Selepas kejadian itu, Faraz banyak berdiam diri. Hanya bercakap bila perlu. Kalau tak sebelum ini rajin benar dia buka mulut dia itu semata-mata untuk menyakitkan hati aku.
Apa yang aku perasan, Faraz itu orangnya tidak banyak cakap. Tidak dengan keluarga mahupun dengan sahabatnya. Hanya di majlis-majlis tertentu yang memerlukan dia untuk bersosial saja dia akan membuka mulut. Itu pun kebanyakannya selepas dia disapa terlebih dahulu. Jika tidak, dia lebih kepada mendengar dan memerhati. Bila dengan aku saja mulut dia lancar untuk mengeji.
Namun, setelah beberapa hari Faraz mendiamkan diri, tanpa semena-mena dan tanpa langsung aku sangka, dia tiba-tiba saja mencari fasal dengan aku. Ada saja perkara yang dia marahkan tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Daripada perkara kecil dia bawa menjadi masalah yang besar.
Aku yang daripada sesabar-sabar umat bertukar menjadi baran dibuatnya. Letih juga bila asyik aku saja yang dipaksa untuk mengalah. Apa dia ingat aku ini tidak punya hati dan perasaankah? Biarkan saja diri dihina secara berterusan.
"Awak ni kenapa ya? Awak ada masalah apa dengan saya? Cuba cakap dekat saya. Tak payahlah awak nak guna alasan-alasan bodoh semata-mata nak lepaskan marah awak tu dekat saya."
"Lah, dah kenapa pula kau nak buat-buat tanya ni? Bukan ke kau sedia maklum yang aku memang ada masalah dengan kau sejak dari hari pertama kita kahwin lagi? Kau nak buat-buat lupa pula? Jadi tak payah nak terkejut sangatlah. Layanan aku pada kau tak pernah berubah pun." Faraz menjawab tenang. Bersahaja lagaknya. Walhal situasi kami sekarang ini boleh dikira agak tegang.
Aku menggeleng. "Tak. Awak memang ada masalah dengan saya dari sebelum tu lagi. Walaupun saya tak tahu kenapa, tapi saya sedia maklum pasal benda tu. Tapi apa yang awak buat hari ni sangatlah melampaui batas. Awak sedar tak apa yang awak buat ni, Faraz? Ke nak kena ruqyah dulu dekat tepi telinga tu? Dah ada jin ke yang rasuk dalam badan awak?"
Hujung bibir Faraz ternaik. Dia sedang menyungging senyuman sinis. Makin bertambah panas hati seorang Audra. Dia ni memang betul-betul meminta. Betul-betul nak kena.
"Atau awak sebenarnya dah mula lembut hati dengan saya? Jadi awak sengaja cari salah saya macam sekarang ni kan? Untuk keraskan hati awak tu. Betul tak apa yang saya cakap ni?"
Yalah, tiada angin tiada rebut, dia kembali mencari fasal dengan aku. Apa motif dia?
"Kau jangan nak bentangkan teori karut kau dekat aku. Aku tak nak dengar dan aku tak nak tahu. Faham?"
Tapi apakan daya, yang sedang bersama aku sekarang ini ialah seorang lelaki yang sudah cukup dewasa. Bukannya anak kecil yang boleh aku ugut dengan menjegilkan mata mahupun gula-gula. Apatah lagi dicubit. Paling-paling pun aku boleh tunjukkan rasa geramku saja. Tak akan aku nak pukul Faraz dengan penyangkut baju pula. Faraz itu bukannya baru darjah empat tetapi sudah lebih empat puluh tahun!
Baru saja aku buka mulut, telefon bimbit aku berdering minta diangkat. Tanda ada pemanggil.
Telefon bimbit di meja aku ambil. Niat nak melawam suami sendiri aku batalkan. Dibiarkan tertangguh.
Luth.
Tentu dia buat keputusan untuk telefon aku kerana aku tidak balas mesej-mesej dia. Mesej daripada Luth bukanlah seperti orang gila talak atau seumpamanya. Dia hanya bertanya khabar aku. Kata dia, dia risau tentang keadaan aku. Dia sering tanya sama ada aku baik-baik saja di bawah jagaan Faraz. Luth pun sudah sedia maklum denga napa yang berlaku. Dia juga kerap mengingatkan aku supaya memberitahu dia jika ada apa-apa yang buruk berlaku.
Aku dihambat dengan kejutan bila telefon aku kini sudah bertukar tangan. Elok berada dalam tangan Faraz.
Ya, telefon aku baru saja berjaya dirampas oleh suamiku itu. Tangkas betul Faraz bertindak. Aku tadinya berniat untuk menolak panggilan tersebut. Lain pula jadinya bila ia sudah sampai ke pengetahuan Faraz. Panggilan tersebut dijawab oleh dia.
YOU ARE READING
Kerana Akadku Namamu
Romance"Kita tengok nanti, Faraz. Sama ada aku yang akan bunuh diri sebab bergelar isteri kau atau kau yang akan menyesal separuh mati sebab akad nama aku. Waktu tu kau akan berharap agar masa boleh diputarkan semula supaya kau tak perlu akad nama aku."...