BAB 21

1.1K 124 6
                                    


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Jangan lupa selit qunut nazilah untuk rakyat Palestin yang sedang berjuang🤍

"HAMPA dah tengok ka muka budak perempuan tu?" Soalan yang terlunjur laju daripada ulas bibir wanita separuh usia itu berjaya mengundang mata-mata di situ. Mereka semua sedang duduk di atas pangkin sementara menunggu kehadiran Ustazah Asiyah untuk kelas Tauhid pagi ini.

Masing-masing menggeleng. Mereka tidak pernah lagi melihat wajah gadis yang dikatakan oleh wanita itu.

"Hampa kena tengoklah! Chek rasa muka dia macam terbakar. Macam ekyshiden." Makcik itu menambah lagi. Cara sebut eksiden pun tidak betul, ada hati mahu mengumpat.

Disebabkan mulut wanita itu mereka jadi tertanya-tanya dengan wajah gadis itu. Adakah benar apa yang sahabatnya kata atau sekadar omongan kosong.

"Awat dengan dia pun?" Hairan mengapa gadis baharu itu menjadi topik perbualan mereka pagi ini. Dia perhati saja Puan Ayu yang tidak henti-henti mengumbar orang untuk bercakap buruk tentang gadis itu.

Ma'wa yang kebetulan lalu di situ menoleh selepas melihat sekumpulan wanita sebaya Ustazah Asiyah sedang berkumpul. Ringan saja kakinya mahu melangkah untuk turut serta menyertai mereka.

Namun keyakinannya itu seakan-akan hilang dibawa pergi setelah mendengar ucapan salah seorang wanita di situ.

"Chek rasa dia tu tak baiklah. Hampa tengok tak baju dia minggu lepas? Mewah noh. Seksi pun ya! Sakit pala chek tengok!" Automatik pandangan Ma'wa jatuh pada tubuhnya yang hanya berbaju kurung bercorak bunga itu. Tudung bawalnya pula cukup diselempangkan di atas bahu.

Sekadar mahu menghormati penduduk Pusat Kasih Ar-Rahim. Jika diikutkan hatinya, tudung ini pun dia tak akan pakai. Memanglah dia mahu berubah tapi takkan selaju ini?

"Chek dengar dia tu model. Hat seksi-seki tu. Layak ke dia duduk sini?" Tidak sedar bahawa tubir matanya sedang menghangat mendengar bicara nista mereka.

Buruk sangatkah dia? Ma'wa tidak pernah langsung berborak dengan mereka semua. Namun adakah semudah itu mereka menganggap Ma'wa?

"Eh-eh! Kalau model mesti jumpa dengan orang laki selalu kan? Pegang tangan? Geli chek!" Gaya geli-geliman dilakonkan pula oleh salah seorang wanita yang turut berada di situ. Semakin lama semakin hangat dan panas perbincangan mereka pagi ini.

Kini pandangan Ma'wa tersorot pula pada kedua belah tapak tangannya. Benar, tangan ini pernah menyentuh lelaki yang bukan mahramnya. Malah lebih daripada itu pun dia pernah buat.

Tidak betah mendengar bicara kasar mereka, kakinya diayun laju ke rumah Ustazah Asiyah. Sakit hatinya mendengar segala perkataan yang meluncur laju di bibir mereka.

Kalau di hadapan manusia saja dia dianggap begini apatah lagi di hadapan Tuhan? Entah-entah dirinya tidak dipandang langsung oleh Tuhan.

Perasaannya terasa sebu saja pagi ini. Entah kenapa bicara-bicara mereka itu mampu meruntuhkan semangatnya yang hendak berubah. Adakah benar dia memang tidak layak untuk berubah? Jika begitu, lebih baik dia teruskan kehidupan sebagai Adalee.

Sekurang-kurangnya hidup sebagai Adalee, dia disanjung hebat. Ma'wa pandang ke arah matahari yang baru sahaja hendak terbit. Sinarnya juga seakan-akan masih malu untuk menonjolkan diri.

Tangan naik mencengkam dada yang terasa sesak dengan omongan kosong manusia. Sakit. Selama dia menjadi Adalee, Ma'wa tidak pernah hiraukan komen-komen buruk tentangnya.

Menjadi Ma'wa pula berbeza baginya. Dia menjadi semakin rapuh dan dia bencikan perasaan ini.

Lekas-lekas Ma'wa menyeka tubir matanya yang panas itu sebelum ada mata-mata yang menyedari dia. Lagi-lagi Adam. Adik Aahil itu bukan boleh kira. Karang tersebar pula berita bahawa Ma'wa menangis di pagi hari dek kerana mulut becok budak kecil itu.

Langkah PendosaWhere stories live. Discover now