Hujan lebat telah turun mencurah-curah sejak subuh sampai ke pagi, rintiknya masih berterusan membasahkan bumi. Angin laut pula menghantar kesejukan yang terasa mencengkam sehingga ke tulang. Aktiviti di kota perlahan, seperti belum sepenuhnya terjaga dari lena.
Walau bagaimanapun, Istana Purnama Windu tidak pula setenang pagi itu. Para dayang dan awang sudah ligat ke hulu-hilir mengerjakan tugas masing-masing.
Di tengah-tengah arus kesibukan itu, Datuk Muzdamar dan tiga orang pegawai kanannya melangkah tergesa-gesa menuju ke sayap kiri istana. Mereka harus bergegas atau kesan huru-hara yang dicetuskan oleh Putera Zulkarnain semalam akan menjadi tidak terkawal.
“Apa yang harus kita lakukan sekarang, Datuk Bentara? Tengku Putera sendiri bertindak membubarkan pasukan yang dibentuk untuknya!” tanya seorang Bentara Kanan.
“Bagaimana dengan Majlis Pelantikan Satria yang harus dilaksanakan pagi ini? Haruskah kita menangguhkanya, ataupun membatalkannya?” tingkah yang lain pula.
“Jika kita membatalkannya, apa yang harus kita jawab dengan Majlis Pembesar-pembesar Inderagana? Sayembara untuk memilih anggota Satria Putera telah dianjurkan sampai dicanang ke seluruh negeri, tetapi alih-alihnya hasilnya begini? Di mana kita harus meletak muka?”
Perdebatan antara anak-anak buahnya dibiarkan tenggelam timbul bersama kerasnya degar dan dentum dek ribut yang merempuh dinding istana dan daun-daun tingkap. Fikiran Datuk Muzdamar ligat memikirkan penyelesaian. Sungguh dia tidak menyangka putera tunggal Inderagana akan membuat onar sebaik sahaja dia kembali ke istana.
Beginikah sikap putera yang telah dinanti-nantikan kepulangannya hampir dua dekad?
Raja Zulaqram sedang gering. Sama sekali, raja itu tidak dapat dibebani dengan masalah yang dicetuskan oleh puteranya. Tun Mahad yang bertanggungjawab di atas pendidikan putera-puteri Inderagana pula sedang tiada di istana. Maka, orang terakhir yang difikirkan dapat mengekang tindakan Putera Zulkarnain, hanyalah Puteri Zulaikha.
“Datuk Bentara Utama, tunggu!” Langkah Datuk Muzdamar itu terhenti, begitu juga satria-satria yang mengekorinya.
Seorang pemuda berlari anak mendekatinya. Melihat dari lambang dan lencana pada seragamnya yang basah-basah terkena hujan, satria itu adalah pengawal Gerbang Sri Nirmala. Datuk Muzdamar menanti kedatangannya sambil berpeluk tubuh.
“Ringkas dan padat! Lapor!” arah Datuk Muzdamar tegas sebaik sahaja pengawal itu tiba di hadapannya.
Belum pun habis tercungap-cungap, pengawal itu terus menunduk hormat. Dia segera melapor, “Datuk, segerombolan pedagang memohon kebenaran memasuki pekarangan istana. Katanya, mereka membawa barang-barang yang dipesan oleh Tengku Putera Zulkarnain.”
Berkerut dahi Datuk Muzdamar. Dia menyambut kertas-kertas yang dihulur oleh pengawal gerbang itu. Nyaris keningnya bertaut melihat jumlah kereta lembu yang meminta izin memasuki perkarangan Istana Purnama Windu. Berbelanja apa sahaja putera yang seorang ini sehingga pedagang datang segerombolan begini?
Datuk Muzdamar menyerahkan kembali kertas itu sambil mengurut pelipisnya.
“Buat sahaja pemeriksaan yang ketat. Apa sahaja yang dihantar pagi-pagi buta begini? Sehingga Tengku Putera mengesahkan memang benar barang-barang itu miliknya, tahan para pedagang itu di luar gerbang.”
“Itu memang milik beta, Datuk Bentara Utama.”
Suara itu membuatkan semua yang ada di situ menoleh. Putera Zulkarnain mendekati kumpulan Datuk Muzdamar dengan langkah yang santai. Di belakangnya, ada dua orang Srikandi dan seorang awang istana mengekorinya rapat. Srikandi Dang Anum dan Srikandi Citra.
ANDA SEDANG MEMBACA
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Historische RomaneMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...
