Epilog 6

147 3 4
                                    

"Encik ni ada masalah ke? Bukan nak menyibuk atau apa tapi dari lepas Isyak tadi saya perhatikan encik ni nampak macam serabut aje air mukanya? Itu yang saya tanya, manalah tahu kot ada apa-apa yang saya boleh tolong kan?"

Itu teguran yang aku terima daripada seorang ustaz yang merupakan bilal masjid selama dari waktu Maghrib aku berada di masjid ini. Aku kenal wajah dan peranannya kerana kerap kali juga muka dia yang aku nampak melaungkan azan setaip kali aku ke masjid yang paling hampir dengan kawasan perumahanku ini.

Setelah berfikir masak-masak aku memilih dan membuat keputusan untuk menceritakan segala apa yang mengganggu fikiranku. Mungkin benar seperti yang dikatakan, mungkin dia dapat meringankan bebanku serba sedikit. Jika tiada solusi pun mungkin kusut aku akan berkurang selepas diluahkan dan ada yang sudi menjadi pendengar setia.

Kalau dulu, Luthlah yang akan berada di tempat ustaz ini. Hanya Luth kawan paling rapat yang aku ada. Tetapi sekarang tidak lagi.

"Tentang bagaimana dan kenapa isteri kamu boleh bersabar itu, saya rasa saya ada jawapan untuk itu."

Aku membetulkan dudukku. Tulang belakang yang tadinya sedikit membongkok kini diluruskan. Duduk aku juga semakin mengiring menghadap dia yang memperkenalkan diri sebagai Ustaz Amin. Kemudian seluruh tumpuan dan perhatian aku berikan pada Ustaz Amin. Khusyuk mendengar setiap bicaranya.

"Ayat ke-34 dalam surah Fussilat, Allah SWT berfirman yang membawa maksud, tolaklah kejahatan yang ditujukan kepadamu dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Yakni, jika engkau berbuat baik kepada orang yang melakukan kejahatan kepadamu, nescaya kebaikan itu akan membuatnya bersikap baik kepadamu, mencintaimu dan merinduimu, sehingga dia seakan-akan menjadi teman setia, dalam maksud mendekatimu dengan rasa kasih sayang dan berbuat baik."

Tidak habis di situ, Ustaz Amin menyambung lagi.

"Syeikh al-Maraghi pula berkata, hapuskanlah kejahilan dan kebodohan orang kafir itu dengan cara yang baik. Maksudnya, balaslah keburukan mereka dengan kebaikan, hadapilah kekasaran-kekasaran mereka dengan kemaafan dan hadapilah kemarahan mereka dengan kesabaran. Ini kerana sesungguhnya jika kamu bersabar dan memperlakukan mereka seperti yang dikatakan, pasti mereka akan malu sendiri dengan sikap mereka itu sehingga mereka akan berhenti melakukan kejahilan pada kamu."

Kepala aku terangguk-angguk.

"Mungkin atas alasan-alasan inilah kenapa isteri kamu sanggup bersabar dengan kamu selama ni. Buktinya, dia juga dapat lembutkan hati kamu dengan kesabaran dia. Betul tak?"

Aku tersenyum tipis mendengarnya. Tidak aku nafikan yang hati aku kerap kali menjadi lembut setiap kali Nur memujuk aku untuk melupakan dendamku dan melayari bahtera kami persis seperti pasangan suami isteri yang lain.

"Tentang keredaan pula, saya rasa besar kemungkinan isteri kamu telah reda menerima kamu sebagai suaminya. Sebab itu dia tak putus asa mengajak kamu untuk berdamai daripada memaksa kamu untuk melepaskan dia atau dengan kata lain, berpisah. Oleh itu, kamu juga kena belajar reda atas apa yang jadi."

Bahu kiri aku pula disentuh.

"Kita mesti beriman kepada qadar-Nya, yang baik mahupun yang buruk. Nikmat atau musibah. Kita perlu percaya bahawa perkara yang baik dan perkara yang buruk itu adalah hasil daripada kehendak Allah SWT. Manusia biasanya mudah untuk reda dengan qada' yang baik tetapi belum tentu mampu untuk menerima qada' yang buruk padahal ia juga datang daripada Tuhan yang sama memberikan nikmat pada kita iaitu Allah SWT. Ironi kan?"

Aku dan Ustaz Amin saling berbalas pandangan.

"Walhal kalau kita ingat balik dalam sembilan puluh sembilan nama Allah, tiada satu pun di antaranya yang menunjukkan Tuhan kita itu zalim atau bersifat menganiya hamba-Nya. Jadi jangan salah faham. Ujian yang diturunkan kepada hamba-hamba-Nya bukanlah untuk menyusahkan kita, tetapi percayalah terdapat hikmah di sebalik setiap ujian-Nya. Maka itu, hendaklah kita menempuhi segala ujian dengan sabar dan penuh kebergantungan kepada Allah SWT."

Kerana Akadku NamamuWhere stories live. Discover now