Babysitter 2

97 3 0
                                    

dapat melihat apa yang dilihat Iman tetapi dia tahu kanak-kanak tidak pandai menipu dan mata mereka tidak berhijab. Dia bergegas mendukung Arina dan memimpin Iman ke ruang tamu. Sarapan pagi itu tidak sempat dihabiskan.

Amar.. Mana Amar??

Dia menoleh namun Amar tiada di dapur. Gelak tawa Amar dari tingkat atas memberi petunjuk bahawa dia sedang berada di atas. Arina dibaringkan ke atas tilam bayi dan dia meminta Iman menjaga adiknya buat beberapa minit. Amar harus dibawa ke bawah dengan segera.

“Amar? Amar kat mana?” dia memanggil-manggil. Bilik tidur Iman dan Amar dikuak dan kanak-kanak itu tiada di situ.

“Amar?”
“Aunty…”

Erin menoleh dan melihat Amar sedang berdiri sambil merenung sesuatu di belakangnya. Dahi Erin berpeluh-peluh, tekaknya terasa kering…

“Aunty, jangan gerak..” arah Amar dengan lidah telonya. Dia menggeleng-geleng dengan muka yang penuh ketakutan.

“Kenapa sayang?” tanya Erin dengan suara terputus-putus. Dia berdiri macam patung. Tiada daya untuk berpaling ke belakang. Tidak ingin tahu tentang apa yang sedang berada di belakangnya.

“Ada kakak takde muka…”

ALLAH! Erin bagaikan mahu pengsan. Dia masih mematungkan diri.

“Amar takut!!” Amar menjerit ketakutan. Kemudian dia menangis teresak-esak. Erin berlari mendapatkan Amar dan tanpa menoleh ke belakang dia mendukung kanak-kanak itu ke tingkat bawah. Di situ mereka berkumpul. Erin membuka semua tingkap di ruang tamu untuk mengurangkan rasa takut mereka. Mulutnya juga tidak lekang dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

*****

“Boleh Erin tolong akak?”

Erin terdiam. Belum sempat dia mahu menceritakan apa yang terjadi, Lina sudah menyuarakan yang dia suami isteri perlu ke majlis penting esok dan akan pulang lusa. Maknanya dia harus bermalam di rumah berpenunggu itu selama satu malam.

“Erin je harapan akak sekarang.”

Dengan hati yang berat, akhirnya Erin bersetuju. Dia akan membawa mereka pulang ke rumahnya jika berlaku yang bukan-bukan. Dia juga sudah meminta izin dengan Lina dan wanita itu sudah memberi keizinannya. Perjalanan dari rumahnya ke rumah Lina memang agak jauh tetapi dia tidak peduli jika nyawa sudah di hujung tanduk.

*****

Pagi itu berjalan dengan lancar. Tiada gangguan yang menghantui. Petang juga begitu. Erin berasa lega dan mulai merancang untuk bermalam di rumah itu sahaja kelak. Mungkin ‘kakak-kakak’ menakutkan itu sudah tiada. Segala aktiviti berjalan dengan lancar sehingga malam melabuhkan tirainya.

Iman yang tergelak terkekek-kekek di depan tv membuahkan senyuman di bibir Erin. Seronok betul Iman menonton rancangan tv. Dia yang baru selesai menidurkan Arina dan Amar berjalan mendekati Iman di ruang tamu. Pada malam itu, tiga beradik itu akan tidur bersamanya di bilik tetamu. Sejujurnya dia masih tidak berani untuk ke tingkat atas.

“Tengok apa tu?” sapa Erin dari belakang. Dilihatnya Iman masih terkekek-kekek ketawa seorang diri di hadapan tv.

Namun apa yang membuatnya tergamam ialah tv itu. Tv itu tidak dipasang. Jadi Iman ketawa penuh gelihati bukan kerana rancangan tv tetapi kerana benda lain.

“Iman buat apa tu?” tanya Erin dengan hairan.

“Kakak ajak main dengan dia…”
“Kakak mana?”
“Kakak semalam.”

Gulp…Angin dingin tiba-tiba menampar-nampar kulitnya.

“Iman, jom masuk tidur..” ajaknya lembut. Iman menggeleng-geleng.

“Tak mau. Iman nak main dengan kakak ni..”

