"Okey bos. Tanggung beres. Hero memang macam ni , selalu dapat tugas-tugas berat dalam masa yang urgent."
"Eleh, perasan." Suara Noni mencelah disebalik keriuhan Ammar.
"Ewah, sombong ye, tinggal kang baru tau."
" Pergi lah. Nanti Kak Long ambik keta atuk pergi duduk rumah Mak Long. Malam ni Ammar tidur sorang-sorang dengan atuk."
"Korang berdua ni kalau sehari tak gaduh macam tak lengkap duniakan? Letih mama dengar suara korang ni. Dah lah malu kat orang, dah besar panjang macam ni masih gaduh macam budak kecik pulak. Ammar jangan macam-macam dengan kakak tu. Tolong dia jaga adik, jangan susahkan atuk dan nenek."
"Baik mama."
Selepas saja azan Isyak berkumandang, Rizal dan Aida bertolak ke KL dalam keheningan malam yang suram. Melalui jalan-jalan di negeri tanah serendah sekebun bunga, melalui kampung-kampung yang kecil menjadikan mata mudah mengantuk. Namun demi menemankan suami yang memandu, Aida cuba untuk menahan kantuknya. Akhirnya tiba di Kuala Krai, keduanya turun minum di sebuah warung kecil. Warung yang dibuat daripada batang pinang itu sangat menarik di lihat dari kejauhan dengan lampu berwarna –warni serta hiasan pokok tanaman yang di lilitkan lampu itu. Hanya terdapat 2 orang pelanggan sahaja dalam kedai pada masa itu. Rizal menduduki sebuah meja yang agak jauh terkeluar daripada lingkungan kedai dan hanya disirami kesuraman sinar kalimantang dari dalam kedai. Di meja sebelahnya terdapat seorang lelaki tua yang sedang minum dengan penuh nikmat kopi panas yang terhidang di depannya.
"Kenapa abang pilih meja ni. Gelaplah, kalau ada sampah dalam makanan pun kita tak nampak."
"Macam ini la romantik, orang lain sengaja matikan lampu nak pasang lilin, kita memang dah disediakan suasana macam ni. Duduk je, tak da apalah."
"Makan apa encik" suara pelayan kedai mengejutkan Rizal yang rancak bercerita.
"Bagi saya mee goreng dengan kopi o pekat kurang manis."
"Akak pulak."
"Buatkan saya sup perut, tauge lebih dan air milo suam."
"Dik , ada tandas tak kat sini, akak nak tumpang buang air jap."
"Ada kak tapi kat belakang sikit. Akak jalan terus kemudian belok kanan dekat situ ada tandas."
"Terima kasih ye."
Sekembalinya Aida daripada tandas, lelaki tua di meja sebelah memandangnya dengan tajam. Aida merasa tidak selesa. Dia memandang sekeliling, kawasan ni cukup sunyi. Yang ada hanya mereka dengan tuan punya kedai dan anak dara suntinya itu sebagai pelayan. Orang tua itu serta seorang lagi pelanggan yang masih muda itu hanya minum sahaja. Hatinya mula merasa cuak, kalau-kalau mereka cuma diperangkap, tetapi memerhatikan sekeliling dia melihat tiada apa yang mencurigakan. Lagipun kereta masih bersimpang siur di jalan, kerana waktunya masih awal. Aida melihat jam tangannya , waktu menunjukkan pukul 9.45 malam.
"You ni kenapa Aida, gelisah semacam je."
"Entahlah bang, rasa macam tak sedap hati je."
"Assalamualaikum," suara pak cik tua yang terpacul berdiri di hadapan meja mereka mengejutkan Rizal dan juga Aida. Namun salam tetap bersambut kerana salam itulah yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain yang cuba mendampingi manusia.
" Boleh Pak cik duduk , mek, Awe?" Soalan pak cik itu mengundang senyum di bibir Aida. Sudah lama panggilan itu tidak di dengarinya.
"Silakan pak cik." Rizal masih termanggu-manggu kerana terkejut dengan kedatangan pak cik itu.
