"What? Seriously? But wow, you look so young!"
Begitulah balasan yang sering aku terima setiap kali menjawab pertanyaan tentang usiaku. Namun aku faham. Faraz juga tidaklah nampak terlalu muda atau terlalu berusia tetapi dia boleh dikatakan cukup segak dan tampan untuk lelaki dalam lingkungan umur sepertinya. Kata orang, he is aging like a fine wine. Itu tidak dapat aku nafikan dan terpaksa aku akui.
Betapa aku cemburu melihat adik ipar aku dan suami dia, Enzo yang dari tadi nampak seperti terlalu menyayangi dan disayangi. Sementara aku dan Faraz?
Punah segala harapan dan angan-angan aku untuk membuat satu pelukan erat dan kucupan mesra yang pertama setelah akad termeterai. Semua itu adalah impian aku bersama Luth. Bukan Faraz.
Aku tidak pasti sama ada Seri, adik Faraz tahu perihal aku dan satu-satunya abang dia. Namun berdasarkan apa yang dikatakan oleh Faraz sebelum ini dan bagaimana janggalnya hubungan adik-beradik antara mereka, mengertilah aku. Seri memang tak tahu apa-apa. Aku juga serba salah untuk ambil tahu lebih-lebih kerana sampai bila aje pun perkahwinan ini akan bertahan?
Yang aku tahu, Seri ialah seorang penulis yang agak dikenali. Manakala wanita di sebelah Dato' Seri Sabeer ialah ibu tiri suamiku. Meskipun kurang mesra, sekurang-kurangnya dia tidak memberi layanan yang buruk pada aku. Biasa-biasa saja. Dengan anak-anak tiri dia iaitu Faraz dan Seri pun kelihatan biasa saja layanannya.
"So how do you feel, Datin Seri Nur Fatimah Audra? Gelaran yang kau takkan dapat pun kalau Luth yang akad nama kau."
Suara itu berbisik di tepi telingaku sedang aku asyik termenung. Entah dari mana dia muncul pun aku tak tahu. Aku jeling dia di sebelah yang sedang tersenyum mesra pada tetamu sambil merangkul pinggangku. Sungguh penuh dengan kepalsuan.
"Kau ingat aku hamak sangat ke dengan gelaran Datin Seri tu? Sikit pun aku tak heranlah!"
Suara aku tahan. Aku membalas tanpa langsung memandang wajah yang menyakitkan hati itu. Bimbang diri hilang pertimbangan di depan khalayak ramai.
Dato' Seri Safaraz Ali. Gelaran itu aku tahu dia dapat kerana jasanya yang memperkenalkan alat-alat muzik tradisional hingga ke pasaran antarabangsa.
"Oh, akauntan memang tak teringin nak kena panggil datin eh?" Jelas sekali dia cuba mengejek aku. Sedang cuba memperlekehkan kerjaya aku dengan membandingkan kedudukan aku dan kedudukannya.
"Kau jangan nak hina sumber rezeki aku." Kali ini aku menoleh ke sebelah. Kebetulan dia juga sedang memandang aku. Wajah kami jadi terlalu dekat.
"Aku dengar datuk kesayangan kau tu bagi cucu kesayangan dia yang urus syarikat tu, betul ke?"
"Kau tak payah nak sibuk pasal keluarga aku pula," jawab aku seraya berlalu pergi menjauhinya. Buat-buat sibuk melayan tetamu lain. Tak kuasa lagi rasanya untuk berlama-lama dengan Faraz.
YOU ARE READING
Kerana Akadku Namamu
Romance"Kita tengok nanti, Faraz. Sama ada aku yang akan bunuh diri sebab bergelar isteri kau atau kau yang akan menyesal separuh mati sebab akad nama aku. Waktu tu kau akan berharap agar masa boleh diputarkan semula supaya kau tak perlu akad nama aku."...