“Takde kakak kat sini sayang. Jom kita tidur.. Nanti aunty bacakan buku kegemaran Iman ye?” pujuknya lagi. Dia menghulurkan tangan dan mengharap supaya kanak-kanak itu menyambutnya.

“Kakak ada kat belakang aunty..Dia nak main dengan aunty sekali…” Iman mengarahkan telunjuknya ke belakang Erin.

Erin sudah menggigil satu badan. Dia melirik jam yang tergantung di dinding, sudah pukul 10 malam. Iman jangan bergurau please…

“Haaaaaaaaa…..”

Bunyi bisikan di belakang tengkuk Erin membuatkan Erin segera menoleh ke belakang. Ya memang benar, ada ‘kakak’ tiada muka sedang melayang menuju ke arahnya dan Iman.

Erin mendukung Iman sepantas kilat dan membawanya masuk ke bilik. Dia menggerak Amar bangun dan mendukung Arina yang sedang lena. Iblis itu sedang mengi lai-ngilai di luar. Erin mencapai kunci kereta yang tergantung di paku bilik dan meluru keluar bersama anak-anak itu. Dia akan membawa mereka pulang ke rumahnya!

Ketika dia menutup pintu utama, wajah tidak bermuka itu melekap di jendela kaca sebagai mengiringi pemergian Erin, Iman, Amar dan Arina.

Di sepanjang perjalanan, Iman hanya mendiamkan diri sambil memandang ke luar dengan mulut tersengih. Seolah-olah ‘kakak’ itu sedang membuntuti langkah mereka. Manakala Amar dan Arina pula sedang lena sehingga mereka sampai ke destinasi yang dituju.

Erin memarkir kereta di halaman rumah. Ibu dan ayahnya berdiri di muka pintu dengan riak hairan. Mengapa Erin pulang? Bukankah dia sedang bermalam di rumah Lina dan hanya akan pulang esok?

“Nanti Erin cerita kat mak dan ayah,” potong Erin sebelum orang tua berdua itu sempat bertanya.

“Mak boleh tolong bawak budak-budak tu ke dalam? Erin nak ke tandas sekejap,” pintanya lalu bergegas ke tandas.

Selesai ke tandas, dia keluar rumah dan melihat ibu dan ayahnya sedang berdiri di kereta. Dia mendekati mereka.

“Mana budak-budaknya Erin?” soal ibunya.

“Kau pasti ke kau bawak budak-budak tu tadi?” tanya ayahnya pula.

Erin terdiam. Dia hilang kata-kata. Ke mana Iman, Amar dan Arina pergi? Dia panik. Akhirnya dia membawa ibu dan ayahnya kembali ke rumah Lina untuk memeriksa jika mereka ada di situ. Hatinya tidak tenang memikirkan keselamatan anak-anak kecil itu.

*****

Mulut Erin ternganga apabila melihat rumah terbiar di hadapannya. Ia gelap tidak berpenghuni dan kawasan di sekelilingnya tidak terurus. Apa yang sudah terjadi?

“Kau pasti ke rumah kak long Liz kat sini Erin?”
“Erin pasti ayah!”

“Sudah, mari kita balik. Nampaknya kau dah kena usik ni..” ayahnya berkata. Erin tidak berkata apa-apa di sepanjang perjalanan. Dia bingung.

*****

Esoknya dia menelefon Liz dan bertanya hal yang sebenar.

“Ha? Bila masa aku call kau untuk part time job tu?”

“Kau ada call akulah Liz. Empat lima hari yang lepas. Kau cakap kakak kau perlukan babysitter baru..”

“Ya ALLAH, Erin… Aku memang tak pernah call kau pasal ni. Kakak aku dah pindah ke Sabah enam bulan lepaslah..”

Erin terdiam. Sudah berpindah enam bulan lepas?

Dia menamatkan perbualan di situ dan berkeputusan untuk memeriksa senarai pemanggil. Ada bukti yang Liz pernah menghubunginya berkenaan hal ini.

Jemarinya ligat menyentuh skrin telefon dan scroll down senarai pemanggil. Dia berhenti di tarikh Liz menghubunginya.

YA, LIZ MEMANG TIDAK PERNAH MENGHUBUNGINYA…

Tamat

Cerita Seram Where stories live. Discover now