BAB 18

52 2 0
                                    

Zuhair selamat tiba di Malaysia. Dari jauh lagi dia dah nampak papa, mama dan adiknya yang sudah menunggu. Walaupun baru pergi beberapa hari tak dinafikan dia begitu rindu pada keluarganya. Tak pernah dia berjauhan sehingga begini sekali.

Dia terus bersalaman dengan mama dan papanya. Haura pula membantu abangnya untuk membawa barang-barang ke kereta. Bila jadi anak bongsu ni memang kena jadi orang suruhan abangnya la.

"Mama, papa sihat tak ni?" Zuhair bertanya khabar kedua orang tuanya.

"Kami sihat je. Zuhair sihat tak?" tanya Datin Hasnah.

"Sihat je ma. Jomlah balik dulu. Banyak benda yang kita boleh cerita. Takkan nak cerita tengah-tengah KLIA ni kan." seloroh Zuhair. Dia membantu Haura membawa barang-barangnya.

Sampai saja di rumah Zuhair terus menuju ke biliknya. Jam pun dah menunjukkan pukul 9:30 malam. Badannya agak letih juga. Nak bangun pun sudah terasa malas. Namun bila mengenangkan dia masih belum menunaikan solat Isyak, Zuhair gagahkan diri untuk ke bilik air. Lepas tu mamanya suruh turun makan pula. Dia ikutkan sajalah.

Sebaik saja turun dari biliknya Zuhair ternampak banyak makanan yang terhidang di atas meja. Rajinnya mamanya masak. Zuhair mengambil tempat duduk di sebelah Haura. Mereka semua dah menunggunya di meja makan sejak tadi.

"Sorry lambat. Makanlah dulu. Tak payah tunggu Zuhairlah papa, mama." kata Zuhair. Dia ke sinki untuk membasuh tangan terlebih dahulu.

"Saja je nak tunggu Zuhair. Dah lama kita tak makan sama-samakan." balas Datin Hasnah yang membantu anaknya mencedok lauk.

"Macam mana Zuhair projek mega tu?" Datuk Zahari bersuara tiba-tiba. Zuhair memandang ke arah papanya.

"Alhamdulillah. Pembentangan tu berjalan lancar. Ada rezeki kita adalah nanti tu pa. Zuhair tak berani nak janji. Sebab saingan pun sengit." balas Zuhair yang tidak mahu memberi harapan.

"Ni papa ada satu perkara lagi ni.." kata-kata Datuk Zahari terhenti. Begitu juga Zuhair yang sudah berpaling ke arah papanya.

"Apa benda pa?" tanya Zuhair. Entah apa kerja lagilah yang menunggu dirinya.

"Mega Sakti. Projek baru." balas Datuk Zahari.

Mega Sakti? Syarikat mana pula tu? Pertama kali Zuhair mendengar nama syarikat ni. Dia baru ingat nak rehat selepas pulang dari Jepun. Ada lagi tugas yang menunggu dirinya. Zuhair menghelakan nafasnya. Rasa belum bersedia pula untuk terima projek baru selain projek yang sedia ada. Projek bersama Puncak Gemilang pun masih dalam perancangan. Dia baru ingat nak selesaikan dengan Puncak Gemilang dulu sebelum terima projek yang lain.

"Papa takkan masuk projek lain pula? Zuhair baru ingat nak settle projek kerajaan dengan Puncak Gemilang dulu. Zuhair tak biasa nak buat kerja banyak-banyaklah ni." luah Zuhair seakan tidak bersetuju dengan papanya.

"Tak boleh Zuhair. Mereka dah deal dengan AP masa kamu di Jepun lagi. Tanya Sally nanti." ujar Datuk Zahari.

Zuhair mengeluh. Takkan Sally terus bersetuju ambil projek tu tanpa berbincang dengan dia dulu? Kalau begini apa fungsi dia di AP kalau segala tender Sally yang uruskan? Sepatutnya perkara-perkara sebegini Sally perlu berhubung dengannya dulu. Mana boleh main terima je. Kalau tak boleh nak selesaikan projek ni macam mana?

"Sally yang terima tender tu pa?" tanya Zuhair. Datuk Zahari mengangguk.

"Kenapa tak bincang dengan Zuhair dulu? Mana boleh main terima je." Zuhair meninggikan suaranya sedikit.

"Kamu bincang la dengan dia Isnin ni. Tapi papa tak nak kamu tolak projek Mega Sakti tu. Nanti rugi." pesan Datuk Zahari sinis.

"Kemungkinan Zuhair akan tolak pa." balas Zuhair perlahan. Buat masa ini dia tak mampu nak buat dua tiga kerja dalam satu masa.

CERITERA HATI ZUHAIRWhere stories live. Discover now