"Kalau pak cik tak salah mek ni mengandung kan?"
" Ye pak cik, sudah 7 bulan, kalau tak da aral bulan September nanti dapatlah sorang lagi." Jawapan Rizal menyelamatkan Aida yang merasa gugup dan tidak selesa dengan orang tua itu. Pandangan tajam pak cik itu masih diingat lagi namun dia masih belum sempat menyuarakan rasa hatinya kepada Rizal, pak cik itu pula datang.
" Ada singgah mana-mana tempat ke petang tadi?" soalan pak cik itu menegakkan bulu roma Aida. Dia merasakan pak cik itu seolah-olah menyimpan sesuatu rahsia pulak.
"Kenapa pak cik."
"Macam ni, susah juga nak cakap. Benda –benda macam ni kadang-kadang orang muda macam mek, awe ni susah nak percaya. Masa mek gi tandas tadi pak cik tengok ada benda ikut dia."
"Saya percaya pak cik. Kita kan manusia yang hidup dengan kewujudan roh dalam badan kita. Bumi ini pula kita berkongsi dengan makhluk-makhluk lain yang nampak , juga tidak nampak,"
"Baguslah kalau begitu. Selalu pak cik cakap orang-orang muda macam kamu marah. Kata mereka pak cik merepek lah, nyanyuk lah."
"Itu sebab pengetahuan mereka belum mendalam tentang benda-benda spiritual dan alam di bawah sedar , pak cik. Apa kata pak cik tadi, ada benda ikut Aida?"
"Ye, tapi jangkamasa dia ikut tu nampak gaya macam baru lagi. Sebab tu pak cik tanya. Kalau dibiarkan nanti susah nak bersalin. Diganggu oleh benda-benda macam tu, anak kecil pun kena sekali nanti. Pak cik dah halau tadi, tapi pak cik tak boleh jamin yang dia akan lepaskan kamu macam tu aje. Selalunya depa ni susah sikit nak lepaskan orang yang dia ikut, dia dah suka. Balik kampung nanti anak kena cari bomohlah, pastikan dia betul-betul dah tinggalkan isteri anak ni. "
"Pak cik ni bomoh ke . Maaflah saya tanya ye!"
"Tak pe ,tanyalah. Bukan, pak cik bukan bomoh cuma keturunan pak cik aje bekas bomoh. Tapi pak cik pun ada sedikit telus pandang, dapat tengok benda-benda macam tu." Aida sudah pucat pasi mendengar cerita yang menggerunkan itu. Patutlah pak cik itu memandangnya dengan tajam sewaktu dia berjalan ke tandas.
"Anak ni nak ke mana? Tak elok bawa isteri mengandung jalan malam-malam macam ni, masuk angin nanti." Aida hampir tergelak kerana ingatkan masih lagi bercakap soal mistik. Akhirnya perkataan itu yang keluar dari mulut orang tua itu.
"Saya nak ke Kuala Lumpur, nak pergi jemput orang gaji baru datang dari Indonesia. Saya rasa saya tak ada singgah mana-mana hari ni. Cuma saya ada singgah di rumah emak saya petang tadi. Saya memang bertolak dari rumah sendiri, singgap kejap di kedai keropok."
"Rasanya ada sesuatu yang anak buat, sampai dia berpeluang buat macam tu. Apa pun pak cik harap pulang nanti carilah orang pandai untuk melakukan tugasan itu. Buatlah sampai siap."
"Terima kasih pak cik atas keprihatinan pak cik . Saya akan cuba buat apa yang pakcik suruh."
YOU ARE READING
BANGLO HIJAU DI POHON KETAPANG
HorrorKISAH SERAM BERKAITAN DENGAN SEBUAH RUMAH YANG DIBELI OLEH SEORANG PENSYARAH YANG MELIBATKAN PERLBAGAI PERKARA YANG TERJADI SEBELUM ITU. ENTITI ITU MENGANGGU DAN MENYUSAHKAN SEMUA AHLI KELUARGA SEHINGGA BERJAYA DIHALAU, NAMUN DATANG KEMBALI APABILA...