Kaki panjangnya dibawa masuk ke dalam wad yang menempatkan pesakit lelaki. Sesekali senyuman manis dia hadiahkan untuk jururawat yang berselisih dengannya. Katil bernombor 17 didekati. Kelihatan adiknya, Daiyan sedang membaca komik yang dibelinya bulan lepas.
Remaja berusia 16 tahun tersenyum saat wajah ceria Dahlia menghampirinya.
"Assalamulaikum..", sapa Dahlia. Punggungnya dihenyak diatas kerusi disebelah katil Daiyan. "Adik macam mana, harini?" Beg sandangnya disangkut pada belakang kerusi. Dia yang masih berpakaian kerja itu mengambil sebiji mug untuk membancuh coklat panas buat adiknya. Itulah rutin harian Dahlia, menjenguk dan membancuh secawan coklat panas kesukaan adiknya, Daiyan yang dimasukkan ke hospital akibat Leukemia. Sudah setahun adiknya dimasukkan ke wad itu. Boleh dikatakan mereka sudah menjadi sebahagian daripada keluarga wad dihospital itu.
"Waalaikumusalam, adik ok je kakak. Kakak baru balik kerja?" Wajahnya yang pucat menjadi santapan mata Dahlia. Sebak bertandang didada Dahlia melihat wajah Daiyan namun ditahan agar air matanya tidak terzahir. Mug berisi coklat panas dihulurkan kepada Daiyan. Remaja itu menyambut dengan senyuman.
"Dah makan ubat?"
Daiyan angguk kepala. Coklat panas dihirup. Itulah yang dia tunggu-tunggu setiap petang, Dahlia datang untuk membancuhkan secawan coklat panas buatnya.
"Mana macam kemo?" Tanya Dahlia tentang rawatan untuk penyakit Daiyan iaitu Kemoterapi yang menggunakan bahan kimia untuk memusnahkan sel leukemia atau menghalangnya daripada membiak.
Daiyan mengeluh. "Macam tulah. Kakak tengok rambut adik", jemarinya naik menyentuh kepalanya yang botak. "Dah botak dah." Daiyan ketawa dengan ucapannya sendiri.
Dahlia ikut ketawa halus. Dia tahu Daiyan cuma mahu menyedapkan hati sendiri walaupun jauh disudut hati adiknya ada rasa sedih. Siapa sahaja yang tak sedih bila menahan sakit sendirian tanpa ibu yang sudah meninggal dunia dan bapa yang hilang tanpa dikesan. Adik beradik? Mereka hanyalah dua beradik. Dahlia pula sibuk bekerja untuk menampung pebelanjaan ubatan Daiyan dan pebelanjaan harian mereka. Semuanya tergantung dibahu Dahlia seorang.
Sebab itulah Dahlia selesa bekerja dengan Manisa Cuci and Service kerana masa kerja yang fleksibel. Mudah untuk dia melawat adiknya bilamana dia menyiapkan kerjanya lebih awal. Walaupun gajinya tidaklah seberapa tapi Dahlia bersyukur dia boleh meluangkan masa bersama Daiyan apabila pulang lebih awal. Majikannya juga sangat memahami.
Setelah hampir satu jam berbual dengan Daiyan, Dahlia meminta diri untuk pulang. Dia perlu sampai ke rumah sebelum Maghrib kerana usai solat, dia harus menyiapkan kuih karipap untuk jualan esok pagi.
•*•*•
Ilham pejam mata rapat saat dirasakan kepalanya berdenyut hebat. Jemari naik memicit pelipis. Dia bangun dari pembaringan. Belakang badan disandar pada sofa. Tubuh yang terasa lenguh dan sengal-sengah ditumbuk-tumbuk lembut.
Fikirannya merewang ketika dia tertidur diatas sofa tadi. Kedatangan seorang perempuan yang terlihat masih muda bermain diruang matanya. Perempuan itu yang memberikan ubat dan air untuknya disaat badannya terasa sangat lemah.
"Saya Dahlia, saya diupah untuk bersihkan rumah Encik." Kata-kata perempuan itu terngial-ngial difikirannya. 'Mungkin budak tu yang umi upah untuk bersihkan rumah aku', bisik hatinya. Apa pun dia berterima kasih kepada perempuan itu kerana sudi menghulurkan bantuan ketika dia sedang sakit.
Suasana sekeliling rumah yang gelap menandakan bahawa malam sudah melabuhkan tirai. Jam ditangan dikerling, sudah pukul 8 malam! Lama betul dia tidur. Dengan bantuan cahaya dari luar rumah, Ilham berjalan ke arah suis lampu dan beberapa lampu ruang tamu dihidupkan. Langkahnya dibawa ke tingkat atas menuju ke master bedroom. Dia perlu mandi dan solat Maghrib sebelum terlepas waktu.
•*•*•
"Jemput masuk, Lia", ajak Puan Zanariah. Pintu utama dibuka seluas-luasnya menjemput gadis yang akan membersihkan rumahnya. Gadis itu akan datang tiga kali seminggu kerumahnya.
