Aku terjaga dari lena dengan nafas yang tercungap-cungap. Peluh terasa mengalir di leher dan dahiku meskipun ruang tidur aku dan Faraz sentiasa dipasangi pendingin hawa. Aku kini sedang dalam posisi duduk di atas katil.
Rambut aku raup ke belakang. Air mata mengalir lebat.
"Nur...?"
Panggilan Faraz yang juga terjaga dek pergerakan aku yang berlaku secara tiba-tiba seketika tadi tidak aku hiraukan. Dia juga duduk menghampiriku. Pergerakan ganjil aku mudah saja dikesan oleh Faraz kerana dia sentiasa memeluk aku semasa tidur.
"Nur kenapa ni?" Faraz mengusap-usap bahuku.
"Anak." Hanya sepatah perkataan itu yang terkeluar dari bibirku kerana hanya itu yang mampu aku katakan pada saat ini.at ini.
"Anak?"
"Nur... Nur gugur..." Menggeletar suara aku.
"Hey, hey..."
Faraz memaksa aku memandangnya. Kedua-dua tangan aku yang sedang menggeletar hebat dia pegang.
"Anak kita..."
"Shh... It's just a nightmare, Nur. You're save with me. Our baby is saved with us. Okay?"
Seketika ubun-ubun aku diusap lembut oleh Faraz. Suaranya juga menenangkan. Perlahan-lahan memberikan aku ketenangan.
"Saya call awak, awak tak jawab. Awak tak ada..." Tergagap-gagap aku menceritakan tentang mimpi ngeri tadi.
"Abang ada, Nur. Abang ada."
Faraz meletakkan sebelah tangannya di atas tangan aku yang sedang mengusap perut.
"Anak kita okey. Kan kita baru aje pergi checkup tadi? Doktor pun kata yang anak kita sihat," bisik Faraz sambil sebelah lagi tangannya merangkul pinggangku. Ubun aku dia kucup sekali.
Beberapa saat berlalu, tubuh dia aku rangkul. Membalas rangkulan dia. Jarang sekali aku berbuat begini. Tapi Faraz tetap bersabar kerana ada kalanya aku memberontak, menolak daripada disentuh atau dibantu dan ada kalanya aku membiarkan saja kerana sejujurnya aku juga memerlukan kehadiran dia.
Seperti sekarang. Aku sangat memerlukan dia. Kehadiran seorang suami di sisi pada saat-saat getirku.
DAH masuk hujung trimester pertama pun aku masih lagi mengalami alahan yang teruk. Dan Faraz benar-benar menepati janjinya.
Dia setia menemaniku. Segala kemahuan aku dituruti. Tiada juga kata-kata kasar yang keluar dari mulutnya seperti dulu.
Malam itu aku terjaga lagi dari tidur. Seperti selalu. Rasa mual hadir tanpa dapat dijangka ternasuklah waktu di mana semua manusia di bumi sedang nyenyak lena diulit mimpi. Faraz seperti selalu akan turut bangun dari tidurnya, meninggalkan katil, tempat beradu yang empuk dan menemani aku di sinki bilik air. Memuntahkan segala isi perut yang ada. Kadang kala sampai aku sendiri tidak tahu apa lagi yang ada untuk dimuntahkan.
"Abang tahu Nur tak makan sangat sebelum tidur malam tadi kan? Abang pergi sediakan apa yang boleh Nur telan ya? Abang tahu Nur tak selera dan susah nak makan tapi Nur tahu kan yang Nur tetap kena makan?"
Begitulah cara Faraz dalam memujuk aku.
Aku mengangguk saja tanpa suara. Nak melawan dia pun aku memang dah tak ada tenaga. Lagipun betul juga yang Faraz kata itu. Semuanya demi kebaikan aku juga.
Faraz mengusap kepala aku bersama segaris senyuman. Tipulah kalau aku kata aku tidak tersentuh langsung dengan segala apa yang dia lakukan dan layanan yang dia berikan pada aku. Mata itu jelas kelihatan sembap setiap pagi dan setiap petang aku nampak dia cuba sembunyikan wajah kepenatannya setelah bekerja sepanjang hari tanpa tidur yang cukup. Begitulah dia setiap hari sejak aku mengandung.
"Lepas makan abang sapu minyak angin macam biasa ya?"
Sekali aku angguk. Kemudian membiarkan dia berlalu.
Dalam aku menanti Faraz untuk kembali, rasa mual tadi datang semula. Tanpa membuang masa, laju saja aku berlari ke bilik air kami. Kali ini tanpa ada Faraz yang menemani. Tanpa ada dia yang mengusap-usap belakang tubuhku.
Selesai muntah, kepala aku pula tanpa semena-mena jadi pitam sepitam-pitamnya. Bunyi air paip yang masih mengalir kedengaran tenggelam timbul di telingaku. Aku biarkan saja tidak bertutup.
Pandangan aku bertukar kabur. Dunia terasa seolah-olah berputar. Aku cuba menggagahkan diri, sekurang-kurangnya sehingga tiba di katil nanti.
Tetapi gagal. Belum pun sempat aku melangkah keluar dari bilik mandi, tubuhku sudah rebah terlebih dahulu.
"Nur?'
"Ab... abang." Lemah sekali suaraku memanggil sang suami. Berharap dia datang padaku. Mendapatkan aku, isterinya. Namun aku yakin ia tak mungkin boleh didengari oleh Faraz yang baru saja masuk ke dalam bilik.
"Ya Allah, Nur!"
Aku nampak kaki Faraz yang berlari mendapatkanku. Seterusnya dia yang melutut, memangku kepalaku di lengannya. Tubuh aku turut digegarkan. Memaksa aku untuk kekal sedar.
"Nur, bangun. Wake up! Kenapa ni?"
Diri ini gagal mentaati arahan sang suami lantas semakin lama mata menjadi semakin gelap. Deria pendengaran aku juga tidak lagi menerima apa-apa bunyi.
YOU ARE READING
Kerana Akadku Namamu
Romance"Kita tengok nanti, Faraz. Sama ada aku yang akan bunuh diri sebab bergelar isteri kau atau kau yang akan menyesal separuh mati sebab akad nama aku. Waktu tu kau akan berharap agar masa boleh diputarkan semula supaya kau tak perlu akad nama aku."...