Aku masih menekan-nekan perutku sambil duduk di atas sofa. Air mata pula hampir jatuh. Tak tahulah kenapa tapi memang sejak kebelakangan ini aku asyik menangis saja. Baik untuk perkara kecil mahupun perkara yang besar. Tapi keterlaluankah aku kalau aku nangis kerana bimbangkan keselamatan anakku sendiri?
Mungkin juga kerana ini merupakan pertama kali aku menjadi seorang ibu. Oleh itu, banyak benda yang aku masih belum tahu dan masih banyak juga perkara yang perlu aku pelajari. Kata Faraz tak mengapa. Dia juga sedang perlahan-lahan belajar menjadi seorang bapa. Langkah demi langkah katanya.
"Sayang, kenapa ni?"
Bukannya aku tak sedar langsung yang Faraz sudah pulang untuk makan tengah hari dari tadi tapi ada perkara yang lebih penting patut aku bimbangkan.
"Baby tak gerak," jawab aku tanpa memandang Faraz yang mula mengambil tempat di sebelahku. Mata aku masih fokus pada perut sendiri.
Pergerakan bayi penting untuk memastikan bayi berada dalam keadaan yang sihat dan baik-baik saja. Kerana itulah doktor mengarahkan spaya ibu perlu mengira pergerakan bayi pada setiap hari.
"Ha?" Faraz serta-merta turut menjadi sedikit gelabah.
"Saya risaulah, Faraz. Selalunya waktu-waktu tengah hari nak ke petang macam ni dia orang aktif."
Ya, dia orang. Bukan main seronok lagi Faraz bila tahu yang dia bakal menjadi papa kepada si kembar.
Anak-anakku biasanya akan bergerak dengan lebih aktif dan agresif sewaktu tengah hari hingga petang. Manakala pada awal pagi dan malam pula mereka berdua akan tidur dalam jangka masa dua puluh hingga empat puluh minit dan tidak melebihi sembilan puluh minit. Pada waktu itu mereka tak akan bergerak. Seperti ibunya, mereka juga perlukan masa untuk berehat seketika.
"Anak-anak papa, bangun sayang. Papa dah balik ni. Buat apa tu, tidur lagi ke? Bangunlah, jangan buat mama dengan papa risau."
Faraz berbicara dengan anak-anaknya sambil perut aku diusap-usap.
"Auch!"
"Kenapa sayang?"
Faraz cemas melihat muka aku yang terkejut dan dahi yang berkerut seperti aku sedang berada dalam kesakitan.
"Dah gerak. Anak-anak dah gerak!"
"Iya? Mana? Nak rasa!" Bercahaya mata Faraz.
Aku membawa tangan Faraz ke tempat yang sedang ditendang oleh anak-anak. Meskipun ini bukan pertama kali, Faraz masih saja tetap lagi teruja persis seperti kali pertama dia merasai tendangan si kecil.
"Dia orang tunggu papa dia orang balik agaknya..."
Aku mencebik. Mula dah perangai Faraz yang satu ini.
"Yang mamanya tak tertunggu-tunggu ke papanya balik? Tak akan anak-anak aje yang rindu papa dia orang?"
Faraz aku jeling.
"Okey, okey." Seperti biasa, Faraz akan tersengih seperti kerang busuk. Menampakkan gigi putihnya yang tersusun rapi.
"Awak nak pergi mana tu?" soal aku bila Faraz bangun sambil menyinsing kedua-dua lengan baju kemejanya hingga ke siku.
"Nak pergi buatkan awak jus buah kejap. Nak bagi tenaga dengan anak-anak tu. Baru ligat sikit bergerak."
Aku biarkan saja Faraz berlalu ke dapur. Mungkin usaha aku makan snek yang manis tadi tidak cukup berhasil. Jus buah mungkin boleh membantu. Sambil-sambil menunggu Faraz untuk kembali bersama segelas jus buah di tangannya, aku terus memeriksa pergerakan bayi.
Sememangnya dari pagi tadi si kembar agak lemah. Kalau bergerak pun cuma sedikit dan boleh dikatan perlahan saja pergerakan mereka berdua. Mula bergerak pun lambat. Tidak seperti kebiasaannya. Kemudian pergerakan berhenti dan langsung tidak bergerak sehinggalah kepulangan Faraz sebentar tadi.
