اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Jangan lupa selit qunut nazilah untuk rakyat Palestin yang sedang berjuang🤍USTAZAH ASIYAH tersenyum melihat Ma'wa yang sedang santai berehat di atas pangkin berhadapan dengan bendang sawah padi. Sudah beberapa hari dia diam memerhati Ma'wa yang suka melepak di situ.
"Ma'wa.." Ma'wa menoleh tatkala namanya dipanggil dari belakang. Wajah yang tadi kosong berubah mesra apabila Ustazah Asiyah melabuhkan duduk di sebelahnya.
"Ustazah buat apa kat sini?" Soalan apa yang kau baru tanya Ma'wa? Ini kan kawasan rumah dia, mestilah dia akan datang sini untuk tengok-tengok kawasan.
"Umi." Ustazah Asiyah membetulkan panggilan Ma'wa kepadanya. Tidak selesa digelar ustazah kerana ilmunya masih cetek. Baginya gelaran ustazah itu hanya mampu disandang oleh orang hebat sahaja.
Dan tidak semua orang mampu menyandang gelaran itu dengan sebenar-benarnya. Ada yang menggunakan gelaran itu untuk menipu orang. Mohon dijauhkan daripada ustazah Asiyah! Nauzubillah.
"Soalan itu umi patut tanya kat hang. Hang memang suka melepak sini ke?" Perlahan kepala yang bebas tanpa sebarang tudung itu mengangguk. Dia suka duduk di pangkin ini sebab view dia yang sangat cantik.
Kalau di Kuala Lumpur, pemandangan seperti ini hanya mampu dilihat daripada atas. Jika bertuah, bolehlah menyaksikan pemandangan itu di mana-mana.
"Maaf ya kalau soalan umi ni guriskan hati Ma'wa." Nada suara umi sudah berubah lembut berbanding tadi. Kalau tadi dah lembut ini dua kali ganda lembut. Ma'wa pula rasa seriau.
Adakah umi sudah penat dengannya yang terlalu banyak kerenah? Di rumah perlu pakai selipar, makanan pula taknak masakan melayu. Tak semena isi dalam pipinya digigit lembut.
Jari jemari dimainkan sesama sendiri kerana cemas. Walaupun renungan Ustazah Asiyah terhadapnya lembut, tetap jua fikiran negatifnya tidak dapat dimanipulasi dengan benda kecil itu.
"Ma'wa dah seminggu lebih duduk sini. Tak rasa nak balik?" Bukan niatnya mahu menghalau cuma dia tertanya-tanya tentang keluarga Raudhah Ma'wa.
Biasanya orang-orang yang menetap di sini semuanya ada waris keluarga. Bukan semua orang boleh menetap di Pusat Kasih Ar-Rahim. Mereka tetap tapis pengambilan pelajar dan orang baharu di sini.
Muka Ma'wa berubah keruh mendengar soalan Ustazah Asiyah. Setelah seminggu lebih berdiam diri akhirnya soalan itu datang kembali kepadanya.
"Kenapa? You nak hantar I balik ke?" Ustazah Asiyah tertawa perlahan sambil menggelengkan kepalanya. Ma'wa dan tanggapan negatifnya. Takkan pernah habis!
"Cuba positif sikit, Ma'wa. Umi tanya sebab risau. Kut-kut hang ni anak tan sri mana. Satgi umi dituduh menculik pula," kata Ustazah Asiyah berbaur gurauan. Tidak sedar bahawa gurauannya tepat mengena pada Ma'wa.
'Ma'wa memang anak tan sri tapi tan sri tu yang halau Ma'wa,' omel Ma'wa dalam hatinya.
"Macam jauh je. I kan biasa-biasa je. Anak tan sri celah mana?" Dia menghembus nafas berat. Apa khabar Tan Sri Ruzain di Kuala Lumpur?
"Aih dak la, umi kata macam tu sebab pakaian hang semua bended," balas Ustazah Asiyah. Kening Ma'wa bertaut hairan mendengar perkataan akhir Ustazah Asiyah.
"Branded lah umi." Makin sakan Ustazah Asiyah tertawa apabila Ma'wa membetulkan cara sebutannya.
"Umi mana la tahu perkataan gitu, Ma'wa." Ma'wa tersenyum janggal.
"Ma'wa nak cerita dekat umi apa yang jadi?" Kali ini tiada lagi senda gurauan di antara mereka. Tangan mulus Ma'wa diraih lembut.
Wajah Ma'wa yang ada kesan terbakar itu sentiasa buat dia tertanya. Apa yang jadi pada gadis ini sehingga wajahnya habis terbakar? Sayang..
YOU ARE READING
Langkah Pendosa
Romance[On-Going] Hidupnya dibelenggu dengan dosa, terlalu mengejar dunia sehingga lupa akan kewujudan akhirat. Benar, Tuhan itu Maha Penyayang. Dia tidak pernah lupa akan hamba-hambaNya yang hanyut dalam lembah dosa. Buktinya, satu peristiwa hitam meni...