Dia cukup senang dengan gadis itu. Bagi Puan Zanariah, Dahlia cukup pakej sebagai seorang perempuan walaupun usianya masih muda. Dahlia cantik, pandai mengemas rumah, pandai masak, sopan santun dan pandai bergaul dengan orang tua sepertinya. Dalam diam dia cuba menemukan anak terunanya dangan gadis itu. Mana tahu jodoh mereka, dapatlah dia menantu. Nak harapkan Ilham yang bawa menantu untuknya, lambat lagi!
"Terima kasih, Puan", Dahlia senyum manis. Senang dengan layanan baik Puan Zanariah walaupun dia cumalah orang gaji dirumah mewah itu.
"Jom pergi dapur. Umi ada masak mee goreng basah. Kita sarapan dulu, ya?" Tanya menunggu persetujuan Dahlia, Puan Zanariah tarik lengan gadis itu ke dapur. Dahlia kaget dengan tindakan spontan wanita itu namun langkah kakinya tetap diatur mengikut langkah Puan Zanariah.
Membulat mata Dahlia saat terpandang juadah diatas meja. Ada mee goreng basah, nasi goreng, sandwich dan kuih muih. 'Banyaknya makanan.' Tiba-tiba perutnya terasa lapar walaupun dia sudah menjamah karipap kentang.
"Duduklah, Lia. Makan tau, banyak umi masak."
"Terima kasih, Puan. Berselera saya tengok makanan ni, banyak betul." Dahlia ketawa halus. Tuan Iskandar yang sudah berada didepan meja makan, Dahlia senyum tanda menyapa lelaki tua itu.
"Makan banyak-banyak. Nanti nak buat kerja, kena ada tenaga", Puan Zanariah ikut ketawa halus. Secawan teh panas dihulurkan untuk Dahlia. Dahlia sambut huluran itu dan teh panas dicicip perlahan.
"Ha.. Am, mari makan sekali", panggil Puan Zanariah. Matanya tuntang kearah Ilham yang sedang berjalan menghampiri meja makan.
Dahlia yang mendengar nama seseorang dipanggil terpaku dikerusinya. Sepanjang 5 bulan berkerja dirumah Tuan Iskandar dan Puan Zanariah, dia cuma pernah berjumpa anak ke 2 mereka iaitu Intan sahaja. Dia tahu pasangan itu mempunyai 3 orang anak cuma tidak pernah bersua muka dengan yang lainnya.Lelaki yang dipanggil 'Am' cukup asing baginya.
Ilham berjalan melepas Dahlia yang membelakanginya. Dahinya berkerut saat terlihat kelibat perempuan bertudung duduk dimeja makan keluarganya. Dia pandang wajah umi dan abahnya, senyuman manis diukir buat orang tuanya. Kerusi disebelah Puan Zanariah ditarik dan dilabuhkan punggungnya disitu. Tetamu dihadapannya dipandang. Kedua keningnya terangkat tatkala wajah yang pernah dilihat kini dihadapan mata. Senyuman nipis dihadiahkan buat gadis itu.
Dahlia yang turut sama memandang raup wajah Ilham terpana. Tak dapat disembunyikan rasa terkejutnya saat terpandang wajah lelaki dihadapannya. Puan Zanariah yang menyaksikan kedua-dua reaksi anak teruna dan gadis itu mengerutkan dahi.
"Kamu berdua dah kenal ke?"
"Dia yang bersihkan rumah Am", tanpa riak Ilham bersuara. Sebiji kuih keria digigit.
"Lah... Lia juga ke yang bersihkan rumah Am? Umi ingat Manisa upah orang lain." Puan Zanariah ketawa.
Dahlia angguk kepala sambil tersenyum. "Lia tak tahu pula rumah tu rumah anak Puan." Terasa kekok tingkahnya saat ini apabila anak mata coklat pekat milik lelaki itu terpaku ke arahnya.
"Rumah dialah tu. Rumah besar tapi duduk sorang-sorang. Suruh cari isteri, tak nak", mendatar sahaja suara Puan Zanariah. Wajah tuanya sudah kelat.
Ilham yang mendengar omelan uminya hanya diam. Matanya tak lepas pandang gadis dihadapannya. Kepalanya sedang merencana cara untuk mengucapkan terima kasih kepada gadis itu.
Bersambung..
•*•*•
~ Bunga Mai ~
•*•*•~ Terima kasih sudi baca. 💕
~ Kalau suka, bolehlah vote 🤭•*•*•

YOU ARE READING
DAHLIA UNTUK DAHLIA
RomanceILHAM HAKIMI | NUR DAHLIA "Kenapa kau tolak pinangan umi?." - ILHAM "Maaf, saya tak boleh terima pinangan tu" - DAHLIA "Kahwin dengan aku dan aku akan tolong adik kau"- ILHAM "Adik saya dah tak ada jadi bolehlah awak lepaskan saya"- DAHLIA. "Seka...