Nak kata si kembar tidur pun tak boleh sebab sekarang bukan waktu tidur mereka tetapi aku tak tahulah sama ada mereka benar-benar sedang tidur atau pun tidak. Macam yang aku kata, sekarang adalah waktu di mana mereka sentiasa aktif. Sebagai seorang ibu, aku sudah hafal corak pergerakan mereka.
Kalau nak kata aku pula yang terlalu aktif pun tak logik juga. Sebab Faraz emmang ada mengambil pembantu rumah untuk menemani aku dan menguruskan rumah samasa ketidakberadaan dia di rumah. Faraz balik, pembantu rumah pun balik. Dia yang akan melakukan kerja rumah jika dia berada di rumah. Jadi aku hanya membantu serba sedikit saya. Contohnya seperti melipat kain baju. Itu pun dalam keadaan duduk. Aku hanya berjalan-jalan di dalam rumah agar aku tidak menjadi terlalu pasif.
Bercakap tentang itu, Faraz juga rajin melakukan senaman ibu mengandung bersamaku. Kalau aku bersenam tanpa dia, boleh merajuk dibuatnya lelaki itu.
"Nur termenung apa tu?"
Faraz muncul bersama segelas jus oren yang sejuk. Dia mengambil semula tempat tadi. Gelas yang berisi penuh dengan air jus buah itu dihulurkan pada aku.
Aku tidak menjawab tapi Faraz mengerti. Aku terus minum air yang diberi. Cukup rasanya untuk membangunkan anak-anak sekali gus menggalakkan pergerakan mereka dan meningkatkan kekerapan mereka menendang.
"Risau pasal anak-anak lagi ya?"
Aku mengangguk.
"Okey, tak apa. Macam ni. Kejap lagi kita pergi jumpa doktor ya? Biar doktor periksa apa yang patut. Abang pun risau juga ni sebenarnya. Insya-Allah semoga semuanya baik-baik aje. Allah ada. Abang pun ada."
Aku angguk lagi. Setuju dengan usul Faraz. Dalam masa yang sama terharu dengan kata-katanya itu.
Faraz bermain-main dengan rambut aku yang menutup dahi. Lalu diselitkan ke belakang telingaku. Aku biarkan saja dia yang ralit memerhatikan aku.
"Awak tak nak balik pejabat semula ke kejap lagi? Saya boleh aje pergi jumpa doktor sendiri."
Mencebik Faraz dengar bicara aku.
"Tak payah nak merepek, Nur. Suami awak ni kan bos dekat ofis tu. Lagi pun tak ada apa-apa mesyuarat penting hari ni. Jadi abang ikut Nur. Abang yang akan bawa dan temankan Nur dengan anak-anak kita kejap lagi, okey?"
Aku menjungkitkan bahuku.
"Dah kalau awak cakap macam tu tak apalah." Bibir juga aku juihkan tanda aku okey saja kalau dia ikut sekali.
Faraz angkat kaki dan mula bersila di atas sofa. Gelas aku yang masih berbaki jusnya dia ambil lalu diletakkan seketika di atas meja ruang tamu. Kedua-dua tangan aku kemudian dia genggam.
"Ini kan kandungan pertama Nur. Mestilah abang tak nak terlepas apa-apa pasal Nur dengan anak-anak. Malah abang akan ada juga dengan Nur untuk kandungan yang seterus-seterusnya."
"Memandai aje dia ni. Siapa yang kata saya nak mengandung lagi? Saya tak ada cakap apa-apa pun setahu saya."
"Oh, Nur tak nak tambah dah ya lepas ni?"
Aku cuma diam. Malas aku nak layan dia. Aku tak fikirkan pun lagi tentang hal itu.
Faraz senyum. Jus tadi dia ambil dan beri semula pada aku. "Nah, habiskan cepat. Kata nak pergi jumpa doktor."
YOU ARE READING
Kerana Akadku Namamu
Romantizm"Kita tengok nanti, Faraz. Sama ada aku yang akan bunuh diri sebab bergelar isteri kau atau kau yang akan menyesal separuh mati sebab akad nama aku. Waktu tu kau akan berharap agar masa boleh diputarkan semula supaya kau tak perlu akad nama aku."...