Borok Dengan Aji.
Pak Ghani bangkit dari kerusi dan beransur pulang. Bayaran kopi panas dimasukkan ke dalam buku dahulu seperti biasa. Masuk kali ni, sudah tiga bulan dia belum melangsaikan hutang di Warung Aji.
Melihat Aji yang buruk muka, memberi sedikit simpati kepada Khairan yang sedang menghela nafas panjang melihat Pak Ghani sudah hilang dari pandangan. Bukan apa orang tua tu asyik nak menang saja. Mentang-mentang umur dia banyak, dipandangnya remeh dan menyangka Khairan ini belum cukup garam dalam berbincang perihal hidup semasa mereka berbual di meja yang sama.
Bukannya dia mintak mengeteh dengan Pak Ghani. Dia duduk di warung depan rumahnya ini semata tunggu Ramona pulang. Ramona masih di pasar basah bersama Mak Sabilah. Khairan tahu Ramona tak sabar nak balik sebab hari ini mereka akan ke Air Terjun Teladas.
Sejak kejadian Ramona itu, Khairan tak lagi menjejak kaki ke Teladas. Mungkin hari ini dia kembali. Entah. Malang sentiasa datang jika dia menghampiri tempat itu.
Kalau dulu dia pernah terjatuh dari motor kerana mengelak dua ekor cicak tokek berkejaran dia atas jalan. Nasib baik terjatuh di belah kiri. Kalau belah kanan, jatuh ke gaung.
Tiga tahun yang lepas pun sama. Jatuh motor terlanggar batang kayu yang patah.
" Khairan, awok bila nok bekerja?", Aji mengambil tempat hadapan Khairan tiba-tiba saja ajak berbual. Umur Aji sudah 41tahun, tapi dia tak suka remaja seusia Khairan ini memanggil dia pakcik. Dia lebih gemar dengan panggilan abang.
" Kenapa abang Aji tanya macam tu? Kalau saya kerja nanti siapa nak jaga rumah? ", Seloroh Khairan sambil tersengih-sengih.
" Lembu la awok. Badan segor gini tak mboh kerja. Rugi. Tengok Am tu. Spm ntoh mende-mende, last-last Aji suruh dia masuk navy ", Ujar Aji perihal anak keduanya yang juga sama usia dengan Khairan.
" Alaa, dia minat senang la. Saya ni bukan minat pakai-pakai uniform, kawad-kawad ni. Lagi yang saya tak minat rambut kena petak. Mana hensem "
" Pandir la awok. Rambut Am tu mana petok, dia buat botok "
" Samalah tu Aji. Saya bukan minat rambut pendek-pendek ni. Tak Kurt Cobain la ", Gurau Khairan sambil menggoncang-goncang rambutnya.
" Borok mende ntoh awok ni. Dah la Aji nak pergi bancuh teh o. Nanti orang order payoh pulok buat satu-satu nanti ", Aji bangkit meninggalkan Khairan dan masuk ke bahagian dapur.
Cukup tenang Khairan berbual dengan Aji. Tak banyak melawan. Malah melayan saja karenah anak muda walaupun banyak mencarut.
" Tak balik lagi ke? ", Getus hati Khairan. Melihat pada rumahnya masih tiada tanda Ramona dan Mak Sabilah balik.
Kantoi.
" Awak okay tak? ", Tegur Habibi kepada seorang pekerja baru yang duduk di atas sebuah kotak, namanya Seroja Nurul.
Selain bertanya khabar, Habibi teringin sekali mahu bertanya adakah bapa Seroja Nurul ni pernah membeli minuman beralkohol semasa menyambut kelahirannya?
Habibi lenyapkan niat itu, malah cuba mengambil tahu mengapa Seroja Nurul kelihatan seperti baru lepas menangis.
Seroja Nurul tak memberi sebarang respon dan hanya berdiam diri. Malah terus merenung di satu sudut. Sudut yang ditenungnya bukanlah biasa-biasa. Malah sudut kotak pakaian dalam lelaki.
Habibi teruja.
" Awak kenapa ni Seroja? Demam ke?", Lembut pertanyaan Habibi. Memang sifatnya begitu kalau dengan perempuan.
" Kak Ad tu.. "
" Kenapa? dia buat apa? "
" Malas la bagitau awak. Nanti awak bagitau dia. Yela mentang-mentang la saya baru, saya jela yang salah "
" Saya pun tak suka dia. Bagitau je. Bukan kita je, Cik Suzana pun tak suka Kak Ad tu tau", Pujuk Habibi. Kali ni dia mencangkung di depan Seroja Nurul. Memberi perhatian sebaik mungkin.
