Malam ini Faraz membawa aku ke perjumpaan rakan-rakan zaman belajarnya.
"Aku teruja tahu tak bila aku dengar yang dia orang kata kau tak datang seorang lagi tahun ni," ujar salah seorang kawan lelaki dia.
Aku seperti biasa lebih banyak memilih untuk tersenyum dan mengangguk sahaja. Bukannya aku tahu sangat pun tentang latar belakang Faraz. Kami berdua bukannya pasangan yang sudah bercinta bertahun-tahun dan cukup mengenali antara satu sama lain sehingga memilih untuk berkahwin pun. Jadi lebih baik agar aku berdiam diri sahaja daripada membiarkan diri dicurigai.
Namun entah kenapa aku rasa lelaki itu seolah-olah lebih kepada memerli. Nadanya berbaur sindiran. Tetapi aku masih cuba bersangka baik. Mungkin saja dia memang begitu. Aku tidak mengenali dia. Hanya Faraz yang mengenali rakannya.
Panggilan yang datangnya dari datuk memaksa aku untuk menjauh. Panggilan pertama dan yang kedua tidak dipedulikan oleh aku. Maka bila masuk panggilan yang ketiga tahulah aku bahawa ada sesuatu yang mustahak.
Benar seperti yang dikatakan. Datuk sedang sakit. Panggilan itu ternyata bukan dibuat oleh datuk sendiri melainkan Ferhad, sepupuku merangkap cucu kesayangan datuk. Aku tak pasti kenapa mereka mencariku tapi aku lagi tak faham bila diri sendiri rasa resah. Walhal hubungan kami bukanlah seperti keluarga yang lain.
Pun begitu sebaik sahaja panggilan dimatikan oleh pihak sebelah sana, kaki aku laju melangkah. Mencari-cari di manakah keberadaan suamiku, Faraz.
"Excuse me, you ni isteri Faraz kan? Kenapa ni?"
Mungkin dek kerana perasan kegelisahanku, rakan Faraz yang tadi laju saja datang menegur. Rakan-rakannya yang lain ditinggalkan.
"Err, Faraz mana ya?" Teragak-agak aku bertanya.
"Oh, cari Faraz rupanya. Suami hilang, patutlah macam cacing kepanasan."
Sempat lagi dia bergurau diiringi dengan tawa hambar. Kalau tak silap aku tadi dia perkenalkan dirinya sebagai Erman.
"Awak tahu ke dia dekat mana?" Aku tidak ada masa untuk bergurau atau membuang masa dengan lebih lama di sini.
"Rasanya dia naik ke tingkat tujuh. Nak tukar baju dekat bilik hotel katanya sebab tertumpah air tadi. Alang-alang tu jomlah I temankan."
"Eh, tak payah. Saya boleh pergi sendiri. Bilik nombor berapa ya?"
"Tak apalah, mari cepat saya tunjukkan."
Makin aku berkeras semakin dia lagi berkeras. Sudahnya aku mengalah. Aku biarkan saja dia mengiringi aku sehingga kami sama-sama berhenti di hadapan sebuah pintu bilik.
"Are you telling me that Faraz is in this room?"
"Yup! Jom?"
"Kenapa pula saya nak kena masuk dengan awak? Saya boleh panggil dia sendiri. Atau awak aje yang masuk, beritahu dia yang isteri dia tunggu dekat sini."
Keberanian aku muncul secara tiba-tiba. Entah dari mana aku pun tak tahu. Yang aku tahu suara aku sengaja ditegaskan.
Erman diam mendengar ayat aku. Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, beberapa ketika kemudian barulah fikiran aku kembali berfungsi dengan normal. Semuanya kerana aku terdesak memikirkan datuk tadi. Sehingga tanpa sedar aku sudah menerima pelawaan lelaki yang tidak aku kenali dan curigai. Bodoh.
"Sekejap."
Baru saja aku mengundur setapak ke belakang, tangan aku ditangkap oleh Erman. Menahan aku daripada terus menjauh atau lebih tepat lagi, dia sedang menahan aku daripada melarikan diri.
"Lepaslah!" Spontan aku tangkas menarik tanganku kerana rasa terkejut yang teramat sangat. Malang sekali tanganku langsung tak terlepas.
"Kau ingat aku tak tahu ke kenapa si Faraz tu kahwin dengan kau?"
YOU ARE READING
Kerana Akadku Namamu
Romance"Kita tengok nanti, Faraz. Sama ada aku yang akan bunuh diri sebab bergelar isteri kau atau kau yang akan menyesal separuh mati sebab akad nama aku. Waktu tu kau akan berharap agar masa boleh diputarkan semula supaya kau tak perlu akad nama aku."...