اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Kini..
SEORANG gadis yang sedang memperagakan gaun jenis column berwarna nude satin di atas pentas gah itu diperhati tidak lepas. Lenggok badannya yang sedang berjalan membuatkan orang ramai terpana akan kecantikan yang dimiliki gadis cantik itu.
"Siapa dia?" bisik pengasas pertunjukan fesyen itu kepada pembantu peribadinya. Matanya tunak memerhati lenggok gadis itu.
Gadis itu sangat...menarik.
"Dia Adalee. Umur 22 tahun. Bekerja di bawah Isfliq's agency. Jadi model sejak umur 17 tahun," maklum pembantu peribadinya.
Lelaki muda itu mengangguk sambil mengusap perlahan rahang tajamnya. Tanpa sedar, bibir merahnya yang jelas-jelas membuktikan dia tidak pernah menghisap rokok itu menyungging senyuman penuh makna.
"Adalee." Nama gadis itu disebut perlahan.
"Kau cantik."
•••
WAJAH yang sudah berkedut dimamah usia itu tekun membaca paparan berita di tabletnya. Masih jelas di ingatannya akan raungan Puan Sri Kaysa tentang berita kehilangan anak mereka pagi itu.
Pembetulan, bukan hilang tetapi meloloskan diri daripada rumah hanya kerana mahu mengejar cita-cita bodoh itu. Jarinya mengetuk perlahan meja kayu sehingga menghasilkan gema di dalam bilik kerja yang gelap-gelita itu.
Tan Sri Ruzain fokus melihat video anak gadisnya yang menjadi tarikan utama dalam pertunjukan fesyen yang diadakan pada malam semalam. Malangnya dia tidak dapat hadir kerana ada hal yang mendadak. Kesalnya terasa sampai sekarang.
Gambar Raudhah Ma'wa yang memperagakan pelbagai jenis gaun itu disimpan di dalam satu fail. Percaya atau tidak, daripada dulu dia memerhatikan gerak-geri anak gadisnya tanpa mengganggu kerjaya Ma'wa. Sudah makan ke belum? Semua maklumat di hujung jarinya. Tinggal petik sahaja.
Dalam diam, masih ada rasa kasih dan cinta yang mengalir dalam tubuh Tan Sri Ruzain untuk dicurahkan kepada satu-satunya puteri tunggal dalam keluarga kecilnya itu.
Kata orang, tali ikatan antara bapa dan anak sukar dipisahkan. Merantaulah sejauh mana pun, tali itu akan tetap utuh di tempatnya.
Begitulah kasih Tan Sri Ruzain terhadap puteri tunggalnya, Raudhah Ma'wa.
"Josh!" serunya daripada dalam. Lelaki muda yang setia berjaga di luar pintu bilik kerja itu segera masuk setelah mendengar panggilan tuan besarnya.
"Ya tan sri?" Badannya dibongkokkan separa tanda memberi penghormatan yang tinggi terhadap tuan besarnya itu.
"Mereka sudah terlalu maju ke hadapan. Aku lelah menunggu. Mungkin kau sudah boleh mulakan segalanya. Mula dari bawah." Josh dapat menangkap dengan jelas ayat kiasan Tan Sri Ruzain itu.
Lambat-lambat bibir lelaki itu menguntum senyuman tipis lalu kepala diangguk penuh teruja. Sudah lama dia nantikan saat ini. Semangatnya terasa berkobar-kobar.
"Baik tan sri!"
Keluar sahaja lelaki suruhannya daripada bilik kerja itu, terus kerusi kerja dipusingkan menghadap ke arah tingkap besar yang memaparkan pemandangan malam ibu kota itu.
YOU ARE READING
Langkah Pendosa
Romance[On-Going] Hidupnya dibelenggu dengan dosa, terlalu mengejar dunia sehingga lupa akan kewujudan akhirat. Benar, Tuhan itu Maha Penyayang. Dia tidak pernah lupa akan hamba-hambaNya yang hanyut dalam lembah dosa. Buktinya, satu peristiwa hitam meni...