BAB 1

153 2 0
                                    

Teresak-esak Salman di tepi sungai seorang diri. Serban dan kopiahnya ditolak ke tepi sebagai tanda protes terhadap apa yang jadi pada hari ini. Kalau diberi pilihan, sudah tentunya dia mahu lari saja dari Maahad Tahfiz Darul Taqwa ini. Sumpah, mentalnya begitu penat ketika ini.

Ustaz Ahmad Zuhair selaku mudir Maahad Tahfiz Darul Taqwa memerhati gerak-geri Salman dari jauh. Jauh disudut hatinya juga rasa bersalah atas kejadian yang menimpa anak muridnya tadi. Namun dia tetap akan pujuk dan terus memujuk agar pelajarnya tidak berputus asa untuk menghafal kalam Allah yang suci itu.

"Sampai bila kamu mahu menunjuk diri tu lemah Salman? Kamu tahukan betapa susahnya untuk mencapai sebuah kejayaan yang kamu idamkan? Sudah Salman, bangkit dan terus bangkit. Minta pertolongan pada dia!" garau kedengaran suara Ustaz Zuhair.

Tanpa menoleh sekilas pun, Salman terus mengelap airmatanya. Walaupun rasa sakit dilibas tadi semakin berkurang, tetapi tidak hatinya. Sedikit sebanyak hati remajanya menyimpan dendam terhadap gurunya.

Dia tahu dia adalah pelajar yang paling lemah di Maahad itu. Walaupun ramai rakan-rakan yang cuba membantunya, dia tetap tak mampu memahami apa yang dipelajari. Apatah lagi hendak menghafal 30 juzuk Al-Quran seperti pelajar lain. Baru hendak masuk juzuk kesepuluh, dia sudah berputus asa.

"Apa yang kamu rasa hari ini normal Salman. Saya juga pernah rasa apa yang kamu rasa. Tapi jangan rasa merendah diri. Saya tahu kamu boleh..." Ustaz Zuhair mengambil tempat di sebelah Salman.

"Saya dah tak mampu nak teruskan ustaz. Saya dah tak boleh. Saya penat. Kalau tidak kerana saya memikirkan ibu ayah saya, saya dah lari dari tempat ni ustaz. Tempat ni bagai neraka buat saya!" Salman meluahkan rasanya.

Ustaz Zuhair tersenyum. Dia faham sangat. Masa dia menuntut ilmu di sini pun dia pernah merasakan perkara yang sama. Setiap hari dia dikerah, dihukum sekiranya tidak mampu menghafal tepat pada waktunya. Ustaz Zuhair memeluk bahu Salman untuk menyalurkan segala kekuatan pada jiwa si remaja ini.

"Kenapa ustaz senyum? Saya serius ni!" marah Salman. Dia tengah serius boleh pula gurunya senyum sendirian.

"Ada masanya kamu ni kelakar ya?" balas Ustaz Zuhair selamba.

"Bila masa saya buat lawak? Ustaz ni yang bukan-bukan saja. Sudahlah!" Salman bangun dari tempatnya untuk berlalu pergi.

"Sabar Salman! Duduk dulu. Belajar kawal marah kamu. Belajar untuk tenangkan diri kamu. Itu semua hasutan syaitan Salman. Dia punca kamu cepat berputus asa. Duduk dulu." arahnya tegas kali ini.

Langkahnya terhenti. Salman menoleh ke arah gurunya. Dengan langkah yang lemah dia berpatah balik dan mengambil tempat duduk di sebelah Ustaz Zuhair semula.

"Untuk menjadi seorang hafiz, tak mudah Salman. Sebab tu saya kata kamu kena kuat lalui apa yang kamu sedang lalui sekarang. Cekalkan hati kamu. Dikerah, dimarah itu perkara biasa untuk kita. Minda kamu kena kuat. Hati kamu kena kuat. Senang kata, serba-serbi kena kuat. Apa yang saya nak lihat nanti, kamu selesaikan hafalan dan syahadah kamu. Janji dengan saya kamu takkan berputus asa lagi?" panjang lebar kata-kata Ustaz Zuhair.

Teragak-agak Salman hendak menyambut huluran tangan Ustaz Zuhair. Walaupun gurunya masih muda dan beza lima tahun saja dari umurnya, Ustaz Zuhair sangat tegas orangnya. Tujuan hidupnya adalah untuk melahirkan lebih ramai anak muda celik Al-Quran dan mempunyai pegangan agama yang kuat sepanjang hidup mereka.

"Jangan risau, saya akan bimbing kamu dan rakan-rakan kamu di sini. Itu misi hidup saya. Cuma saya harap kamu beri saya peluang untuk saya bantu kamu menjadi seorang hafiz Al-Quran seperti senior-senior kamu sebelum ni." pintanya kepada Salman.

Tak lama kemudian, Salman menyambut huluran tangan Ustaz Zuhair. Akhirnya Salman menghadiahkan senyuman buat gurunya itu.

"Saya minta maaf kalau saya ada sakitkan hati kamu Salman."

CERITERA HATI ZUHAIRWhere stories live. Discover now