menepuk-nepuk bajunya yang masih putih bersih, tetapi membiarkan kain samping dan seluarnya masih berdebu.
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Ficción históricaMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...