BAB 2

69 3 0
                                    

Salman diam. Ustaz Zuhair pun sama diam. Hanya terdengar bunyian dari kipas siling saja. Matanya dipejam dan dahinya berkerut untuk mengingati apakah ayat yang seterusnya. Nampaknya Salman lupa lagi. Padahal tadi dia sudah ingat kesemuanya. Kenapa bila perlu tasmik di hadapan gurunya dia kembali lupa. Salman mula pasrah. Rasa hendak bangun dan lari saja dari situ. Namun keadaannya membataskan segalanya.

"Lupa lagi?" tanya Ustaz Zuhair.

Salman mengangguk perlahan. Ustaz Zuhair menghelakan nafasnya perlahan. Seperti sudah diagak.

"Sampai bila Salman? Orang lain dah jauh ke depan kamu masih di takuk yang sama. Kalau ikutkan kamu dah banyak ketinggalan dari mereka. Kamu tak ada cita-cita ke untuk habiskan hafalan kamu secepat mungkin?" tanya Ustaz Zuhair.

"Ada ustaz..."

"Dah tu? Takkan ini pun masih tak boleh buat?"

Ustaz Zuhair memandang lama ke arah Salman. Diperhatikan pelajarnya begitu lama. Dalam fikirannya asyik memikirkan bagaimanakah dia boleh membantu Salman mengatasi kelemahannya. Kalau boleh dia tak mahu Salman ketinggalan jauh dari pelajar-pelajar lain. Sudah tentu akan menjatuhkan semangat pelajarnya itu. Bila semangat sudah tidak, jiwa untuk terus menghafal juga akan kikis sedikit demi sedikit.

"Tak apalah. Kamu keluar dulu. Teruskan menghafal seperti biasa. Tambah lagi dua muka surat baru dan esok jumpa saya bila ada kelapangan masa." pesan Ustaz Zuhair.

"Baiklah ustaz. Terima kasih." Salman keluar dari bilik mudir dengan hati yang kecewa lagi.

Termengah-mengah Ustaz Sabil masuk ke dalam bilik Ustaz Zuhair. Mukanya yang dipenuhi titik peluh dilap saja dengan lengan bajunya. Dia benar-benar rasa panik dengan apa yang dilihatnya tadi. Sebab itulah dia cepat-cepat mendapatkan Ustaz Zuhair untuk meminta bantuan.

"Enta kenapa ni? Ada apa-apa yang berlaku ke?" tanya Ustaz Zuhair yang turut panik.

"Ana nampak seorang perempuan di sekolah ni. Dia sedang tidur di belakang kantin." jelas Ustaz Sabil. Terkejut Ustaz Zuhair mendengarnya.

"Ha? Siapa tu? Enta kenal ke?"

Ustaz Sabil menggeleng. Dia tak kenal dengan wanita itu. Dia terus mengajak Ustaz Zuhair ke belakang kantin.

Sampai saja di situ, Ustaz Zuhair dan Ustaz Sabil mendekati wanita itu perlahan-lahan. Dia beristighfar apabila melihat pakaian wanita itu yang sangat menjolok matanya. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan.

"Ana tak bolehlah. Kita panggil beberapa orang pelajar perempuan boleh?"

Ustaz Sabil mengangguk setuju. Lebih baik mereka minta pertolongan dari pelajar perempuan saja untuk mengelak berlakunya sebarang fitnah ke atas diri mereka berdua.

Baru saja Ustaz Zuhair dan Ustaz Sabil mahu pergi, wanita misteri itu terus bangun dan mendapatkan mereka berdua. Hampir-hampir saja wanita itu memeluk Ustaz Zuhair dari belakang. Namun Ustaz Zuhair pantas mengelak. Dia memejamkan matanya. Rasa marah terhadap wanita itu mula memuncak.

"Ukhti kenapa? Tolong kawal diri. Kamu siapa sebenarnya?" tanya Ustaz Zuhair kasar.

"Sabar enta. Dia nampak ketakutan. Mungkin ada sesuatu yang berlaku padanya." bisik Ustaz Sabil.

Mereka memerhati wanita itu sekejapan. Nampak matanya meliar-liar ke kiri dan ke kanan. Ustaz Zuhair dan Ustaz Sabil mula rasa pelik. Memang nampak wanita itu sedang bergelut dengan rasa takut yang menyelubungi dirinya.

"Ukhti duduk dulu. Kamu jangan takut. Ustaz Sabil akan perhatikan kamu dari jauh. Saya akan cari bantuan untuk tolong kamu." ujar Ustaz Zuhair dan dia terus berlalu dari situ.

CERITERA HATI ZUHAIRWhere stories live. Discover now