" Tadi dia suruh amik stok pen. Saya pun amiklah dalam stor, lepastu dia hilang entah kemana. Saya tinggal jela stok tu kat situ, lepastu buat kerja lain. Tiba-tiba dia datang dia marah terus, dah la ramai orang masa tu ", Sayu saja suara Seroja Nurul.
" Ohh..Sabar je la, Seroja.. Ehh nanti kejap ada customer ", Habibi bangkit terus melangkah ke arah seorang pelanggan lelaki yang sedang memegang kotak seluar dalam bersama gaya seperti runsing dan memerlukan bantuan.
" Ya en.. "
Ramdan memandang tepat kedua biji mata Habibi. Takda sebarang kata-kata keluar. Bauan Ramdan tak mengganggu Habibi yang masih lagi kaku.
Ramdan meletak kembali kotak seluar dalam. Dia beredar dari situ.
Habibi kembali ke Seroja Nurul.
" Awak okay? ", Soal Seroja Nurul pula.
Habibi tak respon. Baginya bahaya Ramdan dapat tahu tempat kerjanya.
" Saya tak okay ", Jawab Habibi.
" Kenapa? "
" Sebab saya takda no telefon awak.."
Petanda Kebahagiaan Mutlak.
Sidek membuka kelopak matanya serta-merta bila dapati terasa sesuatu. Denyutan di betis kiri terasa jelas amat. Sidek yang masih lagi mamai melihat kelibat ayahnya Pak Baba berdiri dengan wajah bengis.
" Pukul tujuh dah ni Sidek. Bangun! ", Pak Baba memberi sepakan tonjol lagi di tempat sama.
" Aduh, iya dah bangun dah ni ", Sidek mengusap-usap betisnya.
Kemudian, Pak Baba mencapai kopiah yang dibeli dari Mekah dan terus melangkah keluar menaiki motor untuk ke surau Kampung Cedong 1. Sidek bangkit. Dia terus melawan kehendak mata dan badannya yang masih memerlukan satu rehat yang baik.
Dah mandi sungai, tentulah mengantuk. Lagi-lagi Sidek sempat mencekik roti bawang dengan Mut di bandar dulu tadi sebelum pulang ke rumah. Memang asyik.
Sidek bangun dari lantai dan duduk melunjur kaki. Bunyi kulit yang melekat di lantai sewaktu bangun membuat Shaera berpaling seketika. Kemudian, kembali semula ke motif viral di kaca tv.
Sidek mengelengkan kepala pada ketagihan adiknya yang tak lagi dapat dibendung.
Sambil itu, dia teringat kisah pendek tadi sewaktu menghantar Mut pulang. Ayu Demila itu sungguh membuat jantung Sidek berdebar kencang. Walaupun hobi membaca novel tidak terpilih dalam ciri-ciri wanita digemarinya, Sidek tetap terima. Malah sekarang berkira-kira untuk meletakkan ciri itu ditangga yang paling atas.
Tapi tadi Sidek tak dapat mengamati lama. Demila terlihat sangat gelabah mengemas segala barang di buaian luar dan bergegas masuk dalam rumah.
Tapi semuanya okay buat Sidek. Janji ada. Terubat jugak gelora dalam hati selepas semangatnya jatuh bila takda langsung panggilan telefon dari Demila. Nombor memang sudah ada di tangan. Tapi bukan caranya untuk terus membaham peluang depan mata. Itu cara Habibi. Dia taknak jadi macam Habibi. Tak pernah berjaya mendapatkan perempuan.
Ting!
Satu mesej masuk dari aplikasi whatsapp di telefon Sidek yang berada di atas sofa. Dia ambil. Satu mesej dengan ucapan hai dari sebaris nombor yang tak dikenali dan tak disimpannya. Sidek buka gambar Profile DP.
Sebaik saja gambar terpampang, Sidek berasa mual. Telefonnya bergegar-gegar. Serta-merta di kepala mula merancanakan satu jamuan makan ringkas kepada kawan-kawannya yang terdekat dan memberi sepatah dua kata yang berbaur kejayaan sebenar kepada mereka dan berbaur angkuh khas untuk Habibi seorang.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ramona Di Maran
Fiksi RemajaKhairan menjumpai Ramona di kawasan air terjun. Cedera parah. Hidupnya kacau-bilau selepas itu. Namun, detik-detik yang tercipta antara mereka berdua memudahkan segalanya.