Membesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...
Bila membicarakan tentang pasukan Satria yang dikhaskan untuk Putera Zulkarnain, serta-merta Puteri Zulaikha teringat sesuatu.
Dia membuka laci mejanya dan mengeluarkan sebemban kertas yang terikat kemas dengan tali merah. Diserahkan bembanan kertas itu kepada Putera Zulkarnain.
“Mungkin ini akan membantu adinda. Ia berisi maklumat latar belakang Satria-satria yang menyertai sayembara untuk menjadi anggota pasukan adinda. Butir peribadi, pekerjaan mereka, datang dari divisyen mana dan reputasi silam mereka selama menjadi anggota Satria Inderagana.”
Putera Zulkarnain menerima kertas sebemban itu lalu membelek-belek beberapa halaman di dalamnya.
Maklumat-maklumat yang ada di dalamnya cukup terperinci, mencakupi maklumat-maklumat peribadi yang biasanya tidak akan ada dalam dokumen rasmi Satria. Jelas Puteri Zulaikha telah membuat penyelidikan latar belakang setiap Satria yang bakal menjadi pengawal peribadi Putera Zulkarnain.
“Seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Terima kasih, ayunda! Maklumat inilah yang adinda mahukan.” Putera Zulkarnain tersenyum.
“Jika ada yang ayunda dapat bantu, jangan segan untuk meminta tolong.”
Putera Zulkarnain berfikir agak lama sebelum bersuara. “Ayunda… adakah ayunda dapat mengesan Tuan Megat Dharman dan anak lelakinya, Jagad?”
‘Akhirnya, disebut jua nama-nama itu.’
Puteri Zulaikha menggeleng.
Dia berkata, “Setelah kejadian lima tahun lalu, Tun Megat telah meletakkan jawatan sebagai Bentara Utama dan berpindah rumah. Walau bagaimanapun, seperti batu jatuh ke lubuk, seluruh keluarga itu tidak lagi dapat dikesan sehingga kini. Jenuh ayunda cuba mencari mereka berdasarkan khabar angin, tetapi jejak mereka seperti halimunan.”
“Di mana mereka bersembunyi dan mengapa?” gumam Putera Zulkarnain sendiri.
“Adinda mencari mereka?”
Putera Zulkarnain mengangguk sambil ketawa perlahan. Namun, tawa itu kedengaran sinis dan bergema duka.
“Mengapa tidak? Separuh umur adinda, adinda percaya Dharmanlah keluarga kandung. Tun Megat adinda lihat sebagai bapa. Radhin dan…” Putera Zulkarnain terjeda seperti tertelan buah pahit. “Jagad, dia yang telah tertukar kehidupan dengan adinda, bukan? Dalam erti kata lain, Jagad seperti saudara kembar adinda. Tetapi, tiba-tiba sahaja mereka menghilang sebaik sahaja terbongkar siapa diri adinda yang sebenar….”
Puteri Zulaikha mencapai kedua-dua belah tangan Putera Zulkarnain, cuba bertembung mata dengannya. Namun, Putera Zulkarnain mengelak dengan memalingkan wajah ke arah lain.
“Adinda harus membesar dalam jagaan keluarga Dharman kerana perintah ayahanda ketika kelahiranmu. Adinda mampu faham niat ayahanda ketika itu, bukan?”
Tiada balasan daripada Putera Zulkarnain.
“Lama, ayunda. Lama saya bergelumang dalam amarah. Terasa adinda seperti anak yang terbuang. ”
“Itu tidak benar!”
“Ketika ayunda menghantar adinda ke empayar, barulah adinda dapat berfikir jernih. Ayahanda harus bertindak sebagai seorang raja dahulu sebelum menjadi seorang bapa. Adinda faham, tetapi sungguh adinda ingin enggan untuk memahami.”
Kali ini, Puteri Zulaikha yang terkelu. Berat luahan yang baru didengarnya, menjadikan dia tidak pasti apa yang harus dikatakannya. Putera Zulkarnain menggenggam kejap tangan-tangan mereka yang bertaut.
“Oleh itu, kesumat ini hanya dapat adinda acukan kepada para pelampau yang mengancam nyawa kita. Kepada para pengkhianat yang menumpahkan darah satria-satria yang tidak berdosa lima tahun lalu. Hutang darah harus dibalas darah."
“Jangan terlalu lama menggenggam dendam. Ayunda takut, adinda akan lupa untuk mencari bahagia adinda sendiri.” Puteri Zulaikha mula cemas ila melihat riak wajah Putera Zulkarnain mulai keras dengan tekad.
“Tiada bahagia untuk adinda jika kita tidak pernah berasa selamat di rumah sendiri, ayunda.” Putera Zulkarnain meleraikan pegangan Puteri Zulaikha. Dia menunduk hormat sebelum melangkah keluar dari ruangan itu.
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Hutang Darah [Maksud: Menuntut bela atas sesuatu kejadian.]
Seperti batu jatuh ke lubuk [Maksud: Hilang lenyap tidak nampak-nampak lagi]
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Psst: Sebab bab ini pendek, ada bab tambahan! Jangan lupa komen, undi dan kongsi!