اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Jangan lupa selit qunut nazilah untuk rakyat Palestin yang sedang berjuang🤍
PAGI itu, Ma'wa bangun lebih awal daripada biasa. Katilnya yang berantakan dipandang sepi seraya nafas berat dihela kasar. Baru dia perasan tingkap kayu biliknya terbuka sedikit.
Sejak bila dia buka tingkap itu? Setahunya dia sudah tutup rapat sebelum azan Maghrib semalam.
Malas mahu berfikir panjang, Ma'wa gagahkan diri untuk bangkit lalu menghampiri tingkap kayu itu. Seingatnya, sebaik sahaja insiden dia ternampak kelibat arwah Puan Sri Kaysa, terus saja dia terlelap.
Langit pagi subuh itu sudah sedikit terang. Pasti sudah ramai ahli Pusat Kasih Ar-Rahim yang berpusu-pusu hendak ke surau. Baru saja dia mahu menutup tingkap itu, matanya tertancap ke arah seorang lelaki berjubah putih yang sedang berjalan.
Ma'wa kenal sangat dengan gaya lelaki itu berjalan. Daripada belakang saja Ma'wa sudah boleh meneka.
"Aahil Rafiqi." Tak semena nama lelaki itu meniti di bibir Ma'wa. Entah bagaimana, secara tiba-tiba Aahil memusingkan tubuhnya, seolah-olah dia boleh mendengar bisikan Ma'wa yang menyeru namanya perlahan.
Membuntang luas biji mata sebaik sahaja Aahil memusingkan tubuhnya. Mata mereka sempat bersabung seketika sebelum Ma'wa dengan tangkas menutup tingkap kayu itu kuat.
Aahil yang melihat kejadian kecil itu juga turut terkesima dengan apa yang berlaku. Itu Ma'wa, kan? Akhirnya setelah beberapa hari wanita itu memencilkan diri dalam bilik. Sekurang-kurangnya wanita itu nampak sihat.
Astaghfirullah. Setelah menyedari perbuatannya yang memikirkan wanita bukan mahramnya itu, Aahil segera beristighfar lalu meraup wajahnya kasar. Langkah kaki dihayun laju menuju ke surau.
Ini kalau abi dapat tahu. Mahu dia kena ikat dekat batang pokok.
•••
SELEPAS menunaikan solat Subuh berjemaah bersama Ustazah Asiyah, Ma'wa memutuskan untuk mengemas biliknya yang berantakan itu. Terngiang-ngiang suara halus Ustazah Asiyah menasihatinya pagi tadi.
Kata Ustazah Asiyah, beribadat itu bukan hanya terhad seperti solat dan berzikir. Malah menjaga maruah diri dan berbuat amal kebajikan turut tergolong dalam ibadah.
Ibadah itu luas. Selagi perkara itu mendatangkan keredaan Allah SWT dan mendekatkan diri kita kepadaNya, itulah ibadah. Dalam tak sedar, perkara sekecil zarah tanpa kita sedar pun boleh dikira sebagai ibadah di sisiNya.
Ma'wa mengurut sisi pinggangnya yang terasa lenguh setelah banyak kali menunduk untuk mengemas biliknya. Dia merancang untuk mengubah bilik ini menjadi sebuah rumah yang nyaman.
Dalam erti kata lain, tempat Ma'wa mengadu segala keperitan hidup di hadapan Yang Maha Esa tanpa memikirkan tanggapan buruk orang lain. Usai mengemas, dia melabuhkan duduk di sisi katil.
Senaskhah Al-Quran pemberian Ustazah Asiyah yang diletakkan di atas nightstand dipandang sepi. Berkali-kali Ma'wa cuba menepis perasaan kerdil dan hina ini setiap kali dia memandang naskhah itu. Dia rasa seperti tidak layak kerana dia sendiri yang meninggalkan amalan membaca Al-Quran itu.
Kali terakhir Ma'wa membaca Al-Quran pun mungkin ketika dia berusia 17 tahun. Itu pun sebab ada hafazan ayat Al-Quran untuk subjek Pendidikan Islam.
Baru sahaja tangan mahu mencapai Al-Quran itu, ketukan di pintu biliknya menyentakkan Ma'wa.
"Ma'wa, jom makan." Suara Ustazah Asiyah jelas kedengaran mengajak Ma'wa untuk bersarapan bersama-sama.
"Coming!" Ringkas Ma'wa membalas lalu membatalkan niatnya untuk memegang kitab suci itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Langkah Pendosa
Romance[On-Going] UPDATE SETIAP HARI JUMAAT Hidupnya dibelenggu dengan dosa, terlalu mengejar dunia sehingga lupa akan kewujudan akhirat. Benar, Tuhan itu Maha Penyayang. Dia tidak pernah lupa akan hamba-hambaNya yang hanyut dalam lembah dosa. Buktinya...
