Bab 13: Batu Jatuh ke Lubuk

123 23 9
                                        

Di dalam sebuah kamar di sayap kiri istana

"Benarkah segala yang engkau telah katakan?" tanya Puteri Zulaikha. Dia merenung Satria yang berada di depannya itu. Apabila lelaki itu mengangguk, Puteri Zulaikha bertukar pandang dengan Dang Anum yang berdiri di sisinya. Riak wajah mereka tergambar jelas masih tidak percaya.

"Sumpah patik tidak berbohong," kata lelaki itu bersungguh-sungguh. "Tengku Putera menyatakan niatnya dengan terang dan jelas di hadapan semua orang. Baginda tidak memerlukan ramai pengawal peribadi. Secara tersurat dan tersirat, baginda menghalau kami untuk pulang ke Teras Satria asal kami."

"Ini berlaku sebelum Tengku Putera mengajak kalian untuk bertarung?" tanya Dang Anum pula. Apabila menerima anggukan dari lelaki itu, Dang Anum menggumam, "Tapi, mengapa? Tindakan Tengku Putera... bagai menjolok sarang tebuan."

Tajam helaan nafas Puteri Zulaikha. "Apa yang berlaku setelah itu, Banang? Engkau berada di sana."

"Ada beberapa orang Satria maju untuk menyahut cabaran Tengku Putera itu. Keadaan nyaris menjadi sengit tetapi berjaya dileraikan oleh Datuk Bentara Utama," jelas Banang. Dia mengukir senyuman. "Diam-diam rupanya ubi berisi. Patik tidak sangka Tengku Putera punya kehandalan dan ketangkasan sedemikian rupa. Tengku Putera dapat mengalahkan lawannya dengan baik!"

Puteri Zulaikha sekadar tersenyum nipis. Ada rasa bangga yang singgah, tapi masih belum dapat menyingkirkan resah hatinya. Puteri itu pun bertanya, "Adakah adinda beta tidak apa-apa?"

"Patik tidak tahu pasti. Tapi... sekurang-kurangnya melihat dari caranya berjalan pergi, patik yakin Tengku Putera tidak apa-apa."

Barulah Puteri Zulaikha menghembuskan nafas lega.

Banang mengeluarkan kertas yang berlipat kecil dari sakunya lalu dihulurkan kepada Dang Anum. Srikandi itu membuka lipatan kertas itu dan membaca kandungannya sekilas pandang sebelum diserahkan kepada Puteri Zulaikha. Di dalam kertas itu ada senarai nama para pemenang sayembara bersama catatan pendek tentang mereka.

"Kerja yang bagus, Banang. Kekal waspada pada semua pemenang sayembara, terutama kepada mereka yang bertindak kasar dengan adinda beta. Kita masih belum tahu siapa yang menghantar mereka dan apa niat mereka," kata Puteri Zulaikha sambil menyerahkan semula kertas itu kepada Dang Anum semula.

"Baik, Tengku." Banang mengangguk.

"Bagaimana pula dengan Jagad Dharman? Adakah ada sesiapa antara para pemenang sayembara yang engkau syaki?"

Wajah Banang berubah sedikit sebelum teragak-agak menjawab, "Maafkan patik, tetapi patik tidak dapat mengenal pasti siapa yang Tengku Puteri maksudkan. Dalam kalangan Satria yang berketurunan bangsawan, tiada yang sebaya dengan Tengku Putera. Jika ada yang sebaya pun, mereka ialah Satria orang kebanyakan, Tengku Puteri. Adakah Tengku puteri yakin pemuda ini akan memunculkan diri?"

"Ini hanyalah firasat beta." Puteri Zulaikha diam sebentar memerhatikan keraguan yang terlakar pada wajah mata-matanya itu. "Kalian berdua tahu bukan siapa keluarga Dharman?"

Dang Anum bersuara, "Mustahil kami tidak tahu, Tengku. Dharman ialah antara keluarga bangsawan yang mempunyai sejarah panjang, bahkan sejak zaman penubuhan Inderagana lagi. Keturunan keluarga itu sentiasa menjadi 'pedang dan perisai' keluarga diraja. Walau bagaimanapun, bekas Bentara Utama dan kepala keluarga itu, Tun Megat Dharman..."

Puteri Zulaikha tersenyum melihat Dang Anum teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya. Ada tabu yang terkait dengan sosok lelaki itu. Tabu yang tidak dapat diperkatakan sewenang-wenangnya, tetapi tidak bagi Puteri Zulaikha. Tiada guna menyorok di balik lombong.

"Seperti yang kalian tahu, sebelum menjadi Bentara Utama, Tun Megat telah menjadi pengawal peribadi ayahanda beta sejak sekian lama. Beliau telah melindungi ayahanda dari banyak marabahaya. Bahkan, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliaulah yang meletakkan ayahanda beta di atas takhta. Kerana itu, ayahanda tidak pernah menidakkan kesetiaannya. Beta sendiri saksi keakraban hubungan mereka ketika beta masih kecil."

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang