اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Jangan lupa selit qunut nazilah untuk rakyat Palestin yang sedang berjuang🤍
TERKEBIL-KEBIL mata Aahil menatap siling kayu itu. Masih terngiang-ngiang perbualannya bersama Ma'wa di pangkin tadi. Puas dia cuba melelapkan mata namun usahanya ternyata gagal.
"Astaghfirullah.." Berkali-kali dia beristighfar memohon ampun kepada Allah. Dek kerana tidak boleh tidur, dia bingkas bangun. Bilik air menjadi arah tujuannya. Lantas dia mengambil wuduk dan bersiap sedia dengan sejadah untuk menunaikan solat di masjid.
Antara kelebihan rumah berhampiran dengan masjid ialah dia boleh pergi ke masjid bila-bila masa sahaja yang dia mahukan. Baik pukul 3 pagi atau sebaliknya. Masjid itu menjadi rumah keduanya sedari dia kecil lagi.
"Hang nak ke mana?" Tersentak Aahil yang baru sahaja mahu melangkah turun daripada rumah tradisional Melayu itu.
"Umi.." Aahil spontan memanggil umi dek kerana terkejut dengan sapaan mengejut umi. Ustazah Asiyah lengkap bertelekung putih. Jam tangan automatik dikerling.
3 pagi.
Dia tidak sangka dek kerana azab tidak boleh tidur, masa bergerak dengan begitu pantas sekali. Sangkanya baru pukul 1 pagi.
"Umi nak ke masjid juga ke?" Aahil bertanya lembut seraya selipar uminya diambil lalu diletakkan betul-betul di hadapan kaki uminya. Ustazah Asiyah mengangguk bagi menjawab persoalan anak lelakinya seraya selipar miliknya disarung.
"Hang pun nak ke masjid?" Ustazah Asiyah perasan akan sejadah kecil yang berada di atas bahu anak lelakinya, namun sengaja bertanya mahu memecahkan kesunyian yang menyebelungi mereka berdua.
Aahil sekadar menggumam lalu kedua-duanya berjalan bersama-sama ke masjid. Sepanjang perjalanan, hanya bunyi cengkerik dan kedinginan dinihari menemani anak beranak itu. Perjalanan mereka untuk ke masjid tidak jauh namun entah mengapa hari ini perjalannnya terasa lama.
Masih ada persoalan yang berlegar-legar dan tidak terjawab dalam fikiran Aahil. Umi masih berhutang dengannya sebuah soalan.
"Umi.." Seperti dapat mengagak, ustazah Asiyah dapat meneka soalan yang hendak diajukan oleh anak lelakinya. Pasti berkaitan dengan kejadian yang berlaku di klinik beberapa hari lalu di mana doktor itu tersalah anggap Aahil sebagai suami Ma'wa.
"Umi dah tahu?" Aahil rasa dia tidak perlu menerangkan dengan lebih lanjut. Umi sendiri pasti tahu soalannya berkaitan dengan apa. Siapa lagi kalau bukan wanita yang mereka temui di stesen bas semasa dalam perjalanan pulang ke Kedah.
"Ya. Ma'wa cerita dekat umi." Kaki yang tadinya melangkah penuh gagah lantas terhenti. Penuh redup dan tanda tanya dia memandang wajah Ustazah Asiyah. Seolah meminta penjelasan walaupun dia sedar dia bukanlah sesiapa dan 'layak' untuk mengetahui tentang kisah wanita itu.
"Jadi betullah Ma'wa dah berkahwin?" Soalan yang dia pernah ajukan kepada umi tempoh hari lalu diulang siar kembali. Serentak dengan itu, langkah ustazah Asiyah juga turut terhenti.
"Kalau umi kata tak, apa pandangan hang pada dia?" Ustazah Asiyah menyoal Aahil yang nampak terkesima dengan apa yang baru sahaja meluncur keluar dari mulutnya.
Soalan itu seolah-olah memerangkap Aahil yang terpisah antara mimpi dan realiti. Jika Ma'wa tidak bersuami bermakna Ma'wa juga bukan janda. Maka hanya ada satu pilihan yang tinggal iaitu Ma'wa pernah terlanjur.
"Jadi betul apa yang Aahil tengah fikir sekarang?" Aahil bertanya ustazah Asiyah kembali. Melihat anggukan ustazah Asiyah, maka terjawablah soalannya selama ini. Seperti sebuah teka teki yang akhirnya bercantum. Patutlah soalan itu diajukan oleh Ma'wa.
ANDA SEDANG MEMBACA
Langkah Pendosa
Romance[On-Going] UPDATE SETIAP HARI JUMAAT Hidupnya dibelenggu dengan dosa, terlalu mengejar dunia sehingga lupa akan kewujudan akhirat. Benar, Tuhan itu Maha Penyayang. Dia tidak pernah lupa akan hamba-hambaNya yang hanyut dalam lembah dosa. Buktinya...
