Bab 9 : Berlurah Di Balik Pendakian

118 22 1
                                        

Dari ketinggian pentas itu, Putera Zulkarnain memandang ke seluruh dewan, menangkap raut wajah setiap Satria-satria yang ada di situ sebanyak mungkin. Mindanya pantas bekerja memadankan wajah-wajah itu dengan lukisan dari dokumen yang diberikan Puteri Zulaikha kepadanya pada petang tadi.

"Salam perkenalan beta hulurkan kepada tuan-tuan satria gagah perkasa, perwira-perwira pelindung Inderagana. Nama beta ialah Zulkarnain Shah Indera." Suara Putera Zulkarnain melantun ke seluruh dewan dengan terang dan jelas.

Riuh sekali lagi tercetus.

"Apa yang Tengku Putera lakukan di sini? Bukannya Bentara Utama mengatakan kita hanya akan bertemu dengan baginda esok hari?"

"Shh! Usahlah berkata dengan keras!"

"Ayuh berkumpul di hadapan pentas. Pasti Tengku mahu mengatakan sesuatu."

Para Satria itu segera berkumpul dan berbaris dengan teratur di hadapan Putera Zulkarnain. Kerana disiplin yang sudah lama ditempa, mereka berdiri tegak dan sedia seperti dalam formasi kawad kaki.

Secepat itu juga keriuhan itu terhenti.

Putera Zulkarnain memandang Satria yang berdiri paling kanan dari barisan hadapan. Dia memberikan arahan kepadanya melalui isyarat tangan.

Satria itu mengerti. Dia pun melaung dengan suara yang kuat, "Baris! Senang... diri."

Arahan itu membuatkan para Satria kembali berdiri santai, melenturkan bahu yang tadi kaku. Walau bagaimanapun, ketegangan masih belum meninggalkan hati mereka.

"Terima kasih," kata Putera Zulkarnain.

Dia menyambung, "Beta ingin memohon maaf kerana telah menerjah masuk ke majlis ini tanpa diundang. Beta ada perkara penting yang beta harus bicarakan dengan tuan-tuan sekalian."

"Pertama sekali, tahniah beta ucapkan kerana telah memenangi sayembara anjuran istana. Dengan melalui siri-siri saringan iaiu bertarung dengan sesama Satria-satria Sulung dari seluruh penjuru negeri, kalian mampu bertahan hingga ke akhirnya. Mungkin tidak keterlaluan beta anggap tuan-tuan sekalian ialah satria terbaik Inderagana."

Ucapan dari Putera Zulkarnain disambut gemuruh dari para awang dan dayang yang berkumpul di sisi dewan.

"Tapi..." Suara Putera Zulkarnain mematikan tepuk tangan itu. "Biar beta berterus terang di sini. Beta tidak memerlukan tuan-tuan sekalian menjadi pasukan satria peribadi beta."

"Hah!"

"Apa maksud Tengku?" Ada lontaran suara lantang kedengaran di tengah-tengah keriuhan itu. Putera Zulkarnain bertembung mata dengan Satria itu yang baru bersuara itu. Melihat dari perawakan dan gaya pakaiannya, Putera Zulkarnain tahu bahawa Satria itu berketurunan bangsawan.

"Mudah. Beta tidak ingin menentang ayunda beta, Puteri Zulaikha dalam hal pewarisan takhta."

Sekali lagi Putera Zulkarnain menjatuhkan pernyataan yang menggemparkan. Lebih-lebih lagi kepada Satria-satria yang berketurunan bangsawan.

Salah seorang dari mereka berbisik, "Rupanya berlurah di sebalik pendakian. Ada maksud di sebalik perbuatan Tengku."

"Nampaknya kita akan beraja perempuan setelah ini."

"Adakah engkau bersetuju?" Satria yang disisinya bertanya.

"Aku tidak menentang. Tetapi, hal ini akan menggemparkan seluruh Inderagana. Para pembesar yang sekian lama menyokong Tengku Putera untuk menjadi pewaris takhta tidak akan betah duduk."

"Benar sekali."

"Ampunkan patik, Tengku." Seseorang yang berdiri paling hadapan mengangkat sembah. "Jika patik boleh bertanya, adakah Tengku boleh menolak kami semua? Kepada kami yang telah datang dari jauh dan berjuang untuk sampai ke tahap ini... tidakkah Tengku sedang berlaku zalim kepada kami?"

Beberapa orang mengangguk setuju, bersahut-sahutan menyokong soalan itu.

Putera Zulkarnain tersenyum tenang. Dia membalas, "Adalah lebih zalim jika sekiranya beta menyebabkan orang-orang suruhan beta berakhir dalam kebuntuan. Apa yang kalian harapkan dari beta, seorang putera yang tidak mempunyai apa-apa, banyak pula musuhnya?"

Satria yang bertanya itu diam.

"Maka dari itu, lebih baik tuan-tuan sekalian kembali ke posisi asal masing-masing. Kekuatan tuan-tuan lebih diperlukan untuk melindungi Inderagana. Bakat dan kemampuan tuan-tuan boleh berkembang lebih pesat di luar sana. Beta tidak mahu menjadi penghalang kelahiran generasi petarung, pejuang dan pahlawan hebat yang seterusnya."

Putera Zulkarnain dapat melihat ada riak wajah yang telah bertukar keruh. Dari ekor mata, dia juga melihat para awang dan dayang yang berada di dalam dewan itu saling berbisik-bisikan antara satu sama lain.

"Sayembara ini telah dilakukan tanpa rundingan penuh pada beta. Beta tidak mahu merampas Satria hebat daripada para Hulubalang Utama Inderagana. Beta juga tidak memerlukan Satria menjadi anggota pasukan pengawal beta melebihi anggota pasukan Srikandi Puteri Zulaikha. Jika tuan-tuan bersetuju untuk kembali ke posisi asal masing-masing, sebagai gantinya beta akan berikan wang emas, seperangkat alatan keselamatan baru, sepersalinan seragam dan busana serta ubat-ubatan. Semuanya untuk mengakui kemenangan tuan-tuan ke atas sayembara ini."

"Bagaimana jika kami memilih untuk tinggal, Tengku?"

"Apa yang dapat kami lakukan supaya Tengku dapat menerima kami?" Satria yang bertanya tadi masih berkeras nampaknya. Ada beberapa orang yang mempunyai kibaran tekad yang sama dengannya, sementara yang lain masih termanggu-manggu berfikir. Putera Zulkarnain masih mengekalkan senyumnya.

"Bertarung dan kalahkan beta."

"Apa?"

"Adakah aku tidak salah dengar?"

Sementara seisi dewan kecoh dengan jawapannya, Putera Zulkarnain mengundur ke belakang sehingga belakang tubuhnya menyentuh dinding pentas. Dia menghela nafas panjang seraya memecut ke hadapan. Hampir di bucu pentas, dia menerjang lantai dengan keras.

Seperti burung yang lepas landas, Putera Zulkarnain melayang tinggi ke udara, berputar dua kali sebelum mendarat cantik di hadapan pintu gerbang dewan itu.

"Mari ke gelanggang."

Berlurah di balik pendakian

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.

Berlurah di balik pendakian

[Maksud: Ada kehendak (maksud) yang tersembunyi]

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang