“Tanah runtuh…” Putera Zulkarnain merenung keras Fajar yang masih tidak sedarkan diri. Dia mula membayangkan peta besar Inderagana yang di ruang kerjanya.
Kampung Bhumija Hijau ada di arah barat laut dari ibu kota. Namun, untuk ke wilayah itu, jalan utama yang menghubungkan kota ke kota harus melencong agak jauh kerana harus melalui hutan dan kawasan berbukit.
Jika tanah runtuh telah berlaku, misi penyelamatan harus dilakukan segera. Persoalannya, berapa banyak masa yang mereka ada? Putera Zulkarnain meramas-ramas baju Fajar. Kainnya lembap-lembap kerana air hujan. Pasti remaja itu meredah hujan tengah malam semalam untuk bergegas ke mari.
“Lanang, berapa lama jarak perjalanan antara kampungmu dengan istana?”
Tiada jawapan dari Lanang. Dia masih terpegun, dek baru dihempas badai berita yang dibawa Fajar. Athari harus menepuk bahunya dua tiga, baru dia tersentak sedar.
“Du… dua hari, satu malam dengan pedati lembu, Tengku,” jawab Lanang, masih terperangah tiba-tiba disoal.
“Terlalu lama. Jika kita berkuda ke sana, engkau tahu jalan singkat?”
Laju Lanang mengangguk. “Ada! Ada jalan singkat yang merentas bukit. Kalau berkuda, paling cepat boleh sampai sehari semalam, Tengku!”
Derap larian kuda membantutkan perbualan mereka. Jallal datang memacu kuda dari hujung jalan. Putera Zulkarnain bangkit berdiri apabila melihat pemuda itu memegang seruas buluh di tangan kirinya.
“Utusan kecemasannya, Tengku.” Jallal menyerahkan buluh seruas itu pada Putera Zulkarnain sebaik sahaja turun dari kuda. Dia masih tercungap-cungap, berusaha mengumpul nafas untuk menyambung, “Tercicir di jalan. Kuda utusan itu masih terlepas… tapi para petani sedang mengejarnya.”
“Tidak mengapa. Itu boleh diuruskan kemudian. Kerja bagus,” kata Putera Zulkarnain sambil menepuk bahu Jallal. Tidak sukar untuk menangkap kuda yang sudah keletihan. Perkara paling penting sekarang, isi surat di dalam buluh itu. Dia harus tahu bila tanah runtuh itu berlaku.
Tanpa tangguh, Putera Zulkarnain memulas gabus penutup ruas buluh itu dan mengeluarkan kertas bergulung di dalamnya. Anggota Satria Putera diam, berdebar-debar menanti Putera Zulkarnain membaca utusan itu.
Putera Zulkarnain mengangkat wajah yang tegang. “Tanah runtuh itu berlaku malam semalam. Masa kita suntuk. Kembali ke istana sekarang juga!”
“Baik!”
Ketika mereka sampai ke gerbang kota, nyaris mereka ditahan oleh satria yang berkawal. Putera Zulkarnain cukup memperaga kuasa Karunia untuk mengesahkan identitinya. Para pengawal gerbang tiada pilihan lain selain membenarkan rombongan itu merempuh masuk. Terkulat-kulat mereka mendapati putera raja yang sepatutnya berada di dalam istana datang dari luar kota.
Sebaik sahaja tiba di Istana Purnama Windu, Putera Zulkarnain bergegas mencari Puteri Zulaikha. Guntur diarahkan untuk menghantar Fajar ke tabib istana untuk dirawat. Anggota pasukan yang lain pula diarahkan untuk menyiapkan bekalan perjalanan. Hanya Lanang, Alang dan Arjuna yang dibawa masuk untuk berjumpa dengan Puteri Zulaikha.
Meskipun terkejut dengan berita yang dibawa adindanya, Puteri Zulaikha dengan pantas mengatur rencana dan mengeluarkan perintah.Tidak lama kemudian, Alang dan Arjuna keluar pula bersama lima orang srikandi. Mereka berpecah ke serata arah melaksanakan tugasan masing-masing.
Tidak sampai setengah jam, anggota Satria Putera berkumpul di dataran di hadapan gerbang utama istana bersama dua puluh orang Satria-satria Istana yang lain. Di sisi mereka sudah ada seekor kuda yang lengkap dengan bekal perjalanan. Keberadaan Satria Kanan Jamdar di barisan hadapan menandakan bahawa pasukan penyelamat itu terdiri daripada anggota Satria Permaisuri.
![](https://img.wattpad.com/cover/307221667-288-k814732.jpg)
YOU ARE READING
𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀
Fiksi SejarahMembesar sebagai anak keluarga pahlawan, hidup yang diketahuinya berubah drastik saat Karunia, kuasa sakti diraja tercetus di dalam diri. Serta-merta dia menjadi putera pewaris takhta, sedang nyawanya diancam musuh yang ingin melenyapkan kerabat dir...