Bab 18

139 4 9
                                    

Aku pernah bercita-cita untuk menjadi seorang ibu.

Aku pernah membayangkan aku tersenyum bahagia bila mendapat khabar tentang kehamilanku. Tentang aku yang bakal bergelar seorang ibu. Tentang aku yang bakal menimang cahaya mata sendiri.

Tetapi saat ini...

Aku berasa kosong. Tiada langsung riak teruja. Aku bingung dan keliru. Apa yang patut aku rasa? Bahagia? Atau sedih? Atau terbeban?

Tak pernah sekali pun aku mengimpikan anak bersama Faraz.

Saat melihat alat ujian kehamilan tadi, riak aku dingin. Tiada walau segaris senyuman melainkan hanya air mata yang keluar. Aku tahu aku tak patut rasa begini tapi dengan situasi aku dan Faraz sekarang...

Anak ini tak patut lahir tanpa rasa cinta dan kasih antara orang tuanya. Kerana sesungguhnya anak itu ialah bukti cinta ibu dan bapanya. Aku simpati pada anakku. Belum lagi membayangkan reaksi Faraz.

Tambahan pula aku memang sudah nekad untuk melangkah keluar dari neraka dan penjara serta sangkar emas ciptaan Faraz ini. Memang dia tak pernah mengurung aku keluar dari rumah tetapi jiwa aku sudah dia kurung mati.

Aku pernah berjanji untuk memilih seorang lelaki yang baik sebagai seorang suami kerana anak aku tak mampu memilih siapa bapanya. Menjadi tanggungjawab aku untuk memastikan dia mempunyai bapa yang baik. Yang mampu melimpah seluruh kasih sayangnya.

Bukanlah aku kata Faraz tak mampu menjadi lelaki yang baik tetapi aku sendiri tak dapat menebak tentang penerimaan dia. Oleh itu, aku meneruskan rencana yang ada. Aku ingin menjadi seorang ibu yang baik. Tak mungkin aku tergamak membuangnya. Walau tanpa Faraz di sisi.

"Nur...?"

Di hadapan aku ada Faraz yang baru keluar dari bilik kerjanya. Aku berhenti menarik bagasiku. Wajah tampan itu aku tenung tanpa perasaan.

"Nur, please don't..."

Dia tahu niat aku bila dia menghampiriku lalu tangan aku yang masih memegang bagasiku digenggam olehnya.

Wajah aku masih beku. Air mata yang mula bertakung aku tahan daripada jatuh. Sesuatu di tangan kiriku pula aku genggam semakin erat.

Faraz memandang lunak wajahku. Mula merayu tanpa suara.

Aku tolehkan kepala ke kanan. Enggan menatap wajahnya kerana aku tahu aku akan goyah dan seterusnya akan kalah. Seperti selalu.

Beberapa ketika kemudian aku perasan Faraz mula menyedari sesuatu. Matanya turun tepat ke arah tangan kiriku. Tanpa bertanya terlebih dahulu, tangan dia terus memaksa aku melepaskan genggamanku.

Aku biarkan saja. Kerana sesungguhnya aku sendiri tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Biarkan dia mengetahui kebenaran atau terus menyembunyikan kebenaran daripadanya.

Alat ujian kehamilan sudah selamat berada di tangan Faraz. Aku masih menolak untuk memandang dia. Bimbang reaksi dia hanya akan menyakitkan hatiku.

Namun apa yang berlaku sesaat kemudian benar-benar mengejutkan aku. Tembok pertahanan aku juga runtuh seruntuh-runtuhnya.

"Nur, please! I'm begging you, don't..."

Faraz sedang melutut di hadapanku.

Masih tidak menoleh, kepala aku donggakkan ke atas. Masih berusaha menghalang air mataku yang begitu murah sejak kebelakangan ini daripada mengalir di pipiku atau menitik jatuh ke lantai.

"Nur, pandang abang..."

"Berhenti berabang dengan saya. Saya meluat."

"Abang akan tetap guna panggilan tu sampai Nur tak terbiasa tanpa panggilan tu. Sampai panggilan yang Nur meluat pada awalnya tu bertukar jadi satu halwa telinga untuk Nur."

Kerana Akadku NamamuWhere stories live. Discover now