Kali pertama aku bertemu dengan Luth adalah sewaktu aku sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan universiti. Tiba-tiba aku didatangi oleh dia yang menghulurkan salam perkenalan.
"Awak ada talasemia?"
Itu ayat pertama yang terpacul dari bibirku. Satu soalan yang sudah entah berapa kali aku ulang setiap kali ada lelaki yang menyatakan hasrat untuk berkenalan. Langsung aku tidak membalas sapaannya.
Kata Luth, dia tidak pernah melakukan ujian saringan. Maka itu, dia sendiri tidak tahu. Dan entah mengapa, aku menyambut salam itu. Kata Luth lagi, dia sendiri terkejut dengan soalan pertama yang keluar dari mulutku. Terus ditembak dengan soalan begitu, siapa saja yang tidak terperanjat?
Alasan aku cuma satu. Bukankah lebih bagus kalau menghindari lelaki yang memang tidak boleh bersatu denganku dari awal? Daripada masing-masing terpaksa menanggung sakitnya perpisahan di kemudian hari.
We all broke our own rules for someone right?
Aku melanggar prinsip aku yang satu itu demi dia. Seorang lelaki bernama Luth Faeeq yang sangat aku senangi. Katanya dia akan melakukan ujian tersebut nanti.
Bukan aku sengaja bertanyakan soalan itu. Aku tidak mungkin bertanya jika aku bukan seorang pembawa.
Talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini adalah kerana gen yang mengawal penghasilan haemoglobin telah terjejas. Haemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan. Ia hanya boleh dicegah dengan mengelak perkahwinan sesama pembawa-pembawa gen talasemia.
Selepas menjalani ujian saringan, Luth menyatakan bahawa dia bebas daripada penyakit tersebut. Aku percaya. Sepenuhnya.
Kerana langsung aku tidak sangka bahawa Luth tergamak untuk menipu aku tentang perkara yang teramat penting itu. Perkara yang akan menentukan masa depan keluarga kecil kami.
Patutlah setiap kali aku tanya tentang majlis perkahwinan kami, dia sering mengelak. Seboleh-bolehnya dia mengalih tajuk perbualan atau mencipta seribu alasan. Pernah terdetik di hatiku bahawa dia sudah tidak menginginkan aku namun dia bersungguh-sungguh meyakinkan aku bahawa kasih dan sayangnya pada aku tak pernah berubah. Dia meminta kami untuk fokus dulu pada kerjaya masing-masing.
Purnama berganti purnama dan tahun berganti tahun. Pada saat dia memberitahu aku hal yang sebenar, luruh segala jantungku. Dia akhirnya meluahkan rasa bersalah kerana tidak sanggup lagi menyembunyikan hal sebenar di mana dia juga merupakan pembawa talasemia. Dia yang kini telah bergelar seorang pediatrik tidak tergamak memikirkan masa depan anak kami bila hampir setiap hari melihat kanak-kanak yang menderita penyakit genetik itu. Akui dia, selama ini dia hanya mementingkan kebahagiaan sendiri. Dia tidak sanggup kehilangan aku. Tetapi di penghujungnya dia memaksa hati untuk merelakan takdir.
Masih aku ingat dengan jelas betapa rapuhnya Luth di hadapan aku ketika itu. Menangis semahu-mahunya. Kuat sekali esakan dia berlagu telingaku. Bertahun-tahun menyulam kasih, tidak pernah aku lihat dia menangis sebegitu rupa.
Sampai sekarang aku kerap mempersoalkan semuanya. Adakah salah aku yang tidak teguh dengan prinsip sendiri dari awal? Andai aku bertegas untuk tidak mengenalinya pasti aku dan dia tidak akan sesakit ini. Pasti aku tidak akan menyayangi dia sedalam ini. Andai dapat aku putarkan balik waktu, tak akan aku sambut sapaan untuk berkenalan itu. Akan aku abaikannya meski itu akan menyakitkan dia. Kerana nyata situasi sekarang lebih menyakitkan.
Kadang-kadang aku juga meletakkan secebis kesalahan di bahunya. Andai saja dia jujur, tidak kami bermesra-mesraan dengan tujuan yang tidak mungkin ada penghujungnya.
YOU ARE READING
Kerana Akadku Namamu
Romance"Kita tengok nanti, Faraz. Sama ada aku yang akan bunuh diri sebab bergelar isteri kau atau kau yang akan menyesal separuh mati sebab akad nama aku. Waktu tu kau akan berharap agar masa boleh diputarkan semula supaya kau tak perlu akad nama aku."...