اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Jangan lupa selit qunut nazilah untuk rakyat Palestin yang sedang berjuang🤍PANTULAN cermin yang membiaskan badan Ma'wa itu sekaligus membuatkan wanita itu melepaskan nafas sugul. Kerusi di meja cermin ditarik lalu punggung dilabuhkan di situ.
Calar-bilar badannya dan mukanya masih tidak hilang sepenuhnya. Bahkan kesan lecur di mukanya ini pun tidak menunjukkan sebarang perubahan. Semuanya sama. Seolah-olah kemalangan itu baru berlaku semalam.
Menggeletar jari-jemari Ma'wa menelusi seluruh wajahnya yang berubah 180 darjah daripada dahulu. Jika dahulu, wajah ini yang dibangga-banggakan. Kini?
Sekian lama mengurung diri dalam bilik kecil Ini menyedarkan dia tentang sesuatu. Manusia itu mengecewakan. Saban hari menunggu, tiada sesiapa yang mencarinya. Bahkan beritanya di media sosial juga semakin tenggelam.
'Sedarlah diri kau!' bisik hati kecil Ma'wa. Lama kelamaan, nama Adalee yang dahulu gah juga semakin dilupakan. Jika betullah orang masih mencarinya, mengapa selepas insiden itu, tiada sesiapa pun yang menghubunginya bertanya khabar.
Malah rakan-rakan yang dahulu sentiasa ada untuknya langsung tidak memunculkan batang hidung.
Ma'wa mengangkat muka melihat pantulan cermin itu. Terjungkit naik hujung bibirnya. Mentertawakan nasib hidupnya yang menyedihkan. Juring matanya juga terasa semakin panas.
Semakin dia tekan luka di wajahnya, semakin merembes laju air mata itu tumpah. Tanpa dipinta, air mata itu turun seperti air terjun yang laju.
'Pathetic, isn't?' Semakin dibiar, semakin banyak timbul kata-kata hinaan yang berlegar-legar dalam kepalanya.
'Kata maksud nama kau syurga, tapi jalan ke syurga pun kau tak nampak.'
'Hidup kau dari dulu menyedihkan.'
'Sudahlah mengandungkan anak haram!'
Suara-suara yang berbisik tidak henti itu membuatkan Ma'wa serentak memejamkan matanya rapat bersama dengan bibir yang sedang mengemam. Kepalanya terasa mencucuk-cucuk. Tubuh badannya menggigil kuat.
Tik. Tik. Tik.
Setitis demi setitis darah merah jatuh ke atas meja cermin itu. Ma'wa tidak sedar jika sekarang ini kukunya sedang terbenam ke dalam luka di wajahnya.
Dia langsung tidak berasa sakit sehinggalah darah itu menitik-nitik membasahi permukaan meja cermin itu. Tersentak. Ma'wa kejung di tempatnya.
Perlahan retina matanya jatuh pada tangan yang ada kesan darah merah itu sebelum kembali semula ke pantulan cermin.
"Menyedihkan. Pathetic," ungkap Ma'wa dalam nada yang tertahan-tahan. Mengakui bahawa hidupnya benar-benar menyedihkan sejak insiden itu berlaku.
Tidak lama selepas itu, ketukan pintu bertalu-talu mengejutkan Ma'wa yang sedang kejung merenung diri sendiri disebalik biasan cermin.
"Akak cantik, bukalah pintu ni.." Suara Adam seakan-akan merayu agar dia membuka pintu ini. Dia pejamkan mata saat terasa suara Adam itu bingit di halwa pendengarannya.
"Bukalah.." Dia tidak pekak. Dia dengar sahaja rayuan budak kecil itu cuma entah mengapa dia berkeras untuk tidak membuka pintu. Tambahan pula dengan luka yang masih basah di wajahnya.
Dia kalau boleh mahu mengelakkan diri daripada bertemu dengan sesiapa buat masa sekarang. Lagi-lagi Adam itu mulutnya becok. Risau jika dia mengadu kepada Ustazah Asiyah atau Aahil.
YOU ARE READING
Langkah Pendosa
Romance[On-Going] Hidupnya dibelenggu dengan dosa, terlalu mengejar dunia sehingga lupa akan kewujudan akhirat. Benar, Tuhan itu Maha Penyayang. Dia tidak pernah lupa akan hamba-hambaNya yang hanyut dalam lembah dosa. Buktinya, satu peristiwa hitam meni...