Bab 14

108 5 0
                                    

Kali ini Luth lebih berani. Langsung aku tak sangka yang dia sanggup datang ke rumah aku dan Faraz. Tentulah dia tahu di mana terletaknya rumah Faraz. Pagi-pagi lagi dia sudah terpacak di depan rumah kami.

"Kan aku dah kata, tak ada apa yang perlu kau risaukan. Selagi Nur ada dengan aku, selagi itulah dia selamat aje. Tak adanya aku nak pergi jual dia dekat Siam sana tu."

Tidak sempat dia menyapa kami dengan salam, Luth terus diserang oleh Faraz.

"Tapi aku dengar kau orang berdua gaduh malam tadi. Kau siap tinggikan suara. Jadi aku rasa normal dan wajar untuk aku risau. Kata-kata kau tu langsung tak berjaya untuk yakinkan aku yang kau tak akan bua tapa-apa dekat Audra."

"Tak, sekarang ni... Kau ada nampak lebam-lebam ke kat muka dia? Suci bersih aje muka dia aku tengok. Sama macam waktu dia masih dengan kau. Tak ada apa yang cacat. Tangan dengan kaki dia pun tak patah. Dia tengah berdiri depan kau kat sini ha. Tengoklah puas-puas."

Luth tidak melepaskan peluang yang ada. Mata aku dia renung dalam-dalam.

"Tak payah tengok lama sangat." Faraz bergerak ke hadapanku. Menghalang Luth dari terus merenungku seperti tak mahu lepas.

Luth mengeluh melihat kelakuan lelaki yang pernah dia rapat serapat isi dengan kuku itu. "Faraz."

Faraz tidak menyahut. Atau lebih tepat lagi, tak sudi untuk menyahut.

"Jangan gunakan Audra, Faraz."

Aku masih di belakang Faraz. Akur dengan isyarat suami yang enggan isterinya ditenung oleh lelaki lain.

Namun setiap bicara mereka masih jelas masuk ke telingaku. Hanya sesekali aku mengintai dari belakang tubuh Faraz yang lebarnya mampu menyempunyikan seluruh tubuhku.

"Aku tahu kau ada dendam dengan aku tapi tolonglah jangan gunakan dia. Aku reda kau ambil dia dari aku walaupun dengan cara macam ni tapi tolong jangan zalami dia."

"Pembetulan. Aku tak pernah rampas dia daripada kau. Istilah perampas tu tak boleh kau gunakan pun untuk aku. Kau sendiri yang putuskan pertunangan kau orang kan? Dalam kata lain, Nur langsung tak ada terikat dengan sesiapa pun masa aku akad nama dia. So, stop being delusional, bro."

Aku dengar Faraz tertawa sinis sebelum menumbuk bahu Luth. Dua kali dia berbuat demikian, dua kali jugalah Luth terdorong ke belakang.

"Aku tahu aku tak layak nak minta kau untuk jaga Audra baik-baik. Apatah lagi jaga dia untuk aku. Sedangkan aku tahu kau nak hancurkan dia sebab aku." Ternyata Luth belum lagi ingin mengalah.

"Kalau kau dah tahu kenapa kau tayang muka tak malu kau tu lagi kat sini?"

"Aku tak akan minta kau jaga dia untuk aku. Tapi aku minta kau sayang dia macam mana aku sayang dia. Tak. Sayang dia lebih daripada macam mana aku pernah sayang dia. Kau tahu macam mana aku sayang Audra separuh mati kan, Faraz? Dengan cara tu, kau akan jaga dia lebih baik daripada aku jaga dia. Bukan untuk aku atau apa pun dan tanpa sebarang paksaan."

Faraz membiarkan tangan dia diraih. Aku menekup mulut melihat Luth sudah melutut di bawah.

"Pernah? Maksudnya kau dah tak sayang dialah kan? Aku tak silap dengar kan?"

Luth nampak teragak-agak untuk menjawab soalan maut yang Faraz baru saja lontarkan. Lantaran itu, dia biarkan soalan tersebut tidak berjawab.

"Kalau kau tak mampu jaga dia sebab sayang sekali pun, sekurang-kurangnya tolonglah jaga dia atas dasar janji kau dengan tuhan. Janji yang termeterai sejak kau akad nama dia. Aku tahu kau baik, Faraz. Kau tak akan sampai hati untuk zalimi Audra kan?"

Kerana Akadku NamamuWhere stories live. Discover now