Epilog 1

112 2 4
                                    

Jam di pergelangan tangan banyak kali aku lihat. Aku mula tidak senang duduk seperti cacing kepanasan. Mata aku sekejap-sekejap melihat ke arah pintu masuk restoran.

Mana pula si Luth ni? Janji pukul berapa, sekarang dah pukul berapa? Ingat aku ni tunggul ke apa nak tunggu dia lama-lama macam ni? Luth lupa agaknya yang aku ini ialang seorang lelaki yang sibuk. Aku dah adakan masa nak jumpa dia ni pun dah cukup. Itu pun dia yang tak tepati masa. Sekejap lagi aku ada mesyuarat penting yang perlu dihadiri. Tak boleh tangguh lagi kerana aku sudah tangguhkan sebelum ini.

Nekad, jika sepuluh minit lagi Luth tidak memunculkan dirinya, aku akan angkat kaki, pergi dari sini. Air pun tinggal separuh dah ni. Tunggulah Luth nanti aku basuh dia cukup-cukup. Ada ke patut dia sidai aku?

"Excuse me, are you Safaraz?"

Dan-dan sewaktu aku berdiri, muncul seorang wanita berselendang menegurku. Lain yang diharapkan lain pula yang muncul.

Namun saat wajah itu aku pandang, suasana di restoran itu terasa seakan sunyi dan sepi. Tiba-tiba hanya ada aku dan dia di dalam restoran ini.

Cantik.

"Weh, Faraz! Maaf, aku lambat. Aku tak sengaja."

Belakang tubuh aku ditepuk kuat membuatkan aku tersedar. Restoran kembali hingar di telingaku.

Terpinga-pinga aku pandang wanita tadi dan Luth silih berganti.

"Inilah girlfriend aku yang aku cakap aku nak kenalkan dekat kau tu. Yang aku plan nak tunang bulan depan."

Buk!

Rasa macam Luth baru saja layangkan sebiji penumbuk ke muka tampanku kerana berani-beraninya berasa yang bukan-bukan dengan bakal tunangnya sebentar tadi meskipun hanya untuk beberapa saat.

"Oh, ni ke bakal tunang kau?"

Cool, Faraz. Act cool. Kau tak tertarik pun dengan perempuan ni. Tadi tu cuma sebelum kau tahu yang dia ni bakal tunang Luth.

Aku cuba buang rasa yang bertandang tadi sejauh mungkin. Kalau dilayan, itu namanya cari penyakit, Faraz. Kau gila? Kalau Luth tahu macam mana?

Tak, dia tak akan tahu kalau aku tak beritahu. Tak ada siapa yang akan tahu.

Tapi macam mana dan kenapa pula tiba-tiba kau boleh rasa macam tu? Berhenti berlagak macam remaja lelaki suci yang tak pernah nampak perempuan cantik, Faraz!

"Ya, kita orang berdua datang asing sebab dia ada urusan lain tadi," jawab Luth.

Kemudian Luth perkenalkan kami berdua pula. "Faraz, inilah Nur Fatimah Audra. Audra, ini Dato' Seri Safaraz Ali yang saya cakapkan tu. Dia ni antara orang yang penting tau dalam hidup saya. Kira dia ni macam setaraf dengan abang sayalah."

"Saya fikir awak dah sampai lama tadi sebab tu saya tak kisah lewat sikit. Ingatkan awak dah ada temankan dia. Tak baik tahu, awak biarkan dia tunggu lama-lama," wanita itu menegur kekasihnya sebelum menyapaku. Luth di sebelah hanya tersengih seperti kerang busuk.

"Hai."

"Hai." Dingin sekali balasan daripada aku.

Sejak dari itu aku sering mengelak untuk bertemu sekirangnya Luth membawa Nur bersamanya. Bukan apa. Aku fikir rasa itu hanya sekali tetapi rupa-rupanya ia tak pernah hilang. Setiap kali aku menatap wajah itu, rasanya sama seperti saat pertama kali aku melihatnya. Jantung aku juga berdetak dengan rentak yang sama.

Cuma ada ketika aku tidak dapat mengelak. Sikap aku terhadap wanita itu juga aku biarkan dingin. Bimbang aku gagal mengawal perasaan sendiri. Tiada siapa tahu sukarnya aku untuk membuang dan mengawal rasa yang menjengah. Sampai aku pernah terdengar dia berkata tentang aku dengan Luth.

"Kawan awak tu memang alim ke? Dia macam tak nak tengok muka saya langsung walaupun dia tengah bercakap dengan saya. Bercakap pun macam saya ada buat salah aje dengan dia. Ke dia tak berkenan saya dengan awak?"

"Eh, tak adalah. Dia memang macam tu. Dingin dan pemalu orangnya kalau belum rapat. Saya dulu pun macam tu juga masa mula-mula kenal dan kawan dengan dia. Lama-lama nanti dia okeylah tu. Awak jangan risau sangat. Sekarang ni dia belum biasa lagi dengan awak. Awak pun cubalah ajak dia berbual."

"Ya Allah, awak ingat saya ni tak pernah cuba ke? Saya dah penat dah ajak dia berbual. Tapi dia tu yang macam nak tak nak aje layan saya. Sampai saya putus asalah."

"Oh... Tapi bagus juga tu. Yalah, kalau awak rapat sangat dengan dia pun nanti saya pula yang cemburu. Dia tu kan ada segala-galanya. Lebih daripada saya.  Risau juga saya kalau..."

"Awak jangan nak fikir bukan-bukanlah! Saya bukan macam tu dan dia pun tak akan sanggup nak buat macam tu dekat awak."

Aku alim? Lambat lagi. Tapi satu yang aku pasti. Aku tak akan pernah biasa dengan wanita milik Luth itu.

Rasa ini adalah rasa yang terlarang. Belum lagi campur dengan rasa berdosa seolah-olah aku telah mengkhianati Luth, sahabat rapat yang telah aku anggap seperti adik kandungku sendiri.

Benar kata, Audra. Kerana aku tidak sangguplah aku lebih memilih untuk mengelak.

 Kerana aku tidak sangguplah aku lebih memilih untuk mengelak

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Kerana Akadku NamamuWhere stories live. Discover now