"Assalamualaikum, mama..."
Aku hanya duduk diam di sisi Faraz. Memberi ruang pada dia.
"Hari ni Faraz ada bawa Nur, isteri Faraz sekali. Menantu mama. Ibu kepada cucu mama. Mama dah nak jadi nenek tau?"
Nampak Faraz tersenyum sambil mengusap perutku.
Aku yang memberi keizinan pada dia. Dia ada meminta supaya diberikan keizinan untuk mengusap anaknya. Semuanya demi menghormatiku kata dia. Bimbang aku tidak selesa.
"Tadi Faraz dah jumpa daddy dengan mommy Nur. Besan mama."
Tangan Faraz beralih pula ke bahuku. Bahuku diusap.
"Dulu Faraz selalu duduk tepi katil mama sambil mama baring dekat katil kan? Kalau Faraz sedih, mama akan usap kepala Faraz masa tu. Faraz pula akan usap tangan mama. Tapi sekarang Faraz dah ada riba isteri Faraz untuk Faraz baring."
Masih Faraz mengusap bahuku. Dia terus menjadikan aku sebagai topik perbualan antara dia dan mamanya.
"Mama pernah suruh Faraz kahwin cepat sebab nak tengok cucu mama kan? Ini kita orang bawa cucu mama. Nanti lepas dia dah keluar, kita orang akan bawa dia datang sini semula. Kita orang akan kerap lagi datang sini untuk mama. Mama mesti seronok dan teruja kan? Yalah, tiba-tiba Faraz datang bawa keluarga."
Faraz ketawa sendiri. Aku juga ikut tersenyum. Seperti mana Faraz sentiasa senyum di pusara orang tuaku tadi. Seperti Faraz menyapa orang tuaku, aku melakukan perkara yang sama.
"Assalamualakim, mama. Nur ni."
Teragak-agak aku buka mulut. Lebih kepada rasa gemuruh bertemu dengan mertua buat pertama kali.
"Maaf sebab tak pernah datang jenguk mama sebelum ni. Maaf sebab Nur terlewat. Nur harap mama sudi terima Nur."
"Mestilah mama terima Nur. Siapa aje yang tak akan suka Nur? Abang sendiri pun gagal bencikan Nur." Faraz menyampuk. Ada nada jenaka dalam tuturnya. Mungkin rasa gemuruhku kelihatan jelas di mata dia.
Aku menolak lengan Faraz perlahan. Tolak manja sahaja. Entah kenapa rasa segan pula dengan bicaranya. Lebih-lebih lagi bila aku rasa mama mertua aku benar-benar ada bersama menyertai perbualan kami. Seperti bila-bila masa saja mama juga boleh menyampuk.
"Nur tak nak puji abang ke depan mama?" Faraz menolak bahu aku menggunakan bahunya. Perlahan saja.
"Tadi kan dah puji depan mommy dengan daddy?" Dia aku hadiahkan satu jelingan maut.
Memang benar tadi aku dah puji dia depan orang tuaku. Kataku, Faraz jaga aku dengan baik dan boleh menjadi bapa yang baik jadi mereka tak perlu risaukan aku.
"Alah, itu depan daddy dengan mommy. Ni depan mama."
"Tak payah. Awak ingat kalau saya menipu mama awak tak kenal ke perangai anak dia sendiri yang seorang ni?"
"Oh, jadi apa yang Nur cakap tadi tu semuanya satu penipuanlah?"
Aku tahu yang Faraz sengaja berniat untuk mendugaku.
"Tak adalah macam tu..." Perlahan saja suaraku. Enggan mengaku yang pujian aku itu benar-benar jujur dari hati ini.
Faraz sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk. Amboi, seronok betul nampaknya dia!
"Mama pernah..."
Lah, dah kenapa pula tiba-tiba betukar jadi sedih ni? Tadi bukan main lagi suka.
"Mama pernah kata yang apa pun jadi mama nak Faraz, Seri dengan papa bersama kan? Sebab kami tetap keluarga."
Fahamlah aku apa yang bermain di fikiran Faraz.
"Jadi Faraz janji yang Faraz akan cuba maafkan papa, terima auntie dalam keluarga kita dan bawa Seri dekat semula dengan keluarga kita. Jadi mama dah tak perlu terus susah hati. Faraz buat ni pun demi anak Faraz yang bakal lahir nanti. Biar Faraz aje yang rasa sakit ni tapi jangan anak Faraz. Kalau boleh Faraz nak cucu mama hidup dalam suasana keluarga yang harmoni. Bahagia dengan atuk tak nenek dia juga."
Sekarang giliran aku pula yang mengusap-usap bahu dan belakang Faraz.
"Okeylah, mama. Itu aje untuk hari ni. Kita orang balik dulu ya? Lain kali kita orang datang lagi."
Faraz mengesat air mata. Perbualan kami tamat di situ. Dia menggulung tikar kecil yang menjadi alas kami duduk.
Dia setia memimpin aku hingga ke kereta. Ini belum lagi masuk waktu trimester terakhir. Bayangkan kalau aku sudah sarat nanti. Entah macam mana agaknya layanan Faraz.
Sepanjang perjalanan pulang, masih terngiang-ngiang sapaan Faraz terhadap arwah daddy dan mommy. Hati yang sudah lama tandus kembali berbunga. Rama-rama yang sudah hampir mati sudah kembali hidup semula.
"Terima kasih lahirkan Nur, besarkan Nur dan didik dia menjadi diri dia yang sekarang. Seorang wanita hebat yang mampu menjadi isteri terbaik untuk Faraz dan ibu terbaik untuk anak-anak Faraz."
YOU ARE READING
Kerana Akadku Namamu
Romansa"Kita tengok nanti, Faraz. Sama ada aku yang akan bunuh diri sebab bergelar isteri kau atau kau yang akan menyesal separuh mati sebab akad nama aku. Waktu tu kau akan berharap agar masa boleh diputarkan semula supaya kau tak perlu akad nama aku."...