Sepeninggalan Alang, Srikandi-srikandi yang berkawal di luar menunggu dalam senyap. Dang Anum dan Citra berdiri di depan gerbang manakala dua srikandi lagi mengawal di hujung lorong. Keheningan yang mencurigakan itu membuatkan Dang Anum mengerutkan dahi.
Dia bertanya kepada Citra, “Tiada orang lain yang keluar masuk dari sini, bukan?”
Citra mengangguk perlahan. “Selama saya berkawal di sini, selain Alang, tiada orang lain. Tapi, di luar…”
Dang Anum spontan menolak pintu gerbang. Tetapi, tangannya terhenti ketika melihat kelibat Alang bersama Putera Zulkarnain di antara celah pintu. Dua Srikandi itu terpempan seketika kerana ini pertama kali mereka melihat putera itu tanpa topengnya. ‘Tampan’ ialah perkataan pertama yang terpacul di minda, meskipun penampilan putera itu polos, ringkas dan agak serabai.
“Tukar baju dahulu.” Mendatar suara Putera Zulkarnain mengarah. Kitab berkulit tebal diketuk-ketuk ke tengkuknya.
“Tapi, Srikandi Dang Anum ingin bertemu dengan Tengku! Patik perlu siapkan… Ah!” Bangkangan Alang terhenti apabila kepalanya dicengkam Putera Zulkarnain.
Seketika itu juga ada cahaya kuning menyerlah dari tangan putera itu lalu meresap masuk ke tubuh remaja itu. Angin kuat tiba-tiba berpusar di sekeliling Alang. Haba hangat sampai menampar wajah dua Srikandi yang sedang mengintip jauh di balik pintu gerbang. Pakaian Alang yang tadi lembap-lembap kini kering sepenuhnya.
“Tengku!” Alang merengek.
“Engkau makin besar makin suka melawan kata.” Putera Zulkarnain menggoyang kepala remaja itu. “Pergi minta makanan dari dapur. Bawa ke ruang tamu kecil.”
Panjang muncung Alang tanda masih mahu memprotes. Bila Putera Zulkarnain menjegil mata, mencicit budak remaja itu lari ke lorong belakang yang menyambung ke dapur. Putera Zulkarnain menggeleng sambil ketawa kecil sepeninggalan Alang.
Dia menghilang masuk ke kamarnya. Tidak lama kemudian, putera itu muncul di lorong itu semula. Kali ini, Putera Zulkarnain mengenakan topeng peraknya semula. Anak rambutnya ada kesan sudah bercecah air dan dikemaskan. Baju hias biru laut kini sudah melapisi baju polos yang dipakai, sepadan dengan kain samping yang dikenakan. Kitab tebal tadi masih dibimbitnya.
Putera itu menghilang semula ke dalam sebuah kamar lain.
Dang Anum menepuk bahu Citra. Bagai tersentak Srikandi itu dari pukauan.
“Tak manis anak dara mengintai anak teruna. Anak teruna raja pula itu. Lapor Tengku Puteri baru tahu,” usik Dang Anum sambil mencucuk pipi Citra. Terus merah padma wajah gadis itu.
“Ah, kakak yang mula dahulu! Kalau Tengku Putera hilang melarikan diri semasa saya berjaga, saya yang kena!”
“Samalah. Saya pun sekadar memeriksa.” balas Dang Anum bersahaja. Dia mengenyit mata pada Citra, dibalas dengan jelingan sebal. Mereka berdua kembali berdiri tegak di tempat mereka berkawal tadi. Ada persetujuan dalam senyap berlaku antara mereka berdua apabila kedua-duanya kembali memasang wajah serius.
“Rasanya… mengapa Tengku Putera memakai topeng itu?” Citra tiba-tiba memecahkan sunyi.
“Siapalah yang tahu?” Dang Anum membalas perlahan.
Serta-merta, dia teringat kembali kali pertama dia melihat kelibat Putera Zulkarnain di dermaga. Topeng perak itu melekap sudah di wajah putera itu.. Dia dapat melihat Puteri Zulaikha hairan, namun tidak mengatakan apa-apa tentang tabiat aneh adindanya itu. Maka, dia tidak boleh menzahirkan sebarang syak prasangka.
Nyatanya, Putera Zulkarnain seorang yang rupawan. Tiada pula ada parut yang melintang mencacatkan wajah sehingga perlu disembunyikan. Adakah hanya di khalayak putera itu akan memakai topeng, tetapi tidak memakainya jika bersendirian? Timbul rasa bersalah pula kerana terpandang wajah putera itu tanpa topeng, dan tanpa izinnya.
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
أدب تاريخيMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...