Cepat sahaja kepala Encik Ilham menoleh saat kedengaran bunyi enjin kereta masuk ke dalam kawasan rumah. Sepintas lalu dia nampak pacuan berwarna hitam. Wajah Puan Khadijah juga turut sama tertanya-tanya.
"Eh, kamu bukan ada lagi seminggu ke, Amsyar? Awal pula kamu balik?" Sempat Encik Ilham usap kepala anak waktu Amsyar melangkah dekat untuk menyantuninya.
"Am dapat kebenaran untuk balik beberapa hari ni, bah. Temankan Haura dekat hospital."
"Ha?! Kenapa dengan Haura?" Berulang-alik pandangan Encik Ilham pada anak dan isteri. Baru beberapa hari dia pergi kursus, macam-macam hal.
Belum sempat Amsyar menjawab, Puan Khadijah mencelah dahulu.
"Gastrik je, bang. Mengada sangat." Suara Puan Khadijah penuh dengan sindiran. "Tak pasal pasal Amsyar pulakena cuti."
"Am kena cutilah, ma. Mama dulu kalau sakit pun cari abah. Kalau Haura sakit, dia cari Dato', nanti orang semua cakap Am ni suami tak guna pada Haura. Haura okey je, bah. Dia dah bangun, makan macam biasa. Doktor cakap tengok dalam dua tiga hari ni, kalau tak ada apa-apa, boleh balik. Am naik dulu, ma, bah. Nak kemas baju." Tipu kalau dia kata dia tidak terasa dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Puan Khadijah namun dikucup juga belakang tapak tangan wanita itu atas dasar hormat.
"Apa awak cakap macam tu? Tak ke kecil hati Amsyar?" tegur Encik Ilham. Sebelum Amsyar balik, elok saja mereka berdua berborak. Amsyar balik, si isteri macam panas hati pula. Apa nak jadilah.
Puan Khadijah hanya menghiraukan kata-kata suami. Dia berdiri di pintu utama bila hadir lagi bunyi pacuan di bahagian luar rumah. Sampai pun.
"Awak tunggu siapa pula ni, Jah?"
"Saya tunggu Ameera."
"Siapa Ameera?" Soalan Encik Ilham terjawab saat terdengar suara perempuan memberi salam. Diperhatikan sahaja tingkah laku isteri yang sedang memeluk perempuan muda tersebut. Kecil gelengan kepalanya.
Usai beg diisi dengan pakaian baru, Amsyar keluar dari bilik. Kakinya menuruni anak tangga. Belum sampai ke bawah, anak matanya mendarat pada susuk tubuh wanita yang duduk di ruang tamu. Mesra betul Puan Khadijah dan Ameera bertukar kata. Macam mana boleh rapat macam ni sedangkan rasanya kali terakhir dia datang, mama tidak sempat pun untuk berborak lama.
"Amsyar, duduklah dulu. Borak dengan Ameera ni. Penat dia datang dari jauh." Sengaja Puan Khadijah tidak melepaskan genggaman tangan Amsyar, ditarik anak tunggalnya untuk duduk bersebelahan.
"Mama, orang tak boleh lama ni." balas Amsyar. Raut wajahnya tampak tidak senang. Kusut.
"Duduk, Amsyar."
"Lama I tak nampak you, Amsyar. Busy ke?" Tersimpul malu Ameera saat Amsyar mengangkat anak mata padanya. Dari dulu lagi dia sentiasa lemah akan pandangan dari jejaka ni. Bukan dia seorang. Ramai sahaja pelajar perempuan waktu sekolah yang teringin nak berkenalan dengan Amsyar dulu
"Busy. Kalau tak ada apa, Am minta diri dulu, ma. Am tak boleh lama. Haura tunggu Am."
"Eh, sabarlah, Am. Tak baik layan tetamu macam ni. Borak dulu, mama pergi buat air." Puan Khadijah mengangkat tubuh ke dapur, Encik Ilham juga mengikut dari belakang.
Tetamu tak tetamu, Amsyar terus susun langkah ke kereta. Terkocoh-kocoh Ameera mengejar.
"I rindu you, Amsyar. Sampai hati you kahwin pun tak bagitahu I." Peritnya hati bila dia perasan cincin di jari manis Amsyar.
"Sebab you tak penting. I dah jadi suami orang, Ameera. I rasa you boleh kot berhenti datang rumah I. You tak malu ke?" Berkerut kening Amsyar. Barang berisi pakaian diletak pada bahagian penumpang, dalam keadaan panas hati dia tolak pintu keretanya kuat.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
Roman d'